Limbaruh Hijau, Jerudong- Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) baru-baru ini mendedahkan kepada orang ramai bahawa Projek Perintis Skim Perumahan yang mereka kendalikan demi mengatasi masalah rakyat dalam isu perumahan kini berjalan rancak dan menepati sasaran waktu siap pembinaan yang hanya tinggal kira-kira 563 hari saja lagi di kawasan Kampung Pandan Kuala Belait.
Projek perintis yang pertama itu kata Pengerusi BEDB Dato Paduka Timothy Ong adalah bagi menyahut Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam yang mahu semua rakyat Baginda mempunyai rumah sendiri.
Projek tersebut yang dibukakan melalui tawaran telah diserahkan kepada sebuah syarikat pembinaan terkenal daripada negara jiran Syarikat Bina Puri (M) Holding Berhad yang mengenalkan konsep pembinaan pasang siap dengan menggunakan bahan-bahan kitar semula yang sudah dikaji mempunyai tahap yang tahan lama, dan pembinaan hanya mengambil masa sekurang-kurangnya sehari bagi setiap satu unit rumah di atas tapak seluas kira-kira 180 hektar itu.
Dengan adanya projek itu beberapa buah syarikat-syarikat tempatan yang berpotensi juga turut menerima tawaran sebagai sub-kontrak dalam berbagai bidang termasuk bahagian kerja-kerja pengorekan, penimbukan tanah, pengaliran air, pemasang kabel elektrik dan sebagainya yang dilaksanakan pembahagian tawaran oleh BEDB.
Sementara itu menurutnya satu lagi projek skim perumahan yang akan dikendalikan oleh BEDB akan dilaksanakan dalam jangka masa tidak lama lagi di kawasan Daerah Brunei Muara bagi pembinaan sejumlah 4,000 unit rumah dalam masa empat tahun yang pada masa ini sedang di bukakan tawaran pembinaannya kepada syarikat-syarikat yang berpotensi untuk melaksanakannya bagi mencapai sasaran yang tepat sepertimana projek perintis berkenaan.
Beliau menambah Projek Perintis ini adalah bagi mengatasi projek-projek pembinaan yang dikendalikan oleh pihak Kerajaan selama ini yang hanya mampu membina sekitar 400 buah rumah setahun, dan ianya perlu dipercepatkan memandangkan jumlah pemohon yang semakin bertambah kira-kira lebih 20,000 orang.
Sehubungan dengan berita gembira ini, Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang telah menjadikan isu Perumahan sebagai agenda utama melalui Kongres Tahunannya yang diadakan sejak tahun 2006 lagi amat menghargai usaha Kerajaan yang memberikan respon dengan mengambil langkah menubuhkan satu badan Korporat Kerajaan yang mengendalikan usaha mengatasi masalah kelembapan pembinaan rumah yang dilaksanakan selama ini oleh pihak Kemajuan Pembangunan.
Dalam Usul yang diketengahkan NDP pada Kongres Keempat tahun lalu juga masih mengetengahkan isu-isu seperti perumahan sebagai agenda utama di samping usul bagi isu-isu yang lain termasuk Food Security, Kemiskinan, Pembrunei Syarikat Minyak Shell, Menaikkan Mertabat Wanita dan sebagainya. Dalam usul Isu Perumahan yang diangkat melalui kongres tahun lalu NDP telah mengetengahkan suara yang menyedari bahawa rumah adalah salah satu keperluan asas dan adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan dalam menyediakan rumah yang bersesuaian kepada setiap rakyat yang memerlukan.
NDP dalam sidang itu juga mengetengahkan pandangan bahawa masalah rakyat yang tidak berumah adalah satu isu sosial yang kritikal dan perlu ditangani segera oleh Kerajaan Kebawah DYMM kerana ianya adalah sebahagian daripada tanggungjawab Kerajaan Islam yang tidak boleh diabaikan sama sekali.
Pembentangan usul itu juga ditambahkan lagi dengan kesedaran NDP melihat sejak 20 tahun lalu, khusunya dalam RKN8 menunjukkan prestasi dan keupayaan agensi pelaksana untuk memenuhi keperluan perumahan rakyat adalah di tahap yang rendah dan jauh dari sasaran yang dirancang.
