Isu gejala kemelesetan ekonomi yang berpunca daripada krisis kewangan di Amerika Syarikat yang kemudiannya berjangkit ke negara-negara industri di Barat serta beberapa buah negara sedang membangun di rantau Asia kini nampaknya menjadi isu semasa yang menuntut perhatian dan perbincangan di kalangan pelbagai pihak, termasuklah kita yang berada di rantau sebelah sini.
Jiran terdekat kita, Singapura, telahpun mengakui negara itu kini telahpun dilanda kemelesetan berikutan pertumbuhan ekonominya yang didapati menurun sejak beberapa bulan lalu ekoran krisis kewangan global yang berlaku pada masa ini. Kelembapan ekonomi yang dilalui oleh Amerika Syarikat serta beberapa negara industri di Barat yang merupakan antara rakan dagangan terpenting bagi Singapura telah memberi kesan secara langsung kepada penurunan hasil eksport negara itu.
Di Malaysia, kerajaan negara itu setakat ini telah mengeluarkan beberapa kenyataan dalam mempertahankan kemungkinan ekonomi Malaysia akan dapat bertahan daripada jangkitan kemelesetan ekonomi global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan yang dibuat pada awal bulan ini menyatakan bahawa Malaysia dengan mempunyai kekuatan dalaman yang ada berkeyakinan akan mampu mengelak daripada menghadapi kemelesetan.
Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan Malaysia mungkin akan turut terlibat dalam kancah kemelesetan sekiranya sesuatu yang luar biasa berlaku kepada ekonomi luaran. Beliau juga dilaporkan berkata bahawa keyakinan itu bukanlah bermakna kerajaan terlalu optimis kerana kerajaan tidak akan dapat lari dari hakikat bahawa Malaysia turut merasai tempias dari krisis global yang berlaku pada masa ini.
Justeru bagi menghadapi situasi yang sukar dijangkakan itu, Datuk Seri Najib telah meminta supaya rakyat Malaysia bersedia untuk menghadapi tahun 2009 sebagai satu tempoh yang berkemungkinan sukar berbanding dengan apa yang dilalui pada tahun ini.
Di pihak kerajaan sendiri, kesukaran tersebut telahpun diterjemahkan melalui adanya peningkatan dalam bajet defisit bagi tahun 2009 yang sebelum ini ditetapkan pada 3.6 peratus tetapi kini meningkat kepada 4.8 peratus disebabkan adanya kesan dari kemelesetan yang melanda ekonomi dunia pada masa ini.
Dilihat dari sudut pendekatan dalam menghadapi gejala kemelesetan ekonomi dunia, kerajaan Malaysia, seperti mana juga dengan kebanyakan negara lain, tidak ketinggalan turut mengambil beberapa langkah proaktif ke arah menanggani gejala yang mungkin turut melanda negara itu sekiranya krisis kewangan yang berlaku di Amerika Syarikat serta beberapa negara industri lain di Barat berterusan buat beberapa bulan akan datang.
Antara langkah awal yang dilakukan oleh kerajaan ialah dengan menubuhkan Majlis Ekonomi yang berperanan sebagai penasihat kepada kerajaan bagi menangani masalah inflasi dan kelembapan ekonomi dunia yang mungkin memberi kesan kepada ekonomi negara. Majlis ini mengambil alih peranan Jawatankuasa Kabinet Membendung Inflasi dan Majlis Membenteras Inflasi Negara yang menumpukan perhatian kepada usaha menyelesaikan isu-isu berkaitan kenaikan harga barang.
Majlis tersebut dengan keanggotaan seramai 40 orang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dianggotai oleh menteri-menteri serta wakil-wakil dari sektor kerajaan dan juga swasta.
Antara peranan utama majlis ini adalah memantau dan menganalisa perkembangan ekonomi domestik dan antarabangsa, menggubal strategi untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan menggalakkan pelaburan dalam dan luar negara, mengenal pasti cara untuk mengawal keadaan inflasi serta merancang strategi dalam memastikan pembekalan yang kukuh ekoran kenaikan harga minyak, komoditi dan makanan, dan menilai semula kaedah pemberian subsidi dan kawalan harga bagi mengurangkan gangguan dalam ekonomi.
Selain itu, majlis ini juga berperanan untuk merangka satu jaringan keselamatan sosial yang komprehensif bagi mengurangkan impak kenaikan kadar inflasi dan kelembapan ekonomi terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Di pihak kerajaan, penubuhan majlis ini diharap akan dapat membantu kerajaan dalam memperkemas dan menyelaraskan dasar-dasar serta prosedur sedia ada bertujuan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi bagi menghadapi sebarang ketidaktentuan yang mungkin berlaku ekoran krisis kewangan dunia pada masa ini.
