LIMBARUH HIJAU OKTOBER 08, 2009. - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP), yang sejak kewujudannya di pesada politik negara hampir empat tahun yang telah berlalu dengan tidak jemu-jemu mengangkat isu kemiskinan menjadi agenda utama nasional yang perlu diberikan perhatian serious, turut bergembira dengan perkembangan bersejarah kelmarin dimana lebih 4,000 penermia dibawah asnaf fakir miskin dan al-gharimin ditunaikan hak mereka.
Alhamdullilah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana sentiasa memberikan petunjuk dan hidayat serta kekuatan kepada KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memberikan dorongan politik kepada isu tersebut yang sebelum ini semakin meruncing.
Dan kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama serta Majlis Ugama Islam, tahniah diucapkan atas dedikasi dan kerja keras yang ikhlas hingga berjaya memakbulkan hasrat Baginda Sultan untuk melihat negara bergerak dengan tegas menuju kearah sifar miskin menjadi kenyataan.
NDP tumpang gembira dengan pencapaian tersebut. Ianya telah dapat mengangkat semangat seluruh warga NDP yang juga tidak jemu-jemu memberikan perhatian kepada isu kemiskinan yang terlalu dekat dihati mereka. Sejak NDP berkongres buat pertama kali pada Jun 2006 dan di Kongres ke-2 pada 2007 dan Kongres ke-3 pada Jun 2008 lepas, perwakilan-perwakilan dari ranting-ranting parti dari semua pelusuk bumi Brunei telah membentangkan isu kemiskinan sebagai usul untuk dipanjangkan kepada Baginda Sultan dan Kerajaan Baginda.
NDP juga gembira dengan perkembangan bersejarah tersebut kerana ianya merupakan satu pencapaian penting kepada NDP dalam melaksanakan hasrat untuk melihat Brunei menjadi negara sifar miskin pada tahun 2016. Isu kemiskinan telah menjadi agenda politik NDP seperti yang termaktub dalam Manifesto parti 2006-2016 dibawah bab 'Pembangunan dan Keadilan Sosial' (ms 39, 40, 4, 42).
NDP dalam maniefsto tersebut bertekad untuk mencadang dan menyokong sebarang usaha Kerajaan Kebawah DYMM untuk membasmi kemiskinan dengan menaikkan pendapatan serta taraf hidup individu dan keluarga dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi mengatasi masalah pengangguran melalui pendekatan pembangunan ekonomi rakyat yang berpegang kepada falsafah dan prinsip-prinsip.
NDP juga bertekad untuk membantu Baginda Sultan dan kerajaan dalam sebarang usahah untuk membentuk sebuah masyarakat yang rajin dan kuat berusaha, berdikari dan tidak bergantung kepada subsidi Kerajaan Kebawah DYMM sahaja tanpa memikirkan akan kesannya di dalam jangka masa yang panjang.
NDP juga dalam manifesto yang sama bercita-cita untuk melihat rakyat dan penduduk Brunei dapat dibimbing dan dibina menjadi sebuah masyarakat yang mengamalkan gaya hidup yang sederhana dan menjauhi budaya suka berhutang bagi membiayai keperluan-keperluan yang bukan asas.
Dibawah bab 'Kebajikan' (ms 45, 44, 46) pula NDP telah bertekad untuk terus memberikan cadangan dan akan terus menyokong dan membantu sebarang usaha Kerajaan Kebawah DYMM (ke arah pembentukan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara Islam yang membawa maksud sebagai sebuah negara kebajikan yang berlandaskan Syariat Islam).
Antara cadangan NDP dalam manifesto ialah pelancaran skim membasmi kemiskinan hingga tiada rakyat Kebawah DYMM yang layak menerima zakat sebagai fakir dan miskin, kecuali di bawah asnaf yang lain.
Maka tidak keterlaluan jika NDP turut berbangga atas peranan yang telah dimainkan untuk menganjakkan keluar isu kemisikinan dari kepompong fikiran cetek sesetengah 'Little Napoleons' dan 'Apparatchik' yang diamanahkan untuk menangani isu sosial seperti kemiskinan ini.
Sementara itu dalam masa sama kita bergembira menyambut baik perkembangan bersejarah tersebut marilah kita sama-sama menghayati dengan penuh keinsafan amanat Baginda Sultan dalam titah sempena Majlis penyerahan Dokumen Agihan Baki Wang Zakat kepada Asnaf Fakir Miskin dan Penyerahan Dokumen Pelunasan Tunggakan Hutang Perumahan yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas kelmarin.
