MOSCOW, PERSEKUTUAN RUSSIA, Isnin, 12 Oktober. - Upacara Meletakkan Kalungan Bunga di Tugu Pusara Peringatan Parajurit (Tomb of the Unknown Soldier) yang terletak di Taman Alexanderovskiy, Tembok Kremlin menjadi acara pembuka keberangkatan rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Persekutuan Russia hari ini.

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, menyentuh reben kalungan bunga di Tugu Pusara Peringatan Parajurit yang terletak di Taman Alexanderovskiy, Tembok Kremlin.
(Foto : Pelita Brunei)
|
Acara mengalungkan bunga di tugu peringatan ini merupakan kali kedua baginda lakukan sejak empat tahun lalu sempena keberangkatan pertama ke negara ini.
Keberangkatan tiba baginda di perkarangan Taman Alexanderovskiy telah dijunjung dan dialu-alukan oleh Timbalan Ketua Turus Tentera Bandaraya Moscow, Kolonel Mikhail Filimonov berserta Pegawai-pegawai Kanan Persekutuan Russia.
Berangkat sama di upacara ini ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Semasa berangkat menuju Tugu Pusara Peringatan Parajurit, Kebawah Duli Yang Maha Mulia diiringi oleh Timbalan Ketua Turus Tentera Bandaraya Moscow, sambil didahului oleh Pemerintah Barisan Kawalan Kehormatan dan dua anggota tentera yang membawa kalungan bunga tersebut.
BERANGKAT sama di upacara ini , Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. (Foto : Pelita Brunei)
|
Sebaik sahaja tiba di hadapan Tugu Pusara Peringatan Parajurit, dua orang anggota tentera berkenaan meletakkan kalungan bunga tersebut dan diikuti dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya menyentuh reben kalungan bunga berkenaan dan berundur ke belakang untuk bertafakur seketika.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dimainkan dan seterusnya baginda dijunjung berangkat ke tempat yang dikhaskan bagi menyaksikan Barisan Kawalan Kehormatan berjalan lalu.
Tugu Pusara Peringatan Parajurit adalah merupakan suatu peringatan yang didedikasikan khusus bagi askar-askar yang gugur dalam Perang Patriotik pada tahun 1941-1945.
Tugu ini merupakan tempat bersejarah yang sering mendapat kunjungan orang ramai sama ada bagi masyarakat setempat malahan juga para pelancong luar negara tambahan pula letaknya tidak jauh dari pusat membeli belah bawah tanah di kawasan Kremlin. (Pelita brunei)