Info Harian
Cuaca
Waktu Solat
Berita Kerajaan
Info Niagaan
Direktori Niagaan
Brunei SMEs
Info Brunei
Kenali Brunei
Kerajaan Brunei
Daily Diary
Pelita Brunei
Brunei Tourism
Telefon Kerajaan
Brunei Darussalam and the IMF
The EU's relations with Brunei
CIA on Brunei
WATCH NDP VIDEOS
 
 
EMAIL
UCAPAN PERASMIAN HIMPUNAN TAHUNAN PEMUDA, WANITA DAN NON-MUSLIM OLEH TIMBALAN PRESIDEN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA

UCAPAN ALU-ALUAN PENGERUSI PANITIA KONGRES PERTAMA PARTI PEMBANGUNAN BANGSA

LAGU PATRIOTIK NDP - DEMI BRUNEI TERCINTA

ALBUM KONGRES AGONG NDP KE 2

ALBUM NDP JUNJUNG ZIARAH KEHADAPAN MAJLIS KDYMM DI KUALA BELAIT

KEYNOTE ADDRESS OF THE PRESIDENT OF NDP

PRESS STATEMENT IN CONJUNCTION WITH THE VISIT OF GERMAN'S MPS TO NDP
 
Artikel pilihan

Kearah Perpaduan Nasional: Harapan Dan Cabaran

TUNTUTAN PEMBELAJARAN BERTERUSAN

TUNTUTAN ORGANISASI: AMANAH DALAM PENGURUSAN PENTADBIRAN

MENCONTOHI MODEL KEPIMPINAN PARA  NABI

DIRGAHAYU KDYMM PADUKA SERI BAGINDA SULTAN- Berazam kearah BRUNEI tanpa penerima zakat

CABARAN-CABARAN YANG SEDIA MENUNGGU PERDANA MENTERI BARU MALAYSIA

Berdasarkan kepada pencalonan bagi merebut jawatan Presiden yang diterima dari peringkat Bahagian UMNO di seluruh negara setakat ini, ternyata Datuk Seri Najib tidak lagi berhadapan dengan saingan daripada mana-mana pihak bagi mengambil alih jawatan itu pada Mac 2009 nanti.

Pencabar yang sebelum ini disebut-sebut bakal memberi saingan terhadap beliau bagi jawatan no. 1 dalam parti UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, sekadar mampu meraih satu pencalonan iaitu dari Bahagian pimpinan beliau sendiri di Gua Musang, Kelantan. Beliau dengan itu gagal bertanding kerana tidak berupaya melepasi kuota 58 Bahagian yang diperlukan bagi melayakkan seseorang ahli bertanding bagi jawatan Presiden.

Datuk Seri Najib sejauh ini juga, telah mula dipersiapkan oleh Pak Lah (Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) bagi mengambil alih jawatan terpenting dalam parti dan juga kerajaan melalui satu plan penyerahan kuasa yang dijadualkan berlaku pada bulan Mac tahun depan.

Sehubungan ini, antara tugasan awal dan dikira penting yang telah diserahkan oleh Pak Lah kepada bakal penggantinya itu ialah tanggung jawab bagi mengepalai Kementerian Kewangan, satu kementerian yang dikira menjadi tonggak utama kepada mana-mana kerajaan yang ada.

Dengan mengambil kira keadaan ketidak tentuan ekonomi dan kewangan dunia yang berlaku pada masa ini, kecekapan seorang pemimpin nombor satu dalam hal-hal pentadbiran dan kewangan negara sudah pastinya diperlukan bagi memastikan sesebuah negara dapat bertahan dalam menghadapi badai krisis yang melanda.

Pengalaman lalu dalam menyaksikan bagaimana Tun Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri telah berupaya membawa Malaysia keluar dari kemelut kewangan dalam tahun-tahun 1997-1998 telah memberikan iktibar serta pengajaran yang cukup berharga bagaimana seorang pemimpin yang cekap dan berpandangan jauh mampu saja menyelamatkan negara dan rakyatnya dari terjebak ke kancah kemeranaan. Maka atas perkiraan inilah rasanya Pak Lah mahu menyiapkan penggantinya di portfolio yang dikira begitu penting kepada kerajaan yang memerintah itu.

Di parlimen negara jiran kita itu baru-baru ini, Datuk Seri Najib telahpun mula diuji dengan cabaran-cabaran awal di pihak pembangkang yang menuntut beliau membentangkan semula bajet negara bagi tahun depan memandangkan beberapa asas kepada perkiraan kewangan telahpun berubah ekoran berlakunya krisis kewangan global yang turut melibatkan Malaysia.