Baginda Sultan di majlis tersebut bertitah, sekiranya perlaksanaan pengagihan baki wang zakat benar-benar menepati senarai rasmi Asnaf Fakir Miskin, maka negara dari saat tersebut wajar dilabel sebagai bebas dari kemiskinan.
“Alhamdulillah, marilah kita sama-sama mengiktirafnya sebagai satu kenyataan dan bukan impian. Allah Ta’ala mengetahui niat kita, dan begitu juga dengan kehendak-Nya, akan menyampaikan niat kita itu, lebih dari apa yang diduga,” titah baginda di Majlis Penyerahan Dokumen Agihan Baki Wang Zakat Kepada Asnaf Fakir Miskin dan Penyerahan Dokumen Pelunasan Tunggakan Hutang Perumahan Kepada Asnaf Al-Gharimin.
Baginda bertitah, seandainya ada individu-individu yang masih tercicir, sedang mereka menganggap diri mereka juga berhak, maka perkara itu perlulah dirujukkan kepada pihak yang berkenaan yang akan meneliti dan melihat sama ada mereka menepati kategori fakir miskin ataupun sebaliknya.
Jika masih ada selepas majlis ini, titah baginda menegaskan, dakwa-dakwi oleh individu-individu seperti di atas, maka itu adalah perkara biasa, dan tidaklah akan jadi dakwat hitam untuk memadamkan sejarah baru yang sedang kita tempuh ini.
Dalam pada itu baginda juga bertitah mengingatkan, pihak berkuasa yang menangani kutipan dan agihan zakat, hendaklah bersikap lebih peka dan proaktif dalam memantau dan menilai keadaan masyarakat yang dianggap berhak kepada zakat.
“Bukanlah setakat menunggu pemohon-pemohon datang, kerana bukan semua orang mampu untuk datang, atau setengahnya itu mungkin sahaja tidak tahu siapa dan di mana hendak dituju,” titah baginda menekankan.
Perkara itu, jelas baginda lagi tentulah akan turut pula mencabar peranan dan kepimpinan para pemimpin masyarakat, seperti ahli-ahli Yang Berhormat yang dilantik, penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung.
Sementara itu, kepada mereka yang dipantau dan dinilai pula, sama ada yang datang sendiri memohon ataupun bukan, baginda mengingatkan agar mereka perlulah mematuhi dan menerima setiap penilaian oleh pihak yang berwajib, kerana penilaian yang dibuat itu adalah berasaskan kepada sukat-sukat atau garis panduan yang sempurna.
Semantara itu Baginda Sultan juga bertitah mengingatkan para penerima Dokumen Agihan Baki Wang Zakat yang berjumlah lebih 4,000 orang supaya akan memanfaatkan bahagian mereka masing-masing dengan bijaksana dan berhemah dengan mengelakkan gaya hidup boros atau membazir.
Baginda bertitah, bahagian masing-masing itu boleh membantu mereka untuk mengatur kehidupan yang lebih baik lagi selesa.
“Mereka sekarang bukan lagi di bawah label fakir miskin, sekurang-kurangya untuk beberapa tempoh tertentu,” tegas baginda bertitah.
Dalam pada itu baginda bertitah meyakinkan adalah tidak mustahil dari jumlah tersebut, akan ada juga yang tidak mahu lagi untuk berpaling ke belakang, tetapi dengan azam kuat dan disertai ikhtiar-ikhtiar bijaksana akan terus bertahan di bawah label ‘tidak lagi memerlukan agihan zakat’.
Terdahulu dari itu dalam titah baginda, menjelaskan bahawa majlis yang berlangsung di Dewan Plenary ICC itu bukan sahaja indah pada tujuannya, malahan juga merupakan satu ‘sejarah’ penting lagi penuh bermakna kepada kita semua dan negara.
“Pada hari ini, lembaran sejarah negara sedang ditulis dengan tinta emas, bahawa kita sekarang sedang bergerak ke arah pembebasan diri dari kemiskinan.
Ini bukanlah satu kemujuran, tetapi perancangan dengan memerah otak, serta juga ditambah lagi dengan keyakinan bahawa kita adalah mampu untuk berbuat demikian,” titah baginda.