BANDA ACEH, Indonesia 10 Okt. - Beribu-ribu penduduk mula membanjiri ibu negeri Aceh bagi menyambut kepulangan pemimpin utama Gerakan Aceh Merdeka (GAM), Hasan di Tiro yang hidup dalam buangan selama 30 tahun.
Pihak berkuasa terpaksa menempatkan anggota polis tambahan seramai 400 orang bagi mengawal sambutan yang akan diberikan kepada pemimpin dan pengasas GAM berusia 83 tahun itu.
Trak-trak yang mengangkut para petani dan bekas anggota gerila GAM mula memasuki Banda Aceh menuju ke sebuah kampus universiti utama di sini yang menjadi lokasi sambutan.
Ini merupakan kepulangan pertama Hasan sejak 1979 apabila pemimpin itu dipaksa meninggalkan Aceh selepas mengisytiharkan wilayah ini keluar dari Indonesia.
Berikutan konflik itu seramai 15,000 orang terbunuh sebelum perjanjian damai dicapai pada 2005 di Helsinki, Finland.
"Kami menunggu selama 30 tahun untuk menyambut kepulangannya,'' kata seorang penduduk, Zulfikar, 33.
Jurucakap Jawatankuasa Peralihan Aceh untuk bekas pejuang-pejuang GAM, Ibrahim Syamsuddin berkata, kepulangan Hasan merupakan satu peluang kepada penduduk untuk bersatu di belakang satu simbol yang popular.
"Ia bukan sebagai satu agenda yang direka untuk menggerakkan sokongan terhadap Parti Aceh dalam pilihan raya tahun depan.
"Ada pihak-pihak tertentu yang mendakwa kepulangan Hasan akan memberi faedah kepada Parti Aceh pada pilihan raya nanti, sedangkan ia tidak benar sama sekali," kata Ibrahim.
Hasan dijadual menyampaikan ucapan di Masjid Besar Banda Acheh selepas tiba dari Malaysia esok.
Selama ini, Hasan tinggal dalam buangan di Sweden dan dijangka pulang ke kampung halamannya, Tiro di daerah Pidie, timur Banda Aceh dalam rangka kepulangannya selama dua minggu ke Aceh ini. AFP