Usaha pihak Lembaga Pelancongan Brunei untuk ‘menjual’ Brunei sebagai destinasi halal tanpa was-was pada Persidangan dan Travel Mart Pelancongan Islam Antarabangsa (ITCM) di Kuala Lumpur, amatlah baik dan bertepatan dengan Negara ini sebagai Negara Islam dan Negara Zikir.
Parti pembangunan Bangsa (NDP) sangat mengalu-alukan usaha ini dan berharap ianya turut disambut baik dan disokong oleh pihak-pihak lain seperti pihak perhotelan, pengangkutan dan restauran-restauran.
Sepertimana yang telah disarankan oleh NDP melalui manifesto Politik parti 2006 -2016 industri pelancongan di Negara Brunei perlu dimajukan sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan ekonomi.
Untuk itu produk pelancongan Islamik seperti mewujudkan konsep Bandar Warga Emas, menonjolkan aspek-aspek kebudayaan dan kesenian Melayu tulen, menganjurkan pertunjukan, pameran, persidangan, seminar dan ijtimak yang berteraskan ilmu dan ketamadunan Islam masa kini perlu digiatkan.
Kegiatan-kegiatan ini bolehlah diadakan sepanjang tahun dan digerakkan sepenuhnya oleh sektor swasta, dengan kerjasama Kerajaan Kebawah DYMM, melalui Lembaga Kemajuan Pelancongan Brunei yang bertindak sebagai fasilitator atau pemudahcara dengan menyediakan prasarana-prasarana yang diperlukan baginya.
Memandangkan posisi Bandar Seri Begawan di pertengahan laluan Jakarta dan Bangkok / Yangon, Singapura dan Hong Kong, Kuala Lumpur dan Manila, Delhi dan Phnom Penh / Hanoi, maka usaha hendaklah dijalankan untuk menjadikan Bandar Seri Begawan sebagai pusat persinggahan dan berbelanja bagi mempromosi dan menyebarluaskan pendekatan dakwah bilhal.
Juga perlu diberikan perhatian serious ialah mempromosikan ‘eco-tourism’ yang berkualiti dengan penggunaan konsep ‘well guided and informative nature tourism’ yang mesra alam sekitar (environmentally friendly) yang tidak memudaratkan dan memusnahkan alam sekitar.
Dalam masa sama Brunei selaku anggota ASEAN mempunyai nilai mata wang yang agak tinggi nilainya dibanding negara-negara anggota yang lain selain Singapura.
Maka perlu dipertimbangkan supaya bayaran perkhidmatan yang munasabah ditawarkan bagi keselesaan pelancong.
Jikalau makanan saja halal sedang kemudahan lain tidak memenuhi keperluan dan citarasa pelancong yang datang, tentunya hasrat itu tidak akan berjaya.
Makanan halal sahaja tanpa keenakan dan kepelbagaian serta harga yang mahal, kebersihan yang kurang, selain bayaran yang tidak mesra pelanggan akan menjadikan pelancong tidak berminat untuk datang lagi. Begitu juga halnya dengan pengangkutan yang tidak selesa sedang harga yang ditawarkan adalah tinggi, akan menjadi cerita yang tidak baik dibawa pulang.
Sekarang banyak penginapan dibina tentunya menantikan kedatangan pelancong menginap di tempat mereka. Kita percaya pengusaha tempat penginapan itu sudah bersedia dengan cara masing-masing bagi menarik pelanggannya.
Keselesaan dan kepuasan mereka biarlah menjadi ristaan apabila mereka pulang ke tanah air mereka dengan membawa berita gembira itu kepada rakan, sahabat dan keluarga untuk ke Brunei .
Kita sebagai orang Brunei mestilah menyokong sama dengan memperlihatkan budaya kita yang bersopan santun, menghormati dan melayan dengan baik sehingga pelancong itu merasa bahawa mereka disenangi dan dihargai atas sumbangan mereka melawat ke Negara ini
Kita juga mengalu-alukan saranan Yang berhormat Menteri Kesihatan , supaya JPMC bekerjasama dan berusaha mendapatkan standard pengiktirafan hospital antarabangsa dan melalui pengiktirafan itu akan mewujudkan keyakinan bagi menarik minat pesakit-pesakit luar Negara ke Brunei dan sekali gus menjadikan Negara ini tarikan kepada pelancongan perubatan.
Kejayaan Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) menjalankan pembedahan jantung amat kita banggakan, kerana sebelumnya semua pembedahan serupa terpaksa dilakukan di luar Negara.
Kejayaan itu tentunya dapat menjimatkan perbelanjaan dan dapat meningkatkan perkhidmatan kesihatan di Negara ini. Sekiranya JPMC mendapat pengiktirafan seperti yang disarankan oleh YB Menteri Kesihatan itu, sudah tentu akan dapat menarik perhatian orang luar untuk mendapatkan rawatan disini.
Untuk menuju dan mencapai hasrat itu, maka pihak JPMC seharusnyalah berusaha dalam segala bidang supaya JPMC akan menjadi Pusat Rawatan Jantung yang unggul di rantau ini. (JR)
|