Sebelum membincangkan konsep Negara Zikir secara khusus, terlebih dahulu kita huraikan sedikit tentang takrif negara. Para saintis politik sepakat menerima takrif negara sebagai sebuah wilayah yang di dalamya terdapat rakyat, pemimpin, undang-undang dan ‘negara’ itu diiktiraf sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat oleh sebuah atau lebih negara merdeka dan berdaulat yang lainnya.
Menurut Dr Abdul Karim Zaidan dalam bukunya Islam Dan Politik Kenegaraan, ciri-ciri yang mesti ada pada sesebuah negara ialah:
a. Kelompok manusia
b. Taat kepada suatu sistem atau peraturan
c. Menduduki daerah tertentu
d. Mempunyai kekuasaan
e. Mempunyai syakhsiyyah undang-undang
Salah satu komponen terpenting dalam negara ialah rakyat (kelompok manusia). Dalam kelompok manusia ini ada pemimpin dan ada rakyat yang dipimpin. Pemimpin adalah pemegang amanah untuk mentadbir dan mengurus wilayahnya dengan sebaik mungkin. Rakyat pula bertanggungjawab untuk memajukan diri menjadi rakyat yang terbaik dan berkualiti tinggi serta patuh dan taat kepada pemerintah yang baik itu.
Dalam konteks yang lain, kelompok rakyat pula terbahagi dua golongan iaitu muslim dan non muslim. Teori perlembagaan Islam sesungguhnya mengiktiraf kewarganegaraan orang-orang bukan Islam. Pengiktirafan ini boleh dilihat umpamanya dalam Perlembagaan Madinah. Oleh itu, orang bukan Islam pun boleh menjadi rakyat negara Islam tanpa perlu menukar agama mereka dan hak ini dilindungi oleh negara.
Maksud Negara Zikir
Bersandarkan pemahaman kita mengenai takrif negara dan takrif zikir itu, maka bolehlah kita beralih dan menumpukan perbincangan mengenai takrif negara zikir dalam konteks dan perspektif yang lebih luas.
Dari beberapa kertas yang dibincangkan dalam Majlis Ilmu 2008 itu, beberapa takrifan negara zikir telah dimajukan. Di antaranya adalah seperti berikut :
Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned, Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam, mentakrifkan negara zikir sebagai,
“Negara, di mana ramai orang-orang berzikir; negara, yang sentiasa meriah dan kaya dengan zikir; negara, yang dibangun dan ditadbir dengan zikir; negara, yang dipertahan dan dipelihara dengan zikir.
“Negara Zikir” adalah negara yang berorientasi dan berpaksikan zikir: Siasahnya siasah zikir, ekonominya ekonomi zikir, sosialnya sosial zikir, dan pertahanannya pertahanan zikir”.
Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abd. Rahman Timbalan Menteri Pendidikan, Negara Brunei Darussalam, berhujah bahawa,
“….‘negara zikir’ itu ialah negara yang bertuhan, negara yang rakyat dan penduduknya selalu mengingat tuhan. Tuhan itu ialah Allah subhanahu wataala, bukannya tuhan dalam fahaman agama lain. Jika demikian maka ‘negara zikir’ itu ialah negara Islam yang berpegang teguh kepada ajaran Islam, mengamalkan dan menghayatinya dari segi akidah, syariah dan akhlaknya”.
Menurut Prof. Muhammad ’Uthman El-Muhammady, “negara zikir” ialah,
“….negara yang penduduknya beriman dan bertaqwa, yang mendapat keberkatan dari bumi dan langit; yang kalau berlaku kesilapan maka mereka kembali kepada jalan yang hak, dengan beriman, lalu menjadi selamat daripada kehinaan dunia, ….negara yang rakyatnya bila berlaku sesuatu yang menyentuh keamanan dan keselamatan negara mereka kembalikan perkara itu kepada ulil-amri dan keputusan pun dibuat oleh mereka yang berupa ahli istinbat sebenarnya, mereka yang membujat keputusan pakar dan mengelak budaya ‘intellectual cowboysm’; negara zikir yang rakyatnya beribadat kepada Tuhan, bezikir dan hidup dalam keadaan jaga rohani dan akal serta gerak-gerinya. Negara yang para ahlinya menjalankan amar makruf dan nahi munkar dengan syarat-syaratnya".
Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, pula memberi takrif “Negara Zikir” seperti berikut,
“….negeri dengan penduduknya sentiasa mengingat Allah bagi menjamin kemakmuran, keamanan serta kesejahteraan yang sustainable”.
Negara Islam Brunei Dari Perspektif Sejarah Gerakan Politik
Kalau kita melihat dari perspektif sejarah moden Brunei, Perlembagaan 1959 telah memaktubkan Ugama Islam sebagai Ugama Rasmi. Pemaktuban Ugama Islam sebagai Ugama Rasmi bagi negeri Brunei dan usaha-usaha pembangunan pendidikan Islam dan syiar yang diungkayahkan oleh Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Saadul Khairi Waddin itu, turut disambut oleh PRB(1956 – 1962).
