Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan beliau di Majlis Sambutan Hari Kualiti dan Integriti Kementerian Pertahanan Malaysia baru-baru ini telah menyarankan agar kementerian tersebut menjadikan pelaburan dalam pembangunan modal insan sebagai salah satu agenda utama kementerian itu.
Menurut Datuk Seri Abdullah, pelaburan dalam modal insan bukan sahaja akan dapat menghasilkan warga kerja yang berilmu dan berfikiran strategik malah akan turut dapat membentuk sumber manusia yang peka dengan perubahan masa. Justeru itu, beliau menyeru agar setiap warga di kementerian berkenaan, baik tentera mahupun awam, supaya sentiasa dilatih agar dapat memiliki kemahiran yang bersesuaian bagi menghadapi cabaran semasa.
Cetusan idea Datuk Seri Abdullah agar semua pihak cuba memberi perhatian kepada aspek pembangunan modal insan ini sebenarnya bukanlah merupakan sesuatu yang baru. Dilihat dari sudut latar belakangnya, Datuk Seri Abdullah telah mula mencetuskan idea tersebut sejak tahun 2004 lagi menerusi Sidang Kemuncak Pendidikan yang antara lain cuba memberi penekanan kepada aspek penyuburan semula pendidikan dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang diperlukan bagi menyediakan Malaysia ke arah menghadapi realiti abad ke-21.
Sejak itu, penekanan terhadap idea pembangunan modal insan tersebut terus diberikan dari masa ke semasa baik di peringkat kerajaan mahupun sektor swasta. Ini termasuklah dilihat dari sudut perbelanjaan dengan peruntukan yang disediakan dipertingkatkan dari tahun ke setahun bagi maksud untuk menjayakan program-program yang telah dirancangkan.
Kerajaan Malaysia juga telah meletakkan keutamaan kepada aspek pembangunan modal insan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010) dengan menyediakan peruntukan yang agak besar bagi menjayakannya. Di bawah rancangan pembangunan lima tahun itu, kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sejumlah RM15,594 juta bagi membangunkan sektor perkhidmatan sosial dengan RM8,483 juta daripadanya dikhususkan bagi tujuan membangunkan sektor pendidikan dan latihan.
Di bawah program pembangunan modal insan tersebut kerajaan Malaysia telah menggariskan beberapa tindakan yang cuba dijadikan teras bagi perlaksanaan program berkenaan.
Tindakan-tindakan yang dimaksudkan terdiri daripada berikut;
* Melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem penyampaian pendidikan dan latihan supaya ianya berkualiti dan releven dengan keperluan semasa;
* Memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan utama rakyat Malaysia yang berbilang kaum bagi meningkatkan perpaduan negara;
* Melaksana langkah bagi merapatkan jurang prestasi antara sekolah luar bandar dan bandar, termasuk mempertingkatkan kualiti pengajaran, prasarana dan kemudahan serta menempatkan guru berpengalaman di sekolah luar bandar;
* Membangunkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan pendidikan dan latihan di peringkat tertiari memenuhi keperluan pasaran;
* Menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan latihan dan pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti di semua peringkat;
* Membangunkan masyarakat inovatif dan kreatif, yang mempunyai pengetahuan dan keupayaan sains dan teknologi yang kukuh serta memiliki kemampuan memperoleh dan menggunakan pengetahuan;
* Memperkukuhkan perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang mempunyai perspektif progresif, budaya prestasi tinggi, sistem nilai-nilai murni serta menghargai tradisi dan warisan; dan
* Memperluaskan dan memperkemaskan forum perbincangan dan perundingan antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam pembangunan modal insan.
Bagi menjayakan program pembangunan modal insan tersebut, kerajaan Malaysia telah menetapkan beberapa aspek yang akan diberikan tumpuan.
Aspek-aspek berkenaan terdiri daripada;
* Pendidikan – meliputi dua perancangan iaitu, pertama, melaksanakan Pelan Induk Pembangunan Pelajaran, 2006-2010 untuk merealisasikan satu sistem pendidikan yang holistik, progresif dan bertaraf dunia; dan kedua, melaksanakan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara bertujuan menetapkan matlamat untuk meningkatkan kualiti pelajar, keupayaan pensyarah, infrastruktur institusi pengajian tinggi dan membina rangkaian dengan institusi-institusi pendidikan tinggi ternama dunia.
* Ekonomi – meliputi beberapa perancangan seperti melancarkan Wilayah Pembangunan Ekonomi Iskandar (WPI) sebagai sebuah kawasan untuk menjana pertumbuhan ekonomi, mewujudkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara dan Wilayah Ekonomi Koridor Timur (kedua-duanya sebagai kawasan yang berupaya membentuk modal insan dan pertumbuhan ekonomi yang baik), dan melaksanakan Program Transformasi Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
* Sains, teknologi dan inovasi – meliputi dua penekanan iaitu pertama kepada usaha bagi membangunkan institusi latihan yang berupaya melahirkan tenaga kerja berpengetahuan khususnya dalam bidang teknologi maklumat, dan kedua, mewujudkan program yang mampu meningkatkan kemahiran penyelidikan.
