BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 25 November. - Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) mesti bersikap lebih berani dan waspada dalam berhadapan dengan pelbagai keadaan rumit di era globalisasi.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, ABDB juga perlu terus peka dengan setiap pergolakan dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Bertitah di Majlis Perasmian Maktab Turus ABDB, baginda yang juga selaku Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi ABDB menekankan bahawa objektif tersebut tidak akan dapat dicapai dengan hanya bersikap pasif dan berpeluk tubuh.
"Kita perlu pro-aktif dan dinamik dalam menyesuaikan diri dengan keadaan" titah baginda di majlis yang berlangsung di Perkhemahan Sungai Akar, hari ini.
Maka untuk itu, titah baginda, ABDB haruslah pandai mengambil pendekatan praktikal dengan penekanan kepada 'inter-agency' dan 'multi-national operations' terutama dalam konsep 'operasi bersama' dan Joint Operational Planning.
Sementara itu keberangkatan Baginda Sultan juga menyakisakn lembaran sejarah baru Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dengan tertubuhnya institusi pengajian tertinggi tentera iaitu Maktab Turus ABDB yang terletak di Perkhemahan Sungai Akar.
Ketika bertitah sejurus sebelum merasmikan maktab berkenaan Baginda Sultan melahirkan rasa bersyukur kerana Kementerian Pertahanan dan ABDB terus bergerak ke arah meningkatkan lagi perkhidmatannya.
"Sebagai usaha yang berterusan, maktab ini akan memantapkan lagi pengurusan dan perkembangan sumber tenaga, serta insya-Allah, akan melahirkan pegawai-pegawai peringkat tertinggi yang berkemahiran dan berpengetahuan," titah baginda.
Baginda seterusnya bertitah menyeru supaya maktab berkenaan menanamkan kefahaman tentang keutamaan dan kualiti kepimpinan serta mempunyai kesedaran terhadap keadaan sekeliling yang ada kaitan dengan kepentingan strategik.
Sehubungan itu, titah baginda, konsep operasi bersama bukan saja perlu dimiliki, malahan juga mesti dikembangluaskan terus menerus demi pencapaian menyeluruh dan juga untuk memenuhi hasrat seluruh stakeholders.
"Atas kepentingan inilah, kita juga menghargai penyertaan pegawai-pegawai daripada negara-negara sahabat dan agensi keselamatan negara lain. Mereka ini akan turut menghidangkan perspektif dan pengalaman mereka yang tersendiri dalam menangani isu-isu keselamatan dan latihan serta pengajian," titah baginda.
Interaksi di antara mereka itu, titah baginda, akan turut memperkaya pembelajaran dan pengalaman serta pertukaran idea secara timbal balik serta mengeratkan lagi kerjasama pertahanan atau networking di antara negara-negara peserta.
Menurut baginda, maktab berkenaan akan berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan yang sesuai bagi peserta-peserta yang berjaya, dan sebagai hasil kerjasama dengan University Massey dari New Zealand, para peserta akan dianugerahkan Diploma Lepasan Ijazah dalam bidang Pengajian Strategik dan Pertahanan, di samping diberikan peluang untuk meneruskan pembelajaran ke peringkat Ijazah Lanjutan.
Kesemua itu, tambah baginda adalah merupakan satu pendekatan yang baik lagi menguntungkan untuk para peserta kursus.
Dalam aspek lain pula, penubuhan maktab berkenaan juga akan membuka jalan kepada pembentukan Akademi Pertahanan ABDB, yang mana baginda seterusnya ingin melihat kursus itu akan menjadi sebuah kursus yang berprestij yang akan membantu akademi tersebut menjadi sebuah pusat kecemerlangan dalam profesional ketenteraan, setanding dengan institusi lain di rantau ini.
"Setiap kursus yang dijalankan oleh Akademi Pertahanan, seharusnya akan sentiasa dipantau dengan melaksanakan validasi yang bersesuaian demi untuk menentukan ianya sentiasa relevan mengikut perkembangan masa dan keadaan," titah baginda.
Pada mengakhiri titah perasmian itu, baginda menaruh keyakinan seandainya perkara itu dilaksanakan, Akademi Pertahanan ABDB akan mencapai matlamatnya dengan baik. (Teks dan gambar ehsan Pelita Brunei)
|