Kearah itu, kepimpinan PRB telah memperkenalkan program tarbiyahnya dipimpin oleh Almarhum (Qadhi) Imam Hj Muhd Suhaili Hj Yaakub, Hj Sharbini Hj Yaakub dan Hj Wan Abd Razak bin Wan Abd Rahman yang berasal dari Kg. Laut, Kota Bahru Kelantan, bertempat di “Rumah Besar”, Kampung Padang, Pekan Brunei.
Lebih jauh, di fasa kedua perjuangan PRB dalam buangan ( 1973 -1984), parti itu begitu komited untuk meletakkan agenda pembentukan Negara Islam Brunei yang, ”....bukan hanya di bidang perundangan, sistem pemerintahan, pelajaran dan pendidikan, malahan akan dilaksanakan sebagai cara hidup harian rakyat dengan tidak membuang unsur-unsur budaya Bangsa selagi mana ianya tidak bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam sesuai dengan tempat dan suasananya. Penganut-penganut ugama lain bebas melakukan kegiatan-kegiatan ugama mereka selagi mana tidak bertentangan dengan undang-undang negara”.
Pada tahun 1975, ketika memperjuangkan kemerdekaan Brunei dari dalam buangan, PRB telah mengeluarkan Manifesto Politiknya yang menggariskan pelan Brunei Merdeka yang dipandu oleh falsafah Trisila, iaitu Islam, Nasionalisma dan Demokrasi yang kemudiannya ditakrif secara terperinci oleh Departmen Pemuda PRB.
Ketika Allahyarham Dr. Mahmud Saedon Othman berada dalam kepimpinan tertinggi PRB di luar negara pada tahun 1976 - 1984, pengaruh beliau sebagai seorang ulama’ telah mencorakkan perjuangan Islam yang lebih bermakna dan lebih jelas lagi kedalam roh PRB.
Natijah dari siri muzakarah dan usrah berterusan telah mendorong Departmen Pemuda PRB untuk mendokumentasikan dengan jelas takrif dan makna kepada falsafah Trisila tersebut ke dalam sebuah dokumen yang dikenali ”Program Politik Departmen Pemuda PRB” (1982). Program Poilitik ini telah mencadangkan rangka struktur pemerintahan Brunei yang ideal sebagai sebuah negara Islam yang merdeka lagi berdaulat.
Antara struktur pemerintahan yang dikemukakan di dalam Program Politik Departmen Pemuda PRB (1982) itu ialah, agar tanggungjawab pemerintahan Negara Brunei itu diletakkan di atas Kepala Negara (Kebawah DYMM), Majlis Pimpinan Negara (Wizarah Tafwid), Majlis Syura Ulama, Majlis Mesyuarat Rakyat, Majlis Pentadbiran Negara (Kabinet) dan Majlis Kehakiman Negara.
Pada pandangan Departmen Pemuda PRB, pembentukan Majlis Syura Ulama harus diberi perhatian kerana ianya adalah relevan dalam struktur pemerintahan Islam. Peranan Majlis tersebut adalah sebagai badan yang bertanggungjawab menapis keputusan-keputusan yang dibuat oleh Majlis Mesyuarat Rakyat (Majlis Mesyuarat Negara).
Saranan Departmen Pemuda PRB seterusnya ialah supaya ”Majlis Mesyuarat Rakyat mestilah tunduk kepada keputusan dan fatwa Majlis Syura Ulama dalam semua urusan. Majlis Syura Ulama ini juga hendaklah menjadi badan rujukan kepada Majlis Kehakiman Negara, Majlis Pentadbiran Negara dan Majlis Pimpinan Negara dalam perkara-perkara penting yang memerlukan fatwa dan keputusan berdasarkan Syariah Islam. Fatwa dan keputusan Majlis ini adalah mengikat. Majlis ini hendaklah diketuai oleh seorang ulama yang juga menjadi Pengerusi Majlis Pimpinan Negara kerana jawatan dan dikenali sebagai Pengerusi Majlis Syura Ulama.”
Kita berpandangan bahawa usaha Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddein Saadul Khairi Waddin untuk memertabatkan Ugama Islam itu, dan keinginan umat Islam Brunei melalui wadah PRB untuk mendaulatkan Islam sebagai Ugama yang syumul adalah sejajar. Sejarah telah menjadi saksi, betapa pandangan ini telah diterjemahkan secara rasmi oleh Kebawah DYMM melalui titah permayshuran kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada 01 Januari, 1984 yang berbunyi:
“Negara Brunei Darussalam adalah dengan izin serta limpah kurnia Allah SWT akan selamanya kekal menjadi sebuah negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan ajaran-ajaran Islam menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah dan berasaskan keadilan, amanah dan kebebasan”
Fundamental Dan Ruang Lingkup ‘Negara Zikir’
Merujuk kepada titah Baginda,
“….semua pihak mestilah sama-sama memahami karekteristik Negara Zikir itu, apa fundamentalnya dan bagaimana ruang lingkupnya.”
