MARKAS TUTONG, Sabtu- Bapak Presiden Parti Pembangunan Bangsa Ayahanda Yassin Affendy menyeru kepada semua anggota Parti terutama di kalangan kepimpinannya supaya sentiasa memperkuatkan semangat perjuangan demi bangsa dan negara.

Selain itu beliau juga menasihatkan supaya pejuang-pejuang lama seperti Ayahanda Umar Tamin dan lainnya janganlah dilupakan begitu saja kerana mereka itu adalah pengasas parti politik di negara ini di era tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan.
“Biarpun beliau dalam keadaan kurang sihat, namun semangat juangnya masih berterusan, kerana bagi orang-orang seperti mereka perjuangan itu tiada sempadan dan tiada noktahnya semuanya adalah demi melihat kemakmuran bangsa” ujar beliau.


Beliau juga mengingatkan supaya diri beliau janganlah terlalu di sanjung-sanjung kerana katanya beliau umpama “Bunga Simpur” punya warna tetapi tidak berbau, tetapi pun demikian daun bunga simpur boleh diguna pakai untuk membungkus Tapai dan ianya boleh menjadikan rasa Tapai itu manis.
Beliau berucap demikian pada Majlis Pembukaan Rasmi Pusat Tarbiyah (NDP) dan juga Markas Badan Perhubungan Daerah Tutong yang telah berlangsung kelmarin, Jumaat 31hb Oktober 2008.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Presiden Parti Pembangunan Bangsa Ayahanda Yassin Affendy.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden NDP Saudara Mahmud Morshidi Othman, Naib-Naib Presiden Kuala Belait dan Temburong, Majlis-Majlis Tertinggi dan beberapa orang Lembaga Penasihat parti.
Pengerusi majlis tersebut Awang Haji Mustapa bin Haji Abidin dalam ucapan alu-aluannya menyatakan NDP telah menghadapi pelbagai pengalaman dan cabaran di sepanjang tempoh penubuhannya dan ianya tidak terkecuali juga turut dihadapi oleh NDP yang ditubuhkan di daerah Tutong, antaranya baru-baru ini NDP menerima teguran berhubung penggunaan rumah persendirian yang dijadikan pejabat perhubungan dan juga ranting-ranting di seluruh negara.
Menurutnya sehubungan perkara itu Badan Perhubungan NDP Daerah Tutong dengan diketuai Naib Presiden NDP Daerah Tutong Ayahanda Haji Hanapi bin Haji Mohd Daud telah menubuhkan sebuah markas perhubungan di kawasan Kampung Sengkarai dan ianya juga akan dijadikan alamat bagi memudahkan pendaftaran ranting-ranting daerah itu untuk mendapatkan kelulusan oleh pihak ROS.
Dalam masa yang sama di bangunan berkenaan turut ditempatkan Pusat Tarbiyah yang digunakan sebagai menjalankan berbagai aktiviti dan program-program keilmuan bagi kegunaan semua pemimpin-pemimpin di setiap biro samada pusat ataupun daerah serta kepimpinan di ranting-ranting daerah tersebut.
Sementara itu Naib Presiden NDP Daerah Tutong dalam ucapannya merakamkan tahniah kepada mereka yang telah terus menerus bergiat dan berkomited dengan penuh gigih bagi menambah majukan lagi NDP di peringkat daerah tersebut.
Beliau juga menyeru kepada semua kepimpinan di ranting dan perhubungan daerah itu supaya akan terus menanamkan sikap bersepadu, sehati dan sejiwa bagi mengukuhkan lagi kejayaan dalam berorganisasi.
Majlis kemudiannnya diteruskan dengan acara perasmian dengan memotong riben di plag nama Markas Perhubungan Daerah Tutong yang telah disempurnakan oleh Naib Presiden Daerah Tutong Ayahanda Haji Hanapi bin Haji Mohd Daud.

Sejurus selepas itu acara Majlis Perasmian Pusat Tarbiyah (NDP) telah juga diadakan dengan disempurnakan perasmian dengan pemotongan riben pada plag nama pusat berkenaan oleh Presiden Parti Pembangunan Bangsa Ayahanda Yassin Affendy.
Majlis juga turut menyaksikan acara penyerahan bendera Sang Setia oleh Presiden kepada Naib Presiden Daerah Tutong dan diteruskan dengan acara menaikkan bendera dengan diiringi Lagu Rasmi (NDP) dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Bagi memeriahkan lagi suasana hari raya kepada kalangan anggota-anggota parti di daerah itu majlis kelmarin juga diteruskan dengan mengadakan Majlis Ramah Mesra Hari Raya.
Ucapan Selamat Hari Raya juga telah disampaikan oleh Naib-Naib Presiden setiap daerah termasuk ucapan Selamat Hari Raya daripada Timbalan Presiden NDP Saudara Mahmud Morshidi Othman.
Antara lain beliau menyeru kepada semua ahli NDP terutama di kalangan pemimpin dan jawatankuasa Perhubungan supaya terus menanamkan sikap Ukhwah dalam berorganisasi, dan jangan terlepas pandang kepada ahli-ahli yang mengalami bencana alam kerana banjir terutama di kawasan pendalaman.
“Kita sebagai badan politik perlu terus bersikap prihatin dan menampilkan diri membantu kepada mereka yang dalam kesusahan terutama sekali di kalangan ahli-ahli kita, janganlah leka tetapi perlu turun padang memberikan bantuan yang semampu kita tetapi yang penting kehadiran kita di sisi mereka(ahli-ahli) yang mengalami musibah atau kesusahan” kata beliau.
Seperti sabda Rasulullah saw yang bermaksud, Allah akan sentiasa dalam (menunaikan) keperluan hamba selagi hamba itu dalam (usaha menunaikan) keperluan saudaranya, ujar beliau.
Seramai hampir 100 orang di kalangan ahli-ahli, dan juga kepimpinan tertinggi pusat, ranting dan bandan perhubungan NDP seluruh negara telah menghadiri majlis tersebut yang antara lain turut bertujuan bagi mengeratkan lagi kesepaduan, merapatkan kemesraan ukwah dan menanamkan sikap sentiasa bekerjasama yang berterusan (HSZ). |