LIMBARUH HIJAU 28 NOVEMBER 2008 - BERSEMPENA memperingati hari ulang tahun kelahiran KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kali ke 62 pada 15 Julai lepas, satu Majlis Ilmu membincangkan topik membangun sebuah 'Negara Zikir' telah di adakan di ICC, Bandar Seri Begawan.
Majlis Ilmu dari 26 Julai – 6 Ogos 2008 itu telah dirasmikan oleh Kebawah DYMM sendiri. Beberapa tokoh dan ilmuan serta cerdikpandai dari luar dan dalam negara telah di jemput untuk untuk mewacanakan pandangan dan pemikiran mereka mengenai dengan konsep negara zikir yang dimaksudkan.
Baginda Sultan pula semasa merasmikan majlis tersebut telah bertitah menyarankan supaya Negara Zikir di Brunei akan menjadi kenyataan.
Antara lain Baginda menekankan keazaman Baginda untuk melihat Brunei Darussalam menjadi Negara Zikir.
Tegas Baginda,"....azam Beta ini bukanlah retorik. Tetapi bersumber dari keyakinan mendalam bahawa Negara Zikir itu akan menjadi ‘tuah’ kepada semua, kerana ia pasti disukai oleh Allah, Tuhan Maha Pencipta, dan akan mendapat rahmat serta pertolonganNya".
"Dengan konsep Negara Zikir, kita insya Allah, akan membangun negara dan kehidupan, dengan perkara-perkara yang dipandang baik serta bagus oleh Allah dan juga oleh manusia. Kita akan usahakan kecemerlangan dangan konsep ini".
"Ertinya, anak-anak kita cemerlang dalam pelajaran, orang teknikal kita cemerlang, doktor kita cemerlang, pengusaha kita cemerlang, pentadbir kita cemerlang, pemegang polisi kita cemerlang, pekerja kita cemerlang, pendeknya semua kita ini adalah cemerlang kerana keramah dan berkat zikir (ingatan kepada Allah Ta’ala)".
"Cuma syarat terpenting di sini, semua pihak mestilah sama-sama memahami karekteristik Negara Zikir itu, apa fundamentalnya dan bagaimana ruang lingkupnya, supaya kita benar-benar meyakininya sebagai acuan dan landasan yang sangat-sangat kita perlukan.”
Begitulah antara lain yang di tekankan oleh Baginda Sultan di majlis perasmian Majlis Ilmu 2008 itu.
Sehubungan dengan titah Baginda tersebut, NDP melihat hasrat dan cita-cita suci Baginda tersebut sangat perlu diberi perhatian oleh semua golongan masyarakat khususnya para pemimpin, para ilmuan dan juga tokoh-tokoh politik.
Bagi NDP, saranan tersebut adalah sangat penting. Oleh itu NDP menyanjung tinggi hasrat tersebut dan berjanji akan berusaha dengan sedaya upaya untuk membantu merealisasikannya.
Insya Allah kearah itu usaha untuk menerbitkan sebuah buku kecil bertajuk 'Negara Zikir - Pemahaman NDP' yang bertujuan untuk merungkai, memahami dan menghayatai hasrat Baginda Sultan yang suci murni sama ada yang tersurat mahupun yang tersirat akan di terbitkan dalam sedikit masa lagi.
Sehubungan dengan itu Aspirasi-NDP juga akan menyiarkan secara bersiri isu kandungan buku kecil tulisan sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden NDP untuk tatapan kita semua.
Buku 'Negara Zikir - Pemahaman NDP' setebal 98 muka surat tersebut di bahagikan kepada 4 tajuk utama iaitu Bahagian l Takrif Zikir, BAHAGIAN II Konsep Negara Zikir, BAHAGIAN III ‘Negara Zikir’ Pada Pemahaman NDP dan BAHAGIAN IV Pengisian Terhadap ‘Negara Zikir’.
Mudah-mudahan dengan usaha ini dan dengan terbitnya buku kecil tersebut nanti akan dapat sedikit sebanyak memberikan kefahaman kepada ahli-ahli NDP mengenai istilah negara zikir yang hingga kini masih lagi merupakan suatu pandangan umum dan suatu idea yang baru dicetuskan.
Di harapkan dengan kesedaran tersebut seluruh warga NDP akan turut sama dengan penuh kesedaran, berusaha mencapai segala hasrat penubuhan negara zikir.
|