Menurut pemahaman NDP, bahawa apa yang dimaksudkan oleh Kebawah DYMM itu ialah supaya kita semua tidak menyempitkan pengertian istilah konsep Negara Zikir itu kepada hanya amalan-amalan biasa yang teradat. Kita percaya, bahawa sebilangan besar di kalangan masyarakat kita termasuk ahli-ahli NDP sendiri ada yang masih kurang jelas dengan konsep tersebut, justeru ada yang mungkin hanya menerima kefahaman dan pengertian zikir dalam perspektif yang terbatas.
Supaya kita dapat memahaminya dengan lebih jelas, sayugia kita meneliti secara mendalam akan saranan-saranan kitab suci Al-Quran berhubung dengan konsep zikir yang lebih luas.
Surah Al Nahl, ayat 44, bermaksud: Dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.
Surah Al Qalam, ayat 51, bermaksud: Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, hampir-hampir menggelincir dan menjatuhkanmu dengan pandangan mereka (yang penuh dengan permusuhan dan kebencian), semasa mereka mendengar Al-Quran sambil berkata: “Sebenarnya (Muhammad) itu, sungguh-sungguh orang gila”.
Kedua-dua ayat tersebut menjelaskan bahawa Al-Quran mengandungi segala hukum-hakam dan peraturan hidup yang boleh menjamin kebahagiaan sama ada di dunia dan di akhirat.
Justeru, inilah tujuan utama kita menubuhkan NDP. Dalam perlembagaan parti, kita telah menentukan bahawa matlamat akhir perjuangan kita ialah untuk bersama-sama Kebawah DYMM membangunkan sebuah negara yang di sebut di dalam Al-Quran,
Surah Saba’, ayat 15, bermaksud: negeri yang aman makmur, dan mendapat keampunan Tuhan.
Karakteristik ‘Negara Zikir’
Kita berpendapat, sekurang-kurangnya terdapat tiga karekteristik yang membentuk sebuah negara zikir, iaitu konsep daulah yang jelas, pemimpin, dan rakyat yang berkualiti tinggi:
1. Daulah
Paksi utama kepada pentadbiran sesebuah negara ialah asas kefahaman terhadap konsep kedaulatan. Islam telah meletakkan definisi kedaulatan bahawa kedaulatan de jure kepunyaan Allah SWT dan kedaulatan de facto wujud dan lahir dalam gerak kerja seluruh alam sejagatNya dan Allah SWT memiliki sepenuhnya hak kedaulatan dan kekuasaan ke atas seluruh makhlukNya.
Hakikat ini sesungguhnya telah diterima sepenuhnya oleh rakyat negara ini sejak awal lagi. Kesedaran ini boleh dilihat pada pegangan Partai Rakyat Brunei (PRB) di dalam Manifesto Politik 1975 terbitannya dan ditafsirkan oleh Departmen Pemudanya dalam Program Politik Departmen Pemuda PRB (1982), yang menegaskan:
Kedaulatan Kerajaan Islam Brunei hanya terletak di tangan Allah kerana Allahlah yang empunya kerajaan di bumi dan di langit, sementara:
1. Kedaulatan dan Keutuhan undang-undang Kerajaan Islam Brunei akan diamanahkan kepada Kepala Negara dan Wizarah Tafwid dalam Majlis Pimpinan Negara.
2. Kedaulatan dan Keutuhan politik akan diamanahkan kepada perwakilan rakyat yang dipilih dan bersidang di parlimen.
Pendirian di atas diperjelaskan melalui ayat berikut.
Surah Yusuf, ayat 40, bermaksud: Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia.
Menolak kedaulatan de jure yang dimiliki oleh Allah s.w.t. bererti kekufuran, kezaliman dan kefasikan sepertimana yang dapat difahami pada ayat-ayat berikut:
Surah Al Maidah, ayat 44, bermaksud: Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.
Surah Al Maidah, ayat 45, bermaksud: Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
Surah Al Maidah, ayat 47, bermaksud: Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
Berdasarkan ayat-ayat di atas, adalah jelas bahawa kedaulatan itu adalah hak Allah yang mutlak. Ini bermakna apa jua hak dan kekuasaan yang ada pada mana-mana pemerintah adalah tidak mutlak. Bahkan pemerintah itu sebenarnya sekadar melaksanakan amanah yang ditetapkan oleh Allah SWT. Justeru itu setiap manusia adalah sama dan setara di sisi Allah. Tiada seorang pun yang mempunyai apa-apa kelebihan atau imuniti apatah lagi terlepas dari hukum Allah SWT. Kenyataan ini adalah bersandarkan kepada maksud hadis berikut:
“Adakah engkau meminta syafaat dalam perkara hukum hudud Allah? Kemudian Rasulullah SAW bangun berkhutbah: Wahai manusia! Sesungguhnya binasalah orang-orang yang lebih dahulu daripada kamu kerana tindakan mereka, apabila orang bangsawan mencuri mereka biarkan, dan apabila orang lemah (miskin) mencuri mereka jatuhkan hukuman had. Demi Allah sekiranya anakku Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku potong tangannya.” (Muttafaq Alaih)
Hadis ini disabdakan oleh Rasulullah SAW apabila Usamah bin Zaid cuba memujuk Baginda supaya tidak mengenakan hukum hudud ke atas seorang perempuan bangsawan yang kaya iaitu Fatimah dari Bani Mahzum yang didapati bersalah kerana mencuri.