Kejatuhan harga minyak telah membuatkan pendapatan negara dari hasil eksport merosot. Demikian juga dengan kejatuhan harga komoditi terutama minyak kelapa sawit, telah menyebabkan Malaysia kehilangan berbilion-bilion ringgit dari hasil eksportnya. Semua ini menurut pembangkang perlu diambil kira oleh kerajaan sebelum bajet yang telah dibentangkan dapat dibahas dan diluluskan oleh parlimen.

Kerajaan bagaimanapun mempertahankan bajet yang ada dengan menolak tuntutan di pihak pembangkang. Pendirian kerajaan itu telah kemudiannya mengundang kecaman hebat di pihak pembangkang dengan memprojekkan kerajaan yang ada sebagai tidak sensitif dengan kehendak rakyat yang mahu kerajaan mempertahankan kebajikan mereka terutama di saat negara berhadapan dengan ancaman kemelesetan.

Datuk Seri Najib juga dipersalahkan dengan dakwaan gagal memahami dan meramalkan kesan yang bakal dihadapi negara ekoran krisis kewangan yang melanda Amerika serta beberapa buah negara industri di Eropah. Kenyataan Datuk Seri Najib bahawa Malaysia akan bakal terelak dari menghadapi kemelesetan teknikal di sebalik kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi dunia telah disifatkan sebagai dangkal di tengah-tengah adanya pandangan pelbagai pihak, termasuk pakar-pakar ekonomi yang menjangkakan Malaysia sebenarnya tidak dapat lari daripada bakal terlibat dengan krisis kemelesetan yang berlaku sekiranya ekonomi Amerika Syarikat terus diselimuti dengan krisis kewangan yang ada.

Malah, ada pihak yang menjangkakan kemungkinan kemelesetan yang bakal berlaku nanti mungkin lebih buruk daripada apa yang dilalui Malaysia pada tahun 1997-1998 lalu.

Lebih jauh dari itu, wujud pandangan beberapa penganalisis sosio-politik yang kian cenderung untuk melihat masa depan yang tidak menentu bagi kerajaan yang ada, termasuk terhadap plan peralihan kuasa dalam UMNO itu seandainya Malaysia nanti dilanda kegawatan yang teruk bermula dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Sebarang kegawatan yang berlaku dikhuatiri oleh banyak pihak akan bakal dilihat sebagai berpunca dari kegagalan kerajaan yang ada bagi menghindarinya. Keadaan sedemikian tentunya akan memperkuat hujah di pihak pembangkang yang sedia menganggap kerajaan yang ada sebagai rasuah, tidak bijak mengurus kewangan negara, tidak mempunyai sistem kehakiman yang telus serta tidak memiliki sistem penguatkuasaan undang-undang yang adil.

Hujaj-hujah ini kelak pastinya bakal memudahkan pembangkang untuk meraih sokongan rakyat bagi mengambil alih kerajaan dengan cara mempamirkan kelemahan kerajaan pada mata rakyat terbanyak.

Pengalaman yang dilalui oleh kerajaan melalui pilihan raya umum lalu sudah cukup untuk memberi isyarat betapa sebarang kelemahan di pihak kerajaan ke arah membela nasib rakyat akan dengan mudahnya boleh mengalihkan sokongan rakyat terhadap parti pembangkang. Apa lagi mengambil kira teraju parti pembangkang kini dikepalai oleh seorang yang begitu berpengalaman, baik di dalam mahupun di luar kerajaan, serta mampu pula membakar semangat rakyat yang kian sensitif dalam menuntut hak dan pembelaan dari kerajaan.

Ini adalah antara beberapa cabaran awal dan dikira mendesak yang memerlukan perhatian serius di pihak Perdana Menteri baru Malaysia nanti.

Selain itu, beberapa isu tradisi dalam tubuh politik Malaysia yang ada di antaranya isu perpaduan kaum, isu integrasi nasional dan pembangunan wilayah melibatkan Sabah dan Sarawak, isu pendidikan dan bahasa, isu kemiskinan tegar dan juga isu ekonomi - kesemuanya sedia menuntut komitmen dan kebijaksanaan Perdana Menteri baru untuk membendung dan menyelesaikannya secara yang terbaik dan dapat memuaskan hati semua pihak.

Ini belum lagi dihitung cabaran-cabaran yang tidak dijangka seperti tuntutan dari kalangan parti-parti komponen dalam kerajaan berkaitan isu kesaksamaan dan permaufakatan dalam gagasan Barisan Nasional, isu menyentuh hak ketuanan Melayu (