LIMBARUH HIJAU, Jumaat- Himpunan Wanita Parti Pembangunan Bangsa (HAWA) telah mengadakan Majlis Pengagihan Daging Korban di Markas Pusat Limbaruh Hijau hari ini.
Majlis tersebut yang telah didahului dengan bacaan takbir beramai-ramai turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Parti Pembangunan Bangsa Saudara Malai Hassan bin Malai Haji Othman, serta Setiausaha Agung Saudara Haji Juned bin Haji Ramlee, dan Bendahari Agung Saudara Haji Ismail bin Haji Ibrahim.
Menghadiri sama majlis tersebut ialah Naib Presiden Daerah Temburong Awang Haji Zaini, Ketua Pemuda Ak Shahrilan Pengiran Ahmad serta ahli-ahli NDP yang lain terutama sekali di kalangan anggota Himpunan Wanita.
Pengerusi majlis tersebut Ketua Himpunan Wanita Pusat NDP Saudari Hajah Sa’emah Haji Kepli ketika berucap merakamkan kesyukuran kerana dengan izin Allah SWT jua, HAWA NDP dapat melaksanakan majlis korban bagi tahun 1431 Hijrah ini, dan berharap majlis seperti itu berterusan setiap tahun bukan saja di kendalikan oleh HAWA tetapi juga biro-biro yang lain kerana ibadah korban adalah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan ianya juga merupakan satu majlis yang boleh mengeratkan perpaduan Islam dan ikatan siratulrahim sesama insan terutama sekali dapat dalam masa yang sama dapat membantu di kalangan fakir miskin.
Menurut Ketua HAWA Pusat setiap amal kebajikan yang dilakukan memang ada ganjarannya dari Allah SWT, begitulah juga ibadat korban, di antara hadits Rasulullah SAW yang menyebut tentang fadhilat Korban ialah Hadits yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Aisyah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak melakukan seseorang amal pada hari raya yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban), sesungguhnya korban itu akan datang pada hari kiamat dengan tanduk, bulu dan kuku kakinya. Dan sesungguhnya darah korban itu jatuh daripada Allah pada satu tempat kemuliaan sebelum jatuh ke bumi, maka sukakanlah diri kamu dengan korban itu”.
Sementara itu dipetik dari kitab Sabiilul Muhatadiin, Nabi Muhammad SAW bersabda “Perbesarkanlah kamu akan korban, kerana ianya di atas Siratal Mustaqim nanti sebagai tungganganmu”.
Seekor kerbau telah disembelih untuk Majlis Korban HAWA NDP itu dengan peserta korbannya seramai tujuh orang, acara penyembelihan dan kerja-kerja memotong daging korban telah dilakukan di kediaman salah seorang ahli di Kuala Belait. Kerja gotong royong memotong daging seterusnya dibungkus untuk acara pengagihan telah disertai oleh beberapa orang anggota HAWA Daerah Belait disertai sama oleh Ketua HAWA Pusat dan Setiausaha Hawa Pusat Dayang Safiah binti Haji Zaini serta Ketua HAWA Daerah Belait Dayang Kartini Abd Manap.
Turut hadir menyaksikan majlis penyembelihan kerbau korban hari ini ialah Timbalan Presiden NDP Saudara Malai Hassan bin Malai Haji Othman dan Ketua Pemuda Pusat Awangku Sahrilan Pengiran Ahmad.
Majlis penyampaian agihan daging yang diadakan di Markas Pusat telah disempurnakan bersama oleh Timbalan Presiden, Setiausah Agung, Bendahari Agung dan Ketua HAWA Pusat.
Majlis Korban merupakan salah satu daripada acara keagamaan Himpunan Wanita NDP yang bertujuan untuk mengeratkan lagi tali siratulrahim di samping terus menanamkan sifat pengorbanan yang tidak berbelah bahagi dalam apa jua yang dilakukan hanya Kerana Allah SWT.
Ketua HAWA Pusat dalam ucapannya juga turut merakamkan penghargaan dan terima kaseh kepada mereka yang terlibat menghulurkan sumbangan untuk jamuan dan juga kemudahan lainnya bagi menjayakan lagi majlis tersebut.