2. Kualiti Kepimpinan Dalam ‘Negara Zikir’
Oleh kerana persoalan yang disentuh adalah mengenai konsep negara zikir, maka dua perkara asas yang mesti dihuraikan ialah kepimpinan dan pemerintahan. Dalam ertikata yang ringkas, kepimpinan dalam negara mestilah mengikut lunas-lunas Islam, dan pemerintahnnya mestilah berteraskas aqidah Islam. Justeru itu matlamat ini hanya boleh dicapai jika mekanisme pemerintahan yang diwujudkan adalah menepati kehendak syariat Islam. Sebab itulah soal kepimpinan dan pemerintahan merupakan perkara yang paling ditekankan oleh Al-Sunnah . Ini dapat dilihat daripada ayat Al-Quran dan hadis berikut.
Surah An Nisa’, ayat 59, bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.
Daripada Abdullah ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda: Tidak halal bagi tiga orang yang berada di bumi yang terpencil kecuali mereka melantik salah seorang daripada mereka sebagai ketua mereka. (Ahmad ibnu Hanbal dalam Musnadnya)
Islam telah menggariskan dengan jelas tugasan pemimpin dalam sebuah negara Islam. Pemerintah adalah bertanggungjawab melaksanakan tugas dan merealisasikan matlamat negara mengikut pandangan Islam. Pemerintah juga bertanggungjawab melaksanakan amanah dan memerintah atau menghukum di kalangan manusia secara adil sepertimana yang dijelaskan melalui ayat berkut.
Surah Al Nisa’, ayat 58, bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.
Muhammad Uthman El Muhammady dalam kertasnya ‘Contoh Para Pemimpin Di Negara Zikir’ memetik pendapat Al Mawardi dari kitab Al Ahkam Al Sultaniyyah mengenai ciri-ciri yang perlu ada pada pemimpin tertinggi selaku ulil amri. Ciri-ciri tersebut termasuklah:
a. Bersifat adil, yang menjadikan peribadinya mempunyai integriti. Peribadi yang dinodai oleh kefasikan akan menjejaskan keabsahan pemimpin.
b. Memiliki tahap keilmuan yang tinggi mencapai darjah ijtihad. Jika tidak mestilah hendaklah bekerjasama dengan ulama demi menjayakan agama atas dasarnya yang hak dan asal.
c. Keadaan fizikal yang sempurna supaya tugas tidak tergendala.
d. Mampu dan berkebolehan untuk membuat keputusan yang baik
e. Berani dan tegas dalam menjalankan tugas, untuk melindungi negara dan juga melindungi kepentingan-kepentingan umat dalam bidang yang dihadapi.
f. Berkeupayaan memimpin tentera.
g. Mempunyai sifat kesetiakawanan yang kental dan teguh (mengikut pandangan Ibnu Khaldun).
3. Kualiti Rakyat Dalam ‘Negara Zikir’
Bagi mengungkayahkan konsep Negara Zikir, tanggungjawab dan peranan tidak hanya terletak di bahu pemerintah sahaja. Rakyat sama ada secara individu atau kolektif adalah juga bertanggungjawab. Sejauh ini kita lihat, bahawa dari segi prasarana dan persediaan telah dibuat oleh pihak kerajaan terutama oleh Kebawah DYMM yang kita lihat sebagai pemangkin dan penggerak utama kepada pelaksanaan konsep Negara Zikir.
Di peringkat rakyat pula, kita tidak nampak sebarang isyarat yang jelas bagaimana rakyat bertindakbalas terhadap gagasan yang telah diketengahkan oleh Kebawah DYMM itu. Apa yang kita lihat ialah amalan zikir mengikut pengertian yang lazim yang telah terbudaya di dalam masyarakat. Kelaziman ini pada pendirian NDP hanyalah merupakan sebahagian daripada aspek Negara Zikir. Oleh itu rakyat perlu kepada satu anjakan paradigma berdasarkan kefahaman konsep Negara Zikir dalam konteks yang lebih luas.
