Zikir
Perkataan zikir berasal dari kata kerja ( ذكر ) bererti ‘sebut atau menyebut’. Apabila ditambah ال pada perkataanذكر ia disebut الذكر ‘azzikru’ ertinya satu sebutan atau ingatan. Menurut bahasa, zikir ialah meningati Allah SWT sama ada secara senyap di dalam hati atau secara terang dengan menyebut perkataan-perkataan memuji ZAT Yang Maha Mulia Lagi Maha Suci.
Di dalam Islam, amalan ini adalah suatu tuntutan. Firman Allah dalam Surah Al Ahzab, ayat 41-42, bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.
Surah Al Baqarah, ayat 152, bermaksud: Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).
Di dalam ayat yang lain, Allah berfirman dalam Surah Ali Imran, ayat 190-191, bermaksud: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka”.
Keratan ayat-ayat berikut pula memperlihatkan bentuk-bentuk pengabdian yang mesti dilalui oleh setiap orang yang beramal dengan zikrullah iaitu:
yang bermaksud, “mengingati Allah”
yang merujuk kepada pengabdian secara lisan, Sementara firmanNya:
yang bermaksud, “berdiri, duduk dan berbaring”
adalah merujuk kepada pengabdian dengan amalan anggota badan. Melalui firmanNya:
yang bermaksud, “dan memikirkan tentang kejadian langit dan bumi”
pula adalah merujuk kepada pengabdian dengan hati, fikiran dan ruh.
Rasulullah SAW bersabda,
Maksudnya: Dua kalimah yang mudah disebut tetapi sangat berat di atas timbangan (amal) serta sangat disukai Allah Yang Maha Pemurah (mendengarnya) kedua-duanya (adalah tidak lain dan tidak bukan) ialah
سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم
Zikir Dari Segi Istilah
Menurut istilah, zikir ialah suatu amalan harian umat Islam sama ada yang berbentuk wajib seperti solat, atau dalam bentuk yang sunat seperti membaca Al-Quran, bertahmid, bertasbih, atau bertahlil. Antara lafaz yang biasa disebut ialah, ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’, ‘La ilaha illallah’, ‘Allahu Akbar’ dan ‘La haula wala quwwata illa billah’. Selain itu ada beberapa bentuk yang lain yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada umatnya. Semuanya boleh didapati di dalam kitab-kitab zikir yang disusun oleh para Ulama’ Muktabar seperti, الاذكار النووية dan seumpamanya.
Zikir Yang Teradat Dalam Masyarakat di Nusantara
Pengertian dan amalan zikir dalam bentuk ini bukanlah suatu yang asing bagi masyarakat Islam di negara Brunei, malah ia telah sekian lama berakar umbi dalam masyarakat kita.
Pada satu peringkat, ia dapat dilihat seperti telah kukuh teradat dan terbudaya di dalam masyarakat Melayu Islam Brunei. Ianya menjadi amalan harian termasuk dalam upacara-upacara rasmi, keagamaan dan kebesaran.
Andai kata dengan amalan lafaz-lafaz zikir seperti yang disebutkan di atas itu menjadi kayu ukuran kepada pencapaian konsep negara zikir, maka bolehlah kita simpulkan bahawa Brunei sesungguhnya hampir-hampir mencapai status negara zikir itu. Hal ini diperkuatkan dengan pendapat beberapa orang tokoh di negara kita.
Pengiran Dato Seri Setia Dr. Hj Mohammad. Timbalan Menteri Pendidikan menyebutkan bahawa:
“Suasana penghayatan beragama di negara ini, yang mana sejak turun temurun, masyarakat di negara ini menghayati ajaran Islam, berakhlak dengan akhlak Islam, dan beradat istiadat dengan lunas-lunas Islam dalam kehidupan mereka sehari-hari. Tatacara tradisi ini diikuti dan dipatuhi sebagai satu undang-undang yang tak bertulis. Termasuk dalam erti kata suasana ini ialah mengangkat hari-hari kebesaran Islam ke tahap sambutan negara di mana kepala negara sendiri akan berangkat merasmikannya yang mana ini jarang-jarang dilakukan di tempat-tempat lain. Hari-hari kebesaran Islam itu ialah Sambutan Awal Tahun Baharu Islam, Sambutan Isra’ Mikraj, Sambutan Maulid Nabi sallallahu alaihi wassalam, Sambutan Nuzul Al-Quran, Sambutan Hari Raya Aidil Adha, Hari Raya Aidil Fitri. Malahan dalam sambutan Hari Kebangsaan – acara-acara keagamaan tidak ditinggalkan”.
