BANDAR SERI BEGAWAN - Pelan khas akan dimuktamadkan "secepat mungkin" bagi pembentukan rizab pertukaran wang asing bernilai AS$80 bilion bagi 10 buah negara Asia Tenggara dan tiga buah negara Asia Timur, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Jumaat lepas.
Ketika bertitah mewakili Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada pembukaan persidangan kemuncak pemimpin Mesyuarat Asia dan Eropah (ASEM) di Beijing, China, Baginda Sultan bertitah timbul "kekhuatiran kecairan ekonomi" yang mendorong kita menangani isu ini serta-merta" kerana hanya 10 tahun lalu Asia mengalami krisis kewangannya.
Baginda bertitah persidangan kali ini sangat penting kerana krisis kewangan global, tetapi respons oleh kumpulan lapan negara maju (G8) di Paris awal bulan ini dan yang dilaksanakan oleh setiap negara Eropah untuk mengehadkan kesan krisis banyak membantu memulihkan keyakinan pasaran kewangan dunia.
Menurut Baginda Sultan, inisiatif dana AS$80 bilion itu adalah sejajar dengan Inisiatif Chiang Rai yang dilaksanakan pada tahun 2000 oleh ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan dalam menghadapi masalah kesukaran kecairan jangka pendek di rantau ini dan menambah baik aturan kewangan antarabangsa sedia ada.
"Perbincangan kita di sini kali ini adalah peringkat penting bagi kita untuk belajar daripada krisis-krisis ini yang dihadapi oleh kedua-dua rantau," titah baginda.
"Keadaan mungkin berbeza tetapi kesannya sama iaitu memperlahankan ekonomi. Kita perlu memperoleh balik keyakinan rakyat dan perniagaan kita dan terus bergerak ke arah integrasi ekonomi."
Menurut Baginda Sultan dengan penandatangan Piagam ASEAN pada awal tahun ini dan dengan kehadiran Setiausaha Agung akan membolehkan ASEAN untuk membuat sumbangan yang diselaraskan bersama dalam membolehkan rantau ini mengambil apa juga langkah yang perlu.
"Matlamat kita dalam ASEAN ialah untuk menjadi kesepaduan ekonomi dan kompetitif di peringkat global menjelang tahun 2015 dan sokongan daripada rakan dialog terutamanya Kesatuan Eropah (EU) dan rakan-rakan Asia lainnya adalah penting jika kita mahu mencapai matlamat itu dari segi akses pasaran bagi produk-produk dan perkhidmatan serta peningkatan dalam pelaburan," tegas baginda.
Teks titah Baginda Sultan diedarkan di sini hari ini.
Pada sebelah pagi, Baginda Sultan berkenan berangkat menghadiri majlis santap pagi bagi pemimpin negara-negara ASEAN.
Sempena persidangan kemuncak itu, Baginda Sultan juga berkenan mengadakan pertemuan dengan Presiden Cyprus, Dimitris Christofias.
Yang hadir sama pada pertemuan itu ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Kedua Pehin Dato Seri Setia Lim Jock Seng dan Menteri Kewangan Kedua Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman Haji Ibrahim.
Sementara itu agensi berita dpa melaporkan, Perdana Menteri China Wen Jiabao yang mempengerusikan mesyuarat pemimpin 10 negara anggota ASEAN bersama China, Jepun dan Korea Selatan.
Kesemua 13 pemimpin Asia itu mengadakan perbincangan terbuka mengenai "isu yang menjadi kebimbangan bersama, terutama krisis kewangan dan kesannya ke atas Asia Timur," kata tuan rumah mesyuarat, China.
"Mereka menyuarakan kesediaan mereka mengukuhkan penyelarasan dan kerjasama bagi melakukan usaha bersama bagi mengelak dan menghadapi krisis dalam usaha mengekalkan kestabilan ekonomi," lapor kerajaan China dalam laman web rasmi Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) yang dirasmikan hari ini.
Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan pemimpin Eropah dan Asia berikrar mengukuhkan perpaduan dan mengambil tindakan tegas dalam menghadapi cabaran-cabaran tidak terduga ekoran krisis ekonomi global.
Pada pembukaan rasmi mesyuarat dua hari itu, Wen dengan jelas menyatakan Asia mengambil perhatian gesaan Eropah supaya bekerjasama menghadapi krisis kewangan terburuk sejak tahun 1930-an.
"Untuk menyelesaikan krisis ini memerlukan tindakan global dan respons bersama," beritahu Wen kepada pemimpin pada perasmian persidangan kemuncak itu.
"Asia dan Eropah adalah kuasa penting dalam mengekalkan kestabilan kewangan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi. Kita perlu berganding bahu bagi menunjukkan kepada dunia keyakinan kita."
Dalam usaha penyelarasan bersama Asia bagi menghadapi kemelut itu, China, Jepun dan Korea Selatan serta 10 buah negara anggota ASEAN akan menubuhkan dana bernilai AS$80 bilion bagi membiayai negara-negara yang mungkin terjejas bagi menghadapi spekulator pasaran wang.
Ketika apa yang kelihatan berita buruk yang datang bertali arus, mengenai ekonomi-ekonomi di seluruh dunia, Wen dan pemimpin-pemimpin membangkitkan kemurungan mengenai kemelut itu.
"Penularan krisis kewangan antarabangsa yang semakin memburuk sudah menjejaskan dengan serius kestabilan kewangan antarabangsa dan pertumbuhan ekonomi dunia," kata Wen pada pembukaan persidangan kemuncak.
Dalam ucapannya pada pembukaan persidangan kemuncak ASEM, Presiden Perancis Nicolas Sarkozy meminta Asia menyokong Eropah pada mesyuarat penting ekonomi bulan depan di Amerika Syarikat di mana para pemimpin akan membincangkan langkah-langkah menamatkan kemelut itu.
"Apabila persidangan kemuncak di Washington pada 15 November, Eropah akan membentuk barisan bersatu dan kami akan membentangkan cadangan yang dipertimbangkan dengan teliti yang diusahakan bersama," kata Sarkozy. |