Untuk maksud itu, rakyat perlu mempertingkatkan kualiti diri dengan sifat-sifat dan budaya yang positif yang kondusif terhadap pembentukan ’masyarakat zikir’. Di antara sifat-sifat dan budaya yang perlu diperkasakan ialah:
3.1 Beriman dan bertakwa
Beriman dan bertakwa itu adalah pra-syarat kepada kemakmuran dan kebahagiaan sesebuah negara. Ini bersandarkan pada ayat Al-Quran berikut:
Surah Al A’raaf, ayat 96, bermaksud “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.”
Ketakwaan juga merupakan satu ciri dan kayu pengukur tahap kemuliaan seseorang. Dalam hubungan ini Allah menegaskan dalam firmanNya:
Surah Al Hujuraat, ayat 13, bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).
3.2 Berpegang pada kebenaran
Di dalam pemerintahan Islam, rakyat bertanggungjawab sebagai pemerhati dan pengawas terhadap tindak tanduk badan eksekutif. Tanggungjawab ini dapat dilaksanakan menerusi hak muhasabah (memeriksa), muraqabah (memerhati) dan naqd (menegur). Ini selaras dengan perintah ‘amar makruf nahi munkar’. Ayat-ayat Al-Quran dan hadis berhubung soal ini antaranya adalah seperti berikut.
Surah At Taubah, ayat 119, bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.
Surah Muhammad, ayat 21, bermaksud: Maka kalaulah mereka bersifat jujur kepada Allah (dengan mematuhi perintahNya), tentulah yang demikian itu amat baik bagi mereka.
Dari Ibn Mas’ud r.a. dari Nabi Muhammad SAW, sabdanya:
“Sesungguhnya kebenaran itu menunjukkan kepada kebaikan dan sesungguhnya kebaikan itu menunjukkan ke syurga dan sesungguhnya seseorang itu nescaya melakukan kebenaran sehingga dicatatlah di sisi Allah sebagai seorang yang ahli melakukan kebenaran. Dan seseungguhnya berdusta itu menunjukkan kepada kecurangan dan sesungguhnya kecurangan itu menunjukkan kepada neraka dan sesungguhnya seseoarng itu nescaya berdusta sehingga dicatatlah di sisi Allah sebagai seorang yang ahli berdusta.”
(Muttafaq Alaih)
3.3 Adil
Keadilan berkait rapat dengan kebenaran kerana keadilan hanya boleh ditegakkan apabila rakyat menjadikan kebenaran sebagai asas dan panduan. Tuntutan melaksanakan keadilan adalah menurut perintah Allah melalui ayat-ayat berikut:
Surah Al Maidah, ayat 8, bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.
Surah Al Nahl, ayat 90, bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman.
Sementara Rasulullah SAW menegaskan bahawa,
“Sesungguhnya orang yang berlaku adil itu di sisi Allah akan menempati beberapa mimbar dari cahaya. Mereka itu ialah orang-orang yang adil dalam menerapkan hukum, juga terhadap keluarga dan perihal apa pun yang mereka diberi kekuasaan untuk mengaturnya.” (Riwayat Muslim)
3.4 Amanah
Sifat amanah ini adalah berkait dengan konsep manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi. Sebagai khalifah, manusia adalah terikat kepada batasan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Allah dan bertanggungjawab melaksanakan hukum-hukumNya. Allah mengingatkan sebarang pelanggaran ke atas perintah tersebut menyebabkan seseorang itu digelar oleh Allah sebagai kafir, zalim dan fasik sepertimana yang dijelaskan melalui maksud ayat-ayat surah Al Maidah berikut.
Surah Al Maidah, ayat 44, bermaksud: Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.
Surah Al Maidah, ayat 45, bermaksud: Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
Surah Al Maidah, ayat 47, bermaksud: Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
Pinsip penanggungjawaban ke atas amanah ini boleh difahami melalui ayat berikut.
Surah Al Ahzab, ayat 72, bermaksud: Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.
Amanah sesungguhnya adalah tanggungjawab yang besar dan berat. Mereka yang mengkhianati amanah disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai mempunyai sebahagian dari sifat munafik. Ini bersandarkan hadis Baginda yang bermaksud:
“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya. (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran..” (Riwayat Imam Ahmad)
Justeru itu tepat sekali amaran Allah SWT tentang balasan terhadap orang yang mengkhianati amanah melalui firmanNya:
Surah Al Ahzab, ayat 73, bermaksud: (Dengan kesanggupan manusia memikul amanah itu maka) akibatnya Allah akan menyeksa orang-orang lelaki yang munafik serta orang-orang perempuan yang munafik, dan orang-orang lelaki yang musyrik serta orang-orang perempuan yang musyrik; dan juga Allah akan menerima taubat orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman. Dan sememangnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Rasulullah SAW juga turut menegaskan melalui sabda Baginda:
“Tidak sempurna iman seseorang itu yang tidak ada pada dirinya sifat amanah.” (Riwayat Imam Ahmad)
3.5 Berilmu
Masyarakat berilmu adalah bertepatan dengan maksud ‘ahli zikir’ dalam surah An Nahl, ayat 43 seperti yang dibincangkan di atas. Ilmu merupakan dasar bagi semua tindakan kerana tanpa ilmu segala amalan dan tindakan pastinya tidak terarah, tidak benar dan tidak bertujuan. Ilmu adalah teras kepada kejayaan mana-mana perancangan dan pelaksanaan kemajuan. Penekanan dalam soal ini ialah keupayaan masyarakat mengungguli ilmu sehingga mampu mencapai jangkauan yang jauh dan lahir sebagai golongan pemikir. Sebab itulah orang-orang yang berilmu dan berpengetahuan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Al-Quran menjelaskan mengenai perkara ini melalui ayat-ayat berikut.