Di samping penubuhan Majlis Ekonomi, kerajaan Malaysia pada awal November lalu juga telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM 7 bilion bagi tujuan mengukuhkan daya tahan negara dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi persekitaran global yang semakin mengancam.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengulas mengenai pakej berkenaan menyatakan bahawa pakej rangsangan ekonomi tersebut adalah merupakan satu bentuk intervensi yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk mengelakkan berlakunya kegawatan ekonomi dalam negeri.
Datuk Seri Abdullah juga menyatakan bahawa dalam situasi yang wujud sekarang, kerajaan perlu mengambil peranan untuk melaksanakan langlah-langkah terbaik bagi melindungi ekonomi negara daripada terjejas.
Sehubungan ini juga, Datuk Seri Abdullah turut menyeru agar kerjasama erat diwujudkan antara ASEAN dengan negara-negara Asia Timur seperti China, Korea Selatan dan Jepun untuk memastikan ekonomi global, khususnya di rantau sebelah Asia dapat dibendung dan dikawal.
Pada 10 November pula, Datuk Seri Najib telah membuat kenyataan bahawa kerajaan Malaysia akan melakukan perubahan struktur terhadap ekonomi negara itu bagi menjadikannya lebih kompetitif dalam suasana kegawatan ekonomi global sekarang. Perubahan ini dibuat sebagai sokongan kepada pakej RM 7 bilion yang diumumkan sebelum ini.
Perubahan struktur tersebut akan membabitkan langkah menentukan sumber pertumbuhan dan pendapatan baru serta memastikan pembekalan tenaga pekerja mahir dan berasaskan pengetahuan dapat ditingkatkan bagi memenuhi keperluan dalam negara termasuk di kawasan koridor pembangunan ekonomi.
Langkah lain yang akan dilakukan di bawah perubahan struktur itu adalah memastikan wujud kestabilan pada makro ekonomi negara memandangkan senario kegawatan ekonomi global kini dikatakan amat serius dengan Malaysia berkemungkinan akan berhadapan dengan keadaan tidak menentu untuk jangka masa yang lebih lama daripada apa yang dijangkakan.
Di negara kita, bahang kegawatan ekonomi global sejauh ini tidaklah begitu dirasai - sebahagiannya disebabkan kita mempunyai fundamental ekonomi yang masih kukuh dengan bertunjangkan kekayaan hasil minyak negara.
Namun, kita tidak harus lupa dengan kejatuhan secara berterusan harga minyak dunia menyebabkan pendapatan negara dari hasil minyak juga akan berkurangan, sekaligus akan bakal mengurangkan dana kerajaan bagi membiayai projek-projek pembangunan yang telah dirancangkan.
Justeru bagi menghadapi segala kemungkinan yang timbul berpunca daripada gejala kemelesetan ekonomi global dan serantau, kita tidak dapat tidak, harus mengambil langkah dalam membuat persediaan tertentu bagi menghadapinya.
Di kalangan ahli NDP sendiri, persediaan paling awal yang mungkin boleh dilakukan ialah dengan melaksanakan perubahan sikap dan pemikiran khususnya dalam usaha membantu kerajaan mendepani kemungkinan buruk yang bakal melanda ekonomi negara ekoran berlanjutannya krisis kewangan dunia sekarang.
Langkah mengendalikan perbelanjaan harian secara berjimat dan berhemah, mengutamakan keperluan bagi menabung seperti yang pernah dititahkan oleh Kebawah DYMM sempena dirgahayu keputeraan baginda ke 62, 15 Julai lalu, meningkatkan kegiatan bercucuk tanam di sekeliling rumah bagi mengurangkan kos perbelanjaan bagi makanan yang boleh diusahakan sendiri, dan mengurangkan pembaziran dalam apa jua bentuk seperti menggunakan kembali barang-barang yang masih boleh dipakai, misalnya, mungkin boleh membantu meringankan tekanan kehidupan.
Antara lain perkataan, Insyaallah melalui pengurusan pendapatan yang bijak disertai pula dengan sifat rajin berusaha akan dapat membebaskan diri kita dan keluarga dari terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan justeru membawa makna bahawa kita juga telah memberikan sumbangan yang besar kepada pihak kerajaan.
Dari satu sudut, sekiranya perubahan ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh dengan erti kata setiap rakyat Brunei mampu menghayati dan melaksanakannya secara komited lagi berterusan, nescaya ianya akan mampu menjadi perisai yang kukuh bagi negara dalam menghadapi ancaman kemelut kemelesetan yang mula membayangi ekonomi serantau pada masa ini dan di masa akan datang. Wallahu a’alam - (mmo)
|