Demikianlah antara jawapan yang diberikan oleh Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) ketika ditanya pihak media berhubung sebab kenapa beliau membuat pengumuman akan menyerahkan tampuk pemerintahan parti dan negara kepada Datuk Seri Najib Tun Razak menjelang Mac tahun depan.
Selanjutnya, dalam satu wawancara khas dengan pihak Bernama (Agensi Berita Nasional, Malaysia), Pak Lah telah mengupas dengan lebih jelas tentang sebab-musabab mengapa beliau membuat keputusan sedemikian – suatu tindakan yang dikatakan telah mengundang pelbagai tafsiran dan pertanyaan di kalangan pelbagai pihak.
Dalam wawancara tersebut, Pak Lah antara lain menyatakan bahawa beliau telah meletakkan kepentingan parti dan negara mengatasi segala-galanya ketika membuat keputusan untuk tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Presiden pada pemilihan agung parti UMNO pada bulan Mac depan dan akan menyerahkan tampuk pemerintahan parti dan negara kepada penggantinya, Datuk Seri Najib Tun Razak mulai dari tarikh tersebut.
Ketika ditanya apakah kerana keputusan Pilihan Raya Umum Mac lalu yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengalami penghakisan sokongan menjadi antara sebab yang mendesak beliau untuk berundur, Pak Lah secara berterus terang mengakui bahawa disebabkan kegagalan beliau untuk melaksanakan janji-janji pada Pilihan Raya Umum 2004 lalulah yang menjadi antara sebab BN kehilangan beberapa kerusinya dalam pilihan raya lalu.
Begitupun, Pak Lah menyatakan beliau bukanlah sengaja membuat janji-janjinya pada pilihan raya 2004 lalu semata-mata untuk dimungkiri, sebaliknya perubahan semasa ekonomi dan kewangan global telah menutut kerajaan pimpinannya untuk menangani keutamaan semasa demi kepentingan rakyat terbanyak. Dan dalam hal inilah, menurut Pak Lah, timbul cakap-cakap bahawa beliau agak perlahan dalam bertindak sehingga mengundang dakwaan pentadbiran beliau tidak cekap dan justeru itu perlu ditukarkan.
Menurut Pak Lah lagi, beliau menyedari yang beliau hanya terdaya untuk menerajui secara lancar tempoh masa pertama perlaksanaan Wawasan 2020. Bagi tempoh masa kedua Wawasan 2020, beliau mempunyai masa antara tiga hingga lima tahun untuk melaksanakannya, kearah itu beliau sememangnya mempunyai perancangan tertentu untuk melaksanakannya antara lain, termasuklah pembaharuan dalam bidang kehakiman dan Badan Pencegah Rasuah.
Bagaimanapun, terdapat pihak yang cuba mempersoalkan kenapa beliau tidak mengumumkan perancangannya itu sejak dari awal yang mana melalui pengumuman tersebut mereka pasti akan menyokong beliau.
Namun, menurut Pak Lah, yang lepas itu biarlah berlalu. Cuma beliau berharap penggantinya nanti akan menyambung kerjanya dan melakukan apa yang perlu untuk membawa negara mencapai misi nasional yang telah digariskan. Beliau juga berharap pengundurannya nanti akan dapat menyelesaikan semua masalah yang melibatkan kestabilan politik dan negara dengan keadaan diharap akan menjadi tenang semula.
Keputusan Pak Lah untuk berundur dari parti dan kerajaan dalam apa yang dilihat sebagai ‘pelan peralihan kuasa yang dipercepatkan’ telah mengudang pelbagai reaksi daripada rakyat dan juga pihak media. Rata-ratanya mereka menyambut baik keputusan Pak Lah itu sambil mengagumi dan menyifatkannya sebagai ketinggian hati budi Pak Lah dalam meletakkan kepentingan parti dan negaranya mengatasi segala-galanya.
Dilihat dari segi latar belakang isu peralihan kuasa ini, sayugia dinyatakan bahawa pelan peralihan kuasa pada awalnya dijadual akan dilakukan dalam bulan Jun 2010. Pelan tersebut yang diumumkan oleh Pak Lah pada 10 Julai 2008 lalu telah disambut baik oleh beberapa pihak, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan sebilangan besar pemimpin kanan dalam UMNO yang lain.
Datuk Seri Najib yang dinamakan sebagai bakal pengganti Pak Lah sendiri menyambut baik keputusan Pak Lah itu sembil menyatakan rasa terharu beliau di atas kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri terhadap diri beliau untuk mengambil alih kedudukan beliau apabila tiba masanya nanti.
Bagaimanapun, ada juga beberapa pihak terutama di peringkat kepimpinan pertengahan dan akar umbi yang melihat pelan tersebut sebagai memakan tempoh yang begitu lama, iaitu kira-kira dua tahun lagi – suatu tempoh yang ditafsirkan mereka sebagai terlalu panjang dan berkemungkinan akan membuka ruang yang lebih luas kepada pembangkang untuk melemahkan UMNO dan kerajaan sekiranya kepimpinan parti berterusan dengan pendekatan serta kepimpinan yang ada sekarang.
Antara mereka yang paling lantang dan dikira begitu berpengaruh dalam mendesak pengunduran segera Pak Lah dari tampuk pemerintahan adalah mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Malah, wujud tafsiran umum pada masa ini yang cenderung untuk melihat pengunduran Pak Lah secara lebih awal itu sebagai lebih berpunca dari adanya tekanan di pihak Tun Dr. Mahathir dan ahli-ahli parti yang kian menyetujui akan pandangannya berkaitan kepimpinan Pak Lah.
Walau apapun, keputusan telahpun dibuat di mana teraju kepimpinan parti UMNO dan kerajaan akan bertukar tangan menjelang Mac tahun depan. Setakat ini personaliti yang ditunjukkan oleh Pak Lah sebagai tokoh yang paling layak mengambil alih tempatnya ialah Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Presiden UMNO yang juga adalah Timbalan Perdana Menteri.
Dalam hubungan ini, Pak Lah telahpun cuba melakukan secara terbaik apa yang yang beliau inginkan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan parti dan negara dari tangan Tun Dr. Mahathir dahulu. Kejayaan Pak Lah di peringkat separuh masa pemerintahannya telah menerima pengesahan (endorsement) yang begitu jelas daripada rakyat sepertimana yang dapat dilihat dari adanya pencapaian besar kemenangan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum 2004 lalu.
Cuma, apa yang berlaku di fasa kedua pentadbirannya – sebahagian besarnya dipercayai berpunca dari faktor-faktor di luar jangkaan seperti kekuatan mendadak suara pembangkang di bawah Pakatan Rakyat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menambahkan tekanan terhadap kerajaan.
Seterusnya perkembangan ekonomi dunia yang tidak menggalakkan menyebabkan kerajaan tidak berupaya merancakkan pembangunan ekonomi dan menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan yang banyak kepada rakyat. Keadaan ini dipercayai telah memberi kesan tersendiri dalam mempengaruhi keputusan Pak Lah untuk berundur demi kestabilan parti dan juga negara.
Namun, dari jauh kita berharap supaya proses peralihan kuasa ini akan berjalan sebaiknya tanpa sebarang kegawatan yang boleh menimbulkan kegelisahan tidak perlu dikalangan rakyat. Tidak keterlaluan jika dapat disebutkan disini, kebanyakan rakyat Brunei mengikuti perkembangan dinegara jiran ini dari dekat dengan penuh deberan, justeru turut gelisah dan bimbang sebagaimana yang dialamai oleh sebilangan rakyat di negara seberang ini. Wallahu’alam - (mmo) |