Surah Az Zumar, ayat 9, bermaksud: Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?
Surah Al Mujadalah, ayat 11, bermaksud: Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat.
Bagaimanapun, ilmu itu mestilah dituntut dan ini selaras dengan ayat berikut.
Surah Taha, ayat 114, bermaksud: Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.
Sementara itu Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang mengambil ilmu itu dengan menuntutnya sebaik mungkin, maka ia telah mengambil suatu bahagian yang cukup banyak dan barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu, Allah tentu mempermudahkan jalan untuknya menuju syurga.” (Riwayat Muslim)
3.6 Berakhlak
Akhlak adalah berkait dengan sikap dan tingkah laku seseorang terhadap Allah SWT, sesama manusia dan alam. Ianya adalah cerminan yang boleh dilihat dalam bentuk pemikiran, perbicaraan dan tingkah laku. Dalam Islam akhlak yang dikehendaki ialah akhlak yang terpuji sepertimana yang ditampilkan oleh Rasulullah SAW. Dalam hubungan ini Al Quran menjelaskan,
Surah Al Ahzab, ayat 21, bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.
Surah Al Qalam, ayat 4, bermaksud: Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.
Sementara itu Saidatina Aisyah r.a. apabila ditanya tentang akhlak dan sifat Baginda Rasulullah SAW, maka beliau menjawab:
“Akhlak Rasulullah SAW itu adalah Al-Quran” (Riwayat Muslim)
Jelasnya, bahawa Rasulullah SAW merupakan contoh insan al kamil atau par excellence yang semestinya dijadikan ikutan dalam semua aspek kehidupan di peringkat individu, kekeluargaan, kemasayrakatan dan kenegaraan.
3.7 Tolong-menolong
Tolong-menolong adalah sifat terpuji yang amat digalakkan oleh Islam. Kita percaya dengan adanya sifat tolong-menolong ini, bahawa perpaduan rakyat boleh ditingkatkan. Tolong-menolong ini boleh terjadi dalam dua bentuk. Pertama, apabila pemerintah berlaku adil dan melaksanakan pemerintahan mengikut syariat, maka adalah wajib bagi rakyat untuk membantu dan menolong kerajaan.. Kedua, ialah tolong-menolong sesama rakyat. Islam telah menggariskan bentuk tolong-menolong yang mesti dilaksanakan oleh semua orang berdasarkan ayat-ayat berikut.
Surah Al Maidah, ayat 2, bermaksud: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Surah Al ‘Asr, ayat 1-3, bermaksud: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Satu lagi aspek dalam tolong-menolong ini ialah semangat kejiranan. Allah menegaskan melalui firmanNya,
Surah An Nisa’, ayat 36, bermaksud: Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki.
Sementara Rasulullah SAW bersabda melalui hadis dari Ibnu Umar dan Aisyah r.a., bahawa:
“Tidak henti-hentinya Jibrail memberi wasiat kepadaku supaya berbuat baik kepada tetangga, sehingga saya menyangka seolah-olah Jibrail akan memasukkan tetangga sebagai ahli waris.” (Muttafaq Alaih)
Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam.” (Sahih Muslim)
3.8 Qana’ah dan ‘Afaf
Dari segi istilah qana’ah bermaksud redha dan berpada-pada yakni menerima segala takdir dan ketentuan Ilahi setelah berusaha dan berikhtiar sedaya-upaya serta redha dan berasa cukup di atas segala pemberianNya. Natijah dari itu seseorang yang memiliki sifat qana’ah akan merasa lapang jiwanya dengan rezeki yang diberikan Allah SWT, dan hilang rasa tamak terhadap yang tidak tercapai.
Sementara ‘afaf pula bermaksud enggan meminta-minta, berlaku sederhana dalam kehidupan dan berbelanja serta mengelak meminta-minta tanpa keperluan mendesak. Dalam hubungan ini Allah menggambarkan sifat-sifat qana’ah dan ‘afaf melalui firmanNya,
Surah Al Baqarah, ayat 273, bermaksud: (Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya - oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak.
Surah Al Furqan, ayat 67, bermaksud: Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.
Sifat-sifat terpuji ini juga boleh difahami melalui hadis berikut.
