Benarlah bak kata pepatah hujan emas di negeri orang lebih baik lagi hujan batu di negeri sendiri.
Seindah-indan dan semolek-molek negeri orang, indah dan manis lagi tanah air sendiri.
Di tanahair sendirilah tempat tumpahnya darah.
Begitulah apa yang terjadi kepada Tengku Hassan Muhammad di Tiro, 83 yang bergelar Wali Negara yang juga pewaris kesultanan Aceh akhirnya akan menjejak kaki semula ke Tanah Rencong, Aceh Darusslam selepas 30 tahun meninggalkannya.
|
|
Hassan meninggalkan Aceh dalam rangka mencari pengaruh dan kekuatan mempertahankan tanah airnya dari penaklukan kolonial Belanda pada tahun 1978.
Di luar negara beliau bersama beberapa orang rakan seperti Daud Berueh mengagaskan perjuangan bersenjata, Gerakan Aceh Merdeka (GAM).
Beliau berada di Stockholm, Sweden kemudian menubuh kerajaan buangan Aceh di sana.
Perjuangan Aceh dilihat serong oleh Jakarta dan para pemimpin tertinggi GAM sebagai tidak patriotik.
Sehubungan itu berbagai dakyah dan pemalsuan niat murni Hassan atau GAM diputer belit oleh Jakarta dengan harapan GAM ditolak oleh rakyat Aceh.
|
Namun rakyat Aceh lebih mengerti dan tahu denyut nadi mereka daripada harapan-harapan manis yang dilontarkan oleh Jakarta yang dianggap sebagai peramen (gula-gula) saja.
GAM terus mendapat dokongan walaupun |
sebahagian pengasasnya berada jauh dari Aceh, termasuk Tengku Hassan.
Untuk menyelak kembali perjuangan kemerdekaan rakyat Aceh terlalu panjang.
Secara umumnya rakyat Aceh berjuang lebih 130 tahun untuk memerdekakan bumi mereka.
Selepas dijajah Belanda mereka terpaksa berhadapan dengan pemerintah Indonesia yang menafikan hak-hak mereka di bumi Serambi Makkah itu.
Tengku Hassan sendiri kehilangan secara syahid seramai tujuh orang keluarga terpenting kerana berlawan dengan Belanda.
Pada Isnin, 11 Oktober Tengku Hassan akan terbang ke Aceh dan melihat semula bumi yang ditinggalkan selama lebih suku abad itu.
Kepulangannya itu pertama kali sejak 30 tahun dan selepas bencana tsunami melanda Aceh yang meragut lebih 200,000 jiwa pada Disember 2004 lalu.
Kerinduan membuak keturunan ketiga kesultanan Aceh itu apa lagi selepas berlakunya gencatan senjata dan sesudah terlaksanakan perjanjian damai Helsinki, Findland antara GAM dengan Kerajaan Indonesia pada 15 Ogos 2005.
“Saya balik untuk melihat kampung halaman, tempat tumpah darah saya dan negeri saya.. saya merinduinya sejak lama dulu,” begitu-lah tutur Tengku Hassan dalam pertemuan ringkas di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor.
Hassan bertubuh kecil kemas berpakaian Barat kelihatan ceria dan tidak sabar untuk melihat tanah airnya.
Tengku Hassan dilahirkan di Pidie, Aceh pada 25 September 1925, singgah di Kuala Lumpur sejak Sabtu lalu sebelum berangkat ke Aceh.
Semasa di Kuala Lumpur beliau di-kunjungi oleh teman-teman diplomatik lamanya.
Antara mereka yang turut mengunjunginya ialah pemimpin PAS, terdiri dari Setiausaha Agung, Kamaruddin Jaafar, Bendahari, Dr Mohd Hatta Ramli, Ahli jawatankuasa Agung Pas, Abu Bakar Chik.
Presiden Pas Abdul Hadi Awang yang dijadualkan akan ikut serta bagaimana terhalang saat-saat akhir dan menghantarkan Setiausaha Politik, Dr Ahmad Shamzuri Mokhtar sebagai mewakilinya.
Menurut Hassan lagi, harapannya besar sekali dengan kepulangan itu akan membawa rahmat kepada rakyat Aceh dan buminya.
"Bapa Wali diharap menjadi ikon penyatuan masyarakat Aceh dalam membina semula Aceh seperti digagaskan GAM", begitu tutur Malik Mahmood bekas Perdana Menteri kerajaan Aceh di buangan.
Malik turut mengiringi Tengku Hassan untuk pulang ke Aceh bersama seorang lagi bekas menteri, Dr Zaini Abdullah, bekas Menteri Luar Negeri merangkap Menteri Kesihatan.
Turut sama menanti dan mengiringi kepulangan Wali Negara itu ialah bekas Penglima Tentera GAM, Muzakir Manaf dan beberapa orang bekas pegawai tentera dan bekas pegawai kerajaan lain.
Rombongan yang akan pulang bersama Tengku Hassan itu seramai lebih 20 orang.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai kepulangan Tengku Hassan, Malik memberi tahu kepulangan Tengku Hassan itu sudah pun dalam pengetahuan pihak pemeritah Indonesia dan rakyat Aceh sedang menanti-nanti kepulangannya. |
|
Rakyat Aceh sedang menunggu kepulangan Wali.
Sebaik berita itu disiarkan di akhbar rakyat Aceh tidak sabar untuk menatap dan berjabat tangan dengan pemimpin mereka, sambung Malik.
Ketika ditanya apakah Tengku Hassan bercadang untuk menentap di bumi asalnya itu bersama rakyat, beliau menjelaskan kalau boleh begitulah, bagaimana pun bergantung kepada perkembangannya.
Umum tahu mengenai diri bapa Wali dan sejarahnya. Iya, kalau keadaanya mengizinkan memang beliau mahu menetap ditanah airnya, kenapa harus tidak! kata Malik.
Tengku Hassan yang dikatakan baru sembuh diserang strok mengangguk-anggkuk kepala membayangkan hasratnya untuk berada di kampungnya di Tiro begitu besar sekali.
Keluarga dan rakan-rakan lamanya masih ada dan banyak di sana.
Mengenai keselamatan Tengku Hassan memandangkan beliau tokoh kontroversi dan menjadi orang yang pernah diburu oleh pemerintah Indonesia sejak regim Sukarno lagi, Malik menjelaskan, itu tidak menjadi masalah kerana Tengku Hassan dan orang-orang GAM sendiri sudah biasa dengan keadaan itu.
Selama ini pun kami berada dalam keadaan terancam dan waspada dengan kemungkinan-kemungkian akan berlaku. InsyaAlah tidak ada apa-apa kejadian buruk,jaminnya.
Tengku Hassan dan rombongannya itu dijangka berada sebulan di bumi Aceh. Selama itu beliau akan menjelajah ke seluruh Aceh untuk menemui rakyat serta melihat perkembangan dan pembangunan yang diraih Aceh khasnya selepas tamatnya musim gelap dengan pemerintah Indonesia dan juga selepas Aceh dilanda tsunami.
“Mualnya saya akan ke kampung kemudian menziarahi kuburan datuk nenek dan moyang saya,”kata Tengku Hassan penuh mengharap.
Sementara perjumpaan dengan rakyat akan diatur mengikut keperluan yang bakal diadakan di masjid-masjid. Tidak mungkin beliau akan dapat menjelajah ke seluruh Aceh memandangkan kesihatannya tidak begitu baik,” jelas Malik.
Orang ramai yang berhajat akan datang secara bergilir-gilir dan pertemuan akan dibuat mengikut kawasan atau pun mukim. (Dipetik dari Siasah)