Menurut Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama pula:
“Antara tujuan zikir itu pula ialah berharap bahawa Allah akan meredhai apa yang dikerjakan. Tujuan sedemikian itu adalah tepat dengan harapan dalam Brunei mempunyai perlembagaan bertulisnya yang pertama (tahun 1959) dan kemudian pindaan ke atasnya (tahun 2004).
Dalam konteks ini Brunei yang telah meletakkan dirinya berada dalam keadaan mengingat Allah iaitu menepati maksud zikir tentu sekali bertujuan supaya Allah akan meredhai pembentukan perlembagaan dan segala usaha menjalankan dan mencapai maksud-maksud yang diperuntukkan di dalamnya. Perlembagaan itu telah memperuntukkan mengenai Agama dan Adat Istiadat, mengenai Kuasa Memerintah, mengenai Majlis Mesyuarat Di-Raja, mengenai Jemaah Pengampunan, mengenai Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri, mengenai Majlis Mesyuarat Negara, mengenai Penggubalan Undang-Undang dan Peraturan Majlis Mesyuarat Negara, mengenai Kewangan, mengenai Perkhidmatan Awam, mengenai Mohor Kerajaan, dan mengenai peruntukan-peruntukan di bawah Bahagian Rampaian yang antaranya ialah mengenai Bahasa Rasmi dan mengenai Keadaan Darurat. Semuanya itu telah dimasyhurkan dengan nama Allah, disertai tahmid, selawat dan salam bahkan untuk permasyhuran pindaannya, zikir mengingati Allah itu secara jelas, sareh telah disebut dengan menyatakan rasa syukur ke hadrat Allah yang kemurahan dan rahmatNya maksud berhimpun mengadakan majlis dan menandatangani pindaan itu telah sempurna dilangsungkan.
Tidak syak lagi itulah zikir dan ciri-cirinya yang dalam hal kenegaraan seperti itu ia telah serasi dan sebati bagi Brunei sehingga dilakukan dengan baik oleh raja-raja yang memerintah”.
Apa yang dapat disimpulkan ialah, manusia itu tidak terlepas dari melakukan tiga bentuk ubudiyyah atau pengabdian diri kepada Allah SWT.
Tiga bentuk ubudiyyah itu disebut oleh Dato’ Haji Mohd Murtadza bin Haji Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, dalam kertas kerjanya ‘Manual Amalan Masyarakat Negara Zikir: Satu Pengenalan’, memetik kesimpulan Imam Fakhr al-Razi di dalam Tafsir al-Kabir,
“Justeru apabila seseorang itu lidahnya basah dengan zikrullah, anggota lahirnya dengan syukur dan hatinya dengan bertafakkur tentang kebesaran Allah maka sesungguhnya ia telah melaksanakan ubudiyyahnya dalam semua bentuk”.
Ahli Zikir Adalah Para Ilmuan
Keluasan pengertian al-zikr juga boleh kita fahami melalui ayat berikut.
Surah Al Nahl, ayat 43, bermaksud: Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.
Jika dirujuk kepada kitab-kitab tafsir, pengertian ahli zikir mengikut ayat di atas ditujukan kepada orang-orang yang berpengetahuan tentang Al-Quran. Bagaimanapun, ahli zikir secara umumnya merujuk kepada golongan cerdik pandai, bahkan ada kalanya ditafsirkan sebagai golongan yang pakar di dalam sesuatu bidang. Tafsiran yang sedemikian tidaklah salah kerana ia merupakan salah satu daripada aspek ahli zikir mengikut pendapat Dato’ Haji Mohd Murtadza bin Haji Ahmad lagi.