Daripada Hakim bin Hizam r.a., katanya: Dia pernah meminta kepada Rasulullah SAW lalu diberi oleh Baginda, kemudian dia meminta lagi lalu diberi juga oleh Rasulullah, kemudian dia meminta lagi, Baginda memberi juga sambil bersabda:
“Wahai, Hakim! Harta ini hijau, sedap dipandang mata, lagi manis. Siapa yang mengambil dengan hati pemurah, Allah akan memberinya berkat, dan siapa yang mengambilnya dengan hati loba dan tamak, tidak akan diperoleh berkat (harta itu), seperti orang yang makan tidak pernah merasa kenyang. Tangan yang di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima).” (Muttafaq Alaih)
Kita juga sewajarnya mengambil iktibar daripada pesanan Rasulullah,
Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi SAW sabdanya: Bukannya yang dinamakan kaya itu kerana banyaknya harta tetapi yang dinamakan kaya - yang sebenarnya - ialah kayanya jiwa. (Muttafaq Alaih)
3.9 Taat pada pemerintah
Perintah untuk metaati pemerintah disandarkan kepada maksud ayat Al Quran berikut.
Surah An Nisa’, ayat 59, bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.
Dari ayat di atas, terdapat dua bentuk ketaatan. Taat kepada Allah dan Rasul adalah mutlak, sebab itulah di dalam ayat di atas Al Quran menyebut, “taatlah kamu kepada Allah” dan “taatlah kamu kepada Rasulullah.” Sementara, bagi Ulil-Amri TIDAK disebut perkataan taat sebelum perkataan Ulil-Amri. Ini membawa maksud bahawa taat kepada Ulil-Amri itu tidak mutlak dan sebaliknya bersyarat. Penjelasan kepada tafsiran ketaatan tidak mutlak ini boleh dilihat dalam hadis berikut.
Hadis Ibnu Umar r.a., Nabi SAW telah bersabda: “Wajib ke atas setiap orang muslim mendengar serta taat kepada arahan sama ada dia suka atau tidak kecuali dia diperintahkan supaya melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintahkan supaya melakukan maksiat maka janganlah dia dengar dan mentaatinya.”(Sahih Muslim)
Meskipun ketaatan kepada pemimpin itu bersyarat dan tidak mutlak, namun dalam satu hadis lain Rasulullah menekankan akan peri pentingnya ketaatan kepada pemimpin itu.
Hadis Abu Hurairah r.a., Nabi SAW telah bersabda: “Sesiapa yang mentaati aku maka dia telah mentaati Allah dan sesiapa yang derhaka kepada aku maka sesungguhnya dia telah derhaka kepada Allah. Sesiapa yang mentaati pemerintah maka dia telah mentaati aku dan sesiapa yang menderhaka pemerintah maka dia telah derhaka kepada aku.”
Selanjutnya, Baginda memberi amaran bahawa:
“Barangsiapa melepaskan ketaatan dari pemimpin, dia akan berjumpa dengan Allah pada hari kiamat tanpa mempunyai hujah (alasan).” (Hadis Riwayat Muslim)
Jelasnya dari dalil-dalil Al Quran dan hadis Rasulullah SAW di atas, boleh dibuat kesimpulan bahawa, mentaati pemerintah dalam perkara-perkara bukan kemaksiatan adalah wajib. Sebaliknya adalah haram unutk mentaati mereka dalam urusan kemaksiatan.
Tanggungjawab Umum ‘Negara Zikir’
Sebuah ‘Negara Zikir’ hendaklah melaksanakan tanggungjawab berikut:
1. Menjamin kebajikan ke atas rakyat miskin dan fakir, selaras dengan ayat-ayat berikut.
Surah Al Anfal, ayat 41, bermaksud: Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada "Hari Al-Furqaan", iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Surah At Taubah, ayat 60, bermaksud: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Surah Al Hasyr, ayat 7, bermaksud: Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.
2. Menjamin keperluan asasi kehidupan manusia iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal selaras dengan ayat berikut.
Surah Taha, ayat 118-119, bermaksud: “Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan bertelanjang. Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam Syurga itu, dan tidak akan merasa panas matahari”.
Setiap penduduk di dalam sebuah negara Islam berhak mendapat keperluan asas tersebut. Tetapi jika seseorang tidak berkemampuan untuk menyediakan keperluan asas itu untuk diri dan keluarganya sendiri maka adalah menjadi tanggungjawab negara untuk memenuhi keperluan tersebut.
3. Merapatkan jurang dan perbezaan di antara golongan kaya dan miskin melalui falsafah ekonomi berasaskan keadilan sosial. Negara Islam menyediakan peluang yang sama rata untuk rakyatnya mendapatkan rezeki. Untuk mempastikan agihan kekayaan yang adil dan saksama Islam menegah pemilikan harta yang hanya tertumpu kepada golongan tertentu sahaja selaras dengan peringatan ayat berikut.
Surah At Taubah, ayat 34-35, bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.