Berikut di kutip sedikit antara lain yang diketengahkan dalam Usul Perumahan Kongres NDP tersebut yang menyebut:-
Menyedari bahawa di bawah RKN9 (OSPD 2007 – 2012) sebanyak 9,000 unit rumah dirancang untuk dibina, walhal di bawah RKN8, dari jumlah 9,000 unit rumah yang dirancang, cuma sebanyak 969 unit atau 10.8% sahaja yang mampu disiapkan,
Menyedari bahawa keperluan perumahan rakyat dan permohonan tapak rumah tidak mungkin dapat dipenuhi dalam tempoh Rangka Strategi dan Dasar Pembangunan (OSPD) Pertama berdasarkan ketidakupayaan agensi pelaksana memenuhi permintaan sebelum ini, dalam masa yang sama permohonan rumah di seluruh negara kini kian meningkat melebihi 43,000 dan permohonan tanah kerajaan bagi tapak rumah yang tertunggak mencecah 13,000,
Menginsafi bahawa anggota-anggota pasukan-pasukan keselamatan yang terdiri dari ABDB, Polis, Bomba dan Penyelamat, Keselamatan Dalam Negeri dan Biro Anti Narkotik sewajarnya diberikan kuota perumahan untuk membolehkan mereka memiliki rumah sebaik mereka memasuki pasukan berkenaan,
1. Mengingati akan Usul Perumahan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan (Penubuhan) Pertama Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 29 - 30 April 2006,
2. Mengingati akan Usul Perumahan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-2 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 23 - 24 Jun 2007,
3. Mengingati akan Usul Perumahan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008;
4. Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Ke-4 yang bersidang pada hari ini 21 Jun 2009 di International Convention Centre (ICC), Berakas, Bandar Seri Begawan, mengambil maklum dan memperakui semula usul mengenai Perumahan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan (Penubuhan) Pertama Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 29 - 30 April 2006 yang mengambil persetujuan dan ketetapan mencadangkan kepada Jabatan Perumahan Negara supaya merangka pelan jangka panjang perumahan rakyat mengikut konsep perumahan keluarga Islam bagi memungkinkan setiap keluarga memiliki rumah sendiri;
Dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini juga mengambil maklum dan memperakui semula akan Usul Perumahan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-2 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 23 - 24 Jun 2007 yang mengambil persetujuan dan ketetapan mencadangkan kepada kerajaan supaya menubuhkan sebuah Syarikat Perumahan Negara bagi mempercepat penghasilan perumahan untuk dijual kepada rakyat, di samping itu, Jabatan Kemajuan Perumahan pula dipertanggungjawabkan mengendalikan urusan penghasilan perumahan rakyat jati;
Dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini juga mengambil maklum dan memperakuai semula usul Perumahan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Ke-3 Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang pada 20 - 22 Jun 2008 yang mengambil persetujuan dan ketetapan menggesa supaya agensi pelaksana menyegerakan pembinaan rumah-rumah kediaman seperti yang dihasratkan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan, untuk memenuhi keperluan rakyat Baginda yang meningkat dari masa ke semasa, bagi memastikan rancangan perumahan negara dilaksanakan secara berkesan agar setiap keluarga mempunyai tempat kediaman yang selesa, dalam persekitaran yang menggalakkan perkembangan minda dan akhlak yang sihat, melalui strategi pendekatan pelbagai yang melibatkan perkongsian pintar sektor awam dan swasta (public - private smart partnership), tanpa terus bergantung kepada kaedah konvensional yang terbukti tidak berkesan;
Dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-4 ini mengambil persetujuan dan ketetapan mencadangkan kepada kerajaan supaya anggota-anggota pasukan keselamatan yang terdiri dari ABDB, Polis, Bomba dan Penyelamat, Keselamatan Dalam Negeri dan Biro Anti Narkotik diberikan kuota perumahan khas untuk ditawarkan kepada anggota-anggota berkenaan sebaik mereka memasuki mana-mana pasukan keselamatan yang dimaksudkan, di samping menyediakan kemudahan pinjaman untuk membolehkan mereka memiliki rumah sendiri di bawah skim ini diawal perkhidmatan mereka lagi.
Dalam usul isu Perumahan yang dibawakan NDP pada Kongres Agung Pertama juga telah mengusulkan supaya peningkatan upaya proses dan sistem penyampaian melalui sinergi dan kerjasama strategik kerajaan dan swasta.
Dan NDP juga mengusulkan bagi program dan pendekatan ke atas isu perumahan dengan mengusulkan supaya out-sourcing sebahagian bebanan dan tanggungjawab kerajaan kepada pihak swasta dan kontaktor-kontraktor yang berwibawa mengikut kaedah “turnkey”.
Pembangunan modal insan tenaga kerja mahir anak-anak tempatan melalui projek-projek yang dipakejakan kepada konsortium kontraktor-kontraktor tempatan, Supaya disasarkan pembinaan sekurang-kurangnya 5000 unit rumah dalam setahun.
Dan mengungkayahkan anjakan paradigma rakyat dengan menekankan nilai-nilai kehidupan moden dan ‘urban’ supaya rakyat boleh menerima dan selesa tinggal dalam apartmen yang lebih tersusun dan terancang.
Masalah rakyat untuk mendapatkan rumah adalah satu isu yang sering dihadapi rakyat sehingga dalam sebuah rumah terpaksa menampung dua hingga tiga ahli keluarga yang tinggal, dan ianya merupakan kurang keselesaan bagi mereka yang mengalaminya terutama bagi anak-anak mereka yang memerlukan tempat yang lebih selesa dalam mengulangkaji pelajaran dan sebagainya.
Tempoh masa 15 tahun menunggu untuk mendapatkan rumah dalam satu-satu permohonan rakyat adalah dilihat terlalu lembab dan tidak responsif kepada keperluan dan jangkaan rakyat yang semakin meningkat jumlahnya dari masa ke semasa.
Apa yang diharapkan NDP supaya projek-projek yang boleh memberikan keharmonian rakyat akan sentiasa terus dilaksanakan dengan cekap oleh pihak Kerajaan demi mencapai sepenuhnya konsep negara Melayu Islam Beraja dan juga sebuah Negara Zikir.(HSZ)