* Politik - bermatlamat untuk melahirkan barisan pemimpin Melayu yang berketrampilan, dikagumi, dihormati dan dipercayai.
* Perkhidmatan - bermatlamat untuk menyediakan satu perkhidmatan awam kelas pertama menerusi Komitmen Perkhidmatan Awam Malaysia 2008. Sehubungan ini, kerajaan juga telah menubuhkan Institut Integriti Nasional bertujuan membina upaya modal insan untuk membenteras rasuah di samping menubuhkan Pasukan Petugas Pemudah Cara Kerajaan (Permudah) bagi meningkatkan kecekapan system penyampaian oleh jentera kerajaan.
* Kerohanian - melaksanakan program Islam Hadhari bertujuan mengutamakan aspek ketamadunan umat seimbang atau apa yang dikatakan ‘ummatan wasatan’.
Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Hishamuddin Hussein dalam ucapannya ketika merasmikan Konvensyen Nasional Kedua, Pelan Induk Pendidikan Negara pada pertengahan november lalu ada mengatakan bahawa Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada sumber asli dan bahan mentah dalam usaha untuk mencapai status negara maju, sebaliknya perlu meningkatkan keupayaan modal insan menerusi pelaksanaan sistem pendidikan berkualiti serta bertaraf dunia. Menurut beliau juga, negara maju kini bergantung kepada aset modal insan yang cemerlang yang lahir dari sistem pendidikan yang baik, berkesan dan bertaraf dunia, bukannya sumber asli atau bahan mentah.
Sehubungan dengan perbicaraan menyentuh aspek modal insan ini juga, teringat saya akan kata-kata Datuk Seri Najib ketika menyampaikan ucapannya di Perhimpunan Pemuda dan Wanita UMNO beberapa tahun lalu di mana beliau antara lain, mengutarakan pandangan bahawa perubahan zaman telah menukarkan penekanan terhadap faktor modal tanah, bangunan dan wang kepada faktor yang lebih utama iaitu modal insan. Kita, menurut beliau, ingin membina generasi yang disebut Allah SWT dalam Al-Quran surah Al-Maidah ayat 100, sebagai ‘Ulul Al-Bab’ iaitu generasi yang mempunyai pemikiran bernas, menggunakan akal fikiran, cerdik dan bijaksana untuk membina kehidupan.
Generasi ini, menurut beliau lagi, adalah insan yang terampil dengan pekerti dan akhlak mulia, lengkap dengan ilmu dan kefahaman agama malah dalam masa yang sama, mahir dalam pelbagai bidang. Mereka adalah graduan pelbagai jurusan – doktor pakar, akauntan bertauliah, pentadbir profesional, jurutera, arkitek, peguam dan usahawan tulen, sedang jiwa dan pekerti mereka sentiasa dipenuhi dengan keimanan dan ketakwaan, kata Datuk Najib lagi.
Bagaimanakah pula hasrat dan perancangan kita di Brunei Darussalam dari sudut ini agaknya?.
Alhamdulillah, aspek ini sememangnya menjadi agenda teratas didalam Perancanaan Kemajuan Jangka Panjang negara. Pada Rancangan Kemajuan Negara(RKN) 2007-2012, Kerajaan Kebawah DYMM telah memperuntukkan sejumlah BND822 juta atau 8.7% daripada keseluruhan harga rancangan bagi membiyayai 68 projek pendidikan. Selain itu kerajaan juga memperuntukkan BND 295 juta bagi projek-projek yang berkaitan Pembangunan Sumber manusia. Persoalan kini terletak kepada sejauh mana kemampuan pihak-pihak yang diamanahkan dapat membelanjakan peruntukan yang diberkan itu?
Kebawah DYMM Sultan dan Yang Dipertuan sendiri telah memberikan perhatian serius terhadap isu pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan modal insan ini. Titah demi titah, Baginda terus merangsang pihak-pihak berkenaan, para pendidik, pelajar dan orang ramai mengenai kepentingan isu ini.
Memetik titah Baginda sempena sambutan Aidil Fitri 1428H/23 Okt 2008 di Dewan Plenary Pusat Persidangan Antarabangsa, “Para ilmuan di bidang masing-masing mempunyai peranan berbeza dalam membangunkan negara. Mereka adalah penjana modal insan. Orang-orang berilmu lagi beriman mendapat pujian daripada Allah. Mereka boleh mengalahkan ahli ibadat, kerana ahli ibadat beribadat untuk diri mereka sendiri, sedang ahli ilmu menyumbangkan ilmu mereka untuk kesejahteraan bersama”. Demikan titah Baginda. Wallahhu a’alam - (mmo). |