SINGAPURA - PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata negara-negara harus bekerjasama lebih erat untuk menangani jenayah rentas sempadan dan pengganasan secara berkesan.
Ini boleh dilakukan melalui perkongsian risikan, memantau penjenayah antarabangsa dan melaksanakan penguatkuasaan bersama.
Dalam ucapannya di pembukaan Mesyuarat Menteri Interpol (Polis Antarabangsa) - PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan Perhimpunan Agung Interpol yang ke-78, Encik Lee berkata, 'sedang penyejagatan membawa faedah kepada negara-negara, ia juga menimbulkan pelbagai cabaran'.
Ini lebih-lebih lagi apabila corak jenayah juga menjadi semakin global.
'Penjenayah juga mudah bergerak dan menjalankan operasi rentas sempadan. Mereka sering melakukan jenayah dari pangkalan-pangkalan luar.
'Menggunakan alat-alat perhubungan moden, penjenayah juga boleh bertukar maklumat dengan mudah, menyelaras operasi dan 'amalan-amalan terbaik' mereka,' kata Encik Lee.
Oleh itu, tambah beliau, pasukan-pasukan polis juga harus meningkatkan keupayaan pegawai mereka dalam kemahiran alat-alat baru agar sentiasa berada satu langkah di depan penjenayah.
Singapura, kata Encik Lee, telah meraih keuntungan daripada kerjasama polis antarabangsa kerana ia telah meningkatkan keberkesanan agensi-agensi di sini.
Melalui Interpol, penjenayah dan pengganas yang dikehendaki telah dibawa pulang ke Singapura untuk dihukum.
Singapura turut menggunakan sistem Pangkalan Data Rangkaian Bergerak Interpol untuk memeriksa dokumen perjalanan di pusat-pusat pemeriksaan bagi pasport-pasport yang dilaporkan hilang atau dicuri.
Selain membanteras jenayah, para pegawai polis juga memikul tanggungjawab sebagai pasukan pendamai antarabangsa.
Sejauh ini pasukan Polis Singapura (SPF) telah mengerahkan 492 pegawai bagi 15 misi antarabangsa.
'Singapura mengambil tugas pendamainya secara serius. Di dalam dunia global kini, keadaan huru-hara atau kepincangan penguasa politik dalam sesebuah negara mengancam keselamatan serantau dan antarabangsa.
'Negara-negara yang gagal menjadi tapak penularan pengganasan antarabangsa atau pangkalan bagi organisasi jenayah rentas sempadan. Lantas negara-negara memerlukan yang lain untuk membantu mereka.
'Apabila kita menyumbang pegawai polis bagi misi perdamaian untuk membangunkan semula negara-negara tersebut, menggalak pemerintahan yang baik dan memupuk kedamaian yang berterusan, kita juga menyumbang kepada keselamatan negara kita,' kata Encik Lee.
Oleh itu beliau menyokong kerjasama Jabatan Operasi Pendamaian PBB dan Interpol dengan menonjolkan peranan yang dimainkan pasukan polis pendamai dalam agenda keselamatan antarabangsa.
Seramai 800 delegasi daripada 187 negara menyertai mesyuarat empat hari di Pusat Konvensyen Raffles City itu.
Brunei telah diwakili oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pehin Dato Seri Setia Haji Adanan Haji Mohd Yusof selaku ketua rombongan delegasi Brunei ke Singapura bagi menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri, Perhimpunan Agung INTERPOL ke-78 yang bermula pada 11 hingga 12 Oktober.
Antara anggota rombongan yang menyertai delegasi negara ialah pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Pehin Dato Paduka Seri Zainuddin Jailani dan pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri dan pasukan Polis Diraja Brunei.
Mesyuarat peringkat menteri itu adalah yang julung kali diadakan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Pada mesyuarat berkenaan beberapa sesi panel perbincangan berlangsung dan difokuskan kepada tiga sesi seperti Keamanan dan Keselamatan Antarabangsa: Cabaran baru, Reformasi dan Penstrukturan semula: Rangka kerja Strategik bagi Kepolisan Antarabangsa dan Memantapkan Kapasiti Kepolisan serta Penguatkuasaan Undang-undang Dalam Operasi Pengamanan .
Mesyuarat peringkat menteri dalam Perhimpunan Agung Interpol itu sepakat mencapai persetujuan untuk membuat satu deklarasi mengenai betapa mustahaknya peranan polis dalam menjana dan memantapkan keamanan dan keselamatan yang berdaya tahan dan memastikan usaha untuk menyediakan misi pengaman polis antarabangsa ke arah kepolisan antarabangsa dengan lebih berkesan pada tahun akan datang.
Ini dicapai dengan mengiktiraf fungsi penting polis dalam memantapkan keamanan yang berterusan dan membangunkan masyarakat selepas persekitaran pasca konflik, dan seterusnya memenuhi kehendak yang lebih mencabar bagi polis dalam operasi pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Mandat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah meningkat dari fokus tradisi yang menjurus kepada pemantauan, pemerhatian dan laporan, kepada fokus yang lebih besar dalam membangunkan kapasiti dan institusi kepolisan yang efektif dan bertanggungjawab dan seterusnya mengingatkan yang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mungkin akan diberikan mandat untuk terlibat dalam kepolisan dan penguatkuasaan undang-undang sementara atau memberikan bantuan operasi secara tertutup kepada sesebuah negara dan agensi penguatkuasaan undang-undang lain.
Selain itu mandat itu juga menyedari tugas kepolisan antarabangsa dalam persekitaran pasca konflik boleh menjadi penghubung operasi keselamatan dan pengamanan kepada proses pembangunan dan perlaksanaan undang-undang.
Selanjutnya mandat itu menekankan kepentingan tindakan awal negara berkenaan bagi memastikan keamanan dan keselamatan yang berdaya tahan.
Terdapat keperluan bagi pegawai untuk memiliki kemahiran dan kepakaran yang tertentu bagi menjalankan tugas polis dalam konteks pengaman Bangsa-bangsa Bersatu dengan efektif.
Untuk tujuan itu usaha berterusan perlu dilaksanakan dalam menyediakan rangka standard pemilihan, latihan dan kerahan tenaga.
Perkongsian kerjasama di antara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Interpol dalam memantapkan keselamatan yang berdaya tahan dan memandangkan betapa pentingnya peranan polis dalam memantapkan keselamatan yang berdaya tahan dalam persekitaran pasca konflik dan pentingnya untuk memastikan anggota polis berkelayakan dan memiliki akses kepada peralatan yang diperlukan dalam menghadapi cabaran di bidang tertentu termasuk membantu membanteras jenayah yang serius dan terancang.
Selain itu Perhimpunan agung Interpol itu juga menekankan perlunya bagi setiap negara untuk menyediakan anggota polis yang memiliki keupayaan yang efektif untuk memenuhi keperluan prinsip hak asasi manusia dan undang-undang sejagat.
Usaha ke arah mencapai konsensus ke arah perkembangan doktrin kepolisan antarabangsa dalam persekitaran pasca konflik yang harmoni dan standard secara efektif serta memantapkan pengetahuan dan amalan terbaik yang dikembangbiakkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Interpol selama ini adalah antara yang dibincangkan dalam perhimpunan berkenaan.
|