Dan maksud ayat 7, Surah Al Hasyr, seperti yang dinyatakan di atas.
4. Mengutamakan hak-hak sosial lebih daripada kekayaan individu. Adalah menjadi tanggungjawab golongan yang berada untuk memenuhi keperluan mereka yang miskin dan fakir sekiranya zakat masih tidak mencukupi selaras dengan ayat berikut.
Surah Al Baqarah, ayat 215, bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: "Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan.
5. Melindungi orang yang lemah. Adalah menjadi tanggungjawab sebuah negara Islam untuk melindungi orang-orang yang miskin dan tidak berupaya dari di eksploitasi golongan yang kaya dan kuat.
6. Menyediakan pendidikan dan penjagaan kesihatan secara percuma untuk semua rakyat.
7. Bertanggungjawab memelihara kesucian dan keutuhan kerohanian rakyat dan memastikan mereka dapat menjalani kehidupan selaras dengan ajaran Islam.
Hak Dan Tanggungjawab Warganegara Dalam ‘Negara Zikir’
Islam sebagai agama yang lengkap telah menyediakan asas dan garis panduan mengenai hubungan rakyat dan pemerintah. Asas-asas ini meliputi beberapa aspek hak dan tanggungjawab masing-masing terhadap satu sama lain dan hubungan ini mempunyai asas dari segi syariah dan bukannya akibat daripada keperluan politik semata-mata. Ini dapat dilihat daripada beberapa prinsip negara menurut pandangan Islam, iaitu konsep ketinggian syariah, khilafah dan amanah, dasar keadilan, persamaan, kebebasan, tanggungjawab, syura dan kepatuhan kepada ulil amri.
Hak dan tanggungjawab adalah dua dasar penting dalam pemerintahan Islam dan kedua-duanya saling berkaitan antara satu sama lain. Melaksanakan hak dan tanggungjawab merupakan tugas keagamaan yang mesti ditunaikan oleh kedua-dua pihak iaitu pemerintah dan rakyat.
Abul Ala Al Maududi telah menggariskan hak-hak warganegara seperti berikut:
a. Keselamatan nyawa dan harta
b. Perlindungan kehormatan, maruah dan persendirian
c. Kebebasan diri
d. Hak menentang kezaliman
e. Kebebasan berfirkir dan mengeluarkan pendapat
f. Kebebasan menubuh pertubuhan
g. Kebebasan beragama
h. Perlindungan dari dikurung sewenang-wenang
i. Hak keperluan asas untuk hidup
j. Hak persamaan di sisi undang-undang
k. Hak untuk menjauhi daripada dosa
l. Hak untuk mengambil bahagian dalam hal ehwal negara
Hak-Hak Non Muslim
Di samping itu dalam pemerintahan Islam, hak-hak bukan Islam juga adalah terjamin, Dr Abdul Karim Zaidan telah merumuskan hak-hak dan tanggungjawab non-muslim berdasarkan Sahifat Al-Madinah dan Aqd Al-Dhimmah seperti berikut:
a. Perlindungan terhadap diri (nyawa dan anggota)
b. Perlindungan terhadap harta benda
c. Perlindungan terhadap maruah / kehormatan
d. Perlindungan terhadap tempat tinggal
e. Perlindungan ketika lemah, tua dan ketiadaan harta
f. Hak terhadap kemudahan awam
g. Kebebasan beragama
h. Kebebasan berkumpul dan mengeluarkan pendapat
i. Hak bekerja dan mencari rezeki
j. Hak dalam pendidikan
k. Hak dalam politik
l. Hak dalam kehakiman dan penghakiman negara
Tanggungjawab Non Muslim
Sementara tanggungjawab golongan non-muslim pula adalah seperti berikut:
a. Membayar cukai jizyah
b. Membayar cukai kharaj
c. Membayar cukai perniagaan
d. Mematuhi undang-undang negara
e. Memelihara perasaan orang-orang Islam
f. Menghormati agama Islam. Ini termasuklah tidak menghina Allah, kitab suci Al-Quran, diri Rasulullah SAW dan keluarganya, pengajaran Islam dan seumpamanya.
Apabila pemerintah telah melaksanakan hak rakyat, maka telah menjadi tanggungjawab rakyat pula untuk memberi ketaatan dan pertolongan kepada pemerintah selama mana tidak diarahkan melakukan maksiat. Selain ketaatan, rakyat juga berkewajipan memberi nasihat, sama ada diminta atau tidak, dengan tujuan untuk membetulkan kesilapan supaya dapat dibaiki sebelum ianya memudaratkan maslahat umum.
Rakyat juga berperanan sebagai pemerhati dan pengawas terhadap tindak tanduk badan eksekutif bagi mempastikan segala tindakan pemerintah tidak terkeluar dari apa yang dibenarkan. Peranan ini dapat dilaksanakan melalui muhasabah (memeriksa), muraqabah (memerhati) dan naqd (menegur) di samping al nasihah (memberi nasihat).