LIMBARUH HIJAU 12 ZULHIJJAH 1431 (19 NOV 2010) - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) menyambut baik titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) dipusatkan di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri (JPM).
NDP melihat langkah baginda Sultan meletakkan kedua-dua agensi penting tersebut dibawah JPM merupakan satu langkah bijaksana dalam perlaksanaan terselaras dan bersepadu strategi-strategi pembangunan yang telah digariskan dalam program Wawasan Negara 2035 yang diperkenalkan pada 2008 lepas.
Wawasan Negara 2035 menjanjikan bahawa Negara Brunei Darussalam yang kecil ini, dalam tempoh masa kurang 25 tahun mendatang, akan bangkit dan dikenali diseluruh dunia sebagai sebuah negara Melayu, Islam, Beraja yang mempunyai rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, mempunyai kualiti hidup yang tinggi dan mempunyai pendapatan per kapita yang teratas setara dengan 10 negara teratas dunia.
Kearah mencapai wawasan tersebut 8 strategi telah dikenalpasti bagi memastikan semua aspek pembangunan dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.
Strategi-strategi tersebut ialah 1- Strategi Pendidikan;2- Strategi Ekonomi; 3- Strategi Keselamatan; 4- Strategi Pembangunan Institusi; 5- Strategi Pembangunan Perniagaan Tempatan; 6- Strategi Pembangunan Infrastruktur; 7- Strategi Jaminan Sosial dan 8- Strategi Alam Sekitar.
Landasan yang telah disediakan dalam perlaksanaan strategi-strategi tersebut ialah melalui Rangka Strategi dan Dasar bagi Pembangunan (OSPD) pertama bagi tempoh 10 tahun mendatang iaitu dari 2007 hingga 2017. Dibawah OSPD ini juga telah dilancarkan Rancangan Kemajuan Negara (RKN) 5-tahun pertama bagi tahun 2007 - 2012.
RKN 2007 - 2012 merupakan RKN pertama yang digubal berasaskan matlamat Wawasan Brunei 2035. Di fasa kedua nanti RKN kedua iaitu bagi tempoh 2012 - 2017 pula akan dilancarkan.
Tidak disangkalkan sejak perlaksanaan program pembangunan Wawasan 2035 dua tahun lepas, kita telah menyaksikan kerancakkan pembangunan dipelbagai bidang terutama dibidang pembangunan perumahan rakyat, keselamatan permakanan, pendidikkan, dan pembangunan ekonomi.
Dalam masa sama kita juga dapat merasakan kegelisahan dikalangan rakyat termasuk pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana (PKS) tempatan terutama dikalangan orang Melayu yang merasakan mereka semakin terpinggir dalam arus deras pembangunan Wawasan 2035.
Justeru NDP berkeyakinan langkah kehadapan yang diperkenankan baginda Sultan akan dapat mengimbangi keadaan ini.
Sehubungan dengan itu NDP mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas lantikkan Dato Paduka Awang Haji Ali bin Haji Apong, selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei bagi menggantikan Dato Paduka Timothy Ong, Pemangku Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei yang telah ditamatkan perkhidmatannya dengan serta-merta.
Berikutan perlantikkan tersebut Dato Awang Haji Ali, sebelum ini memeggang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan telah dipindahkan ke JPM memeggang portfolio Timbalan Menteri.
NDP mendoakan semoga Dato Paduka Awang Haji Ali bin Haji Apong akan sentiasa diberikan kekuatan dan kebijaksanaan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab membantu baginda Sultan membangun bangsa dan negara seperti yang telah direncanakan dalam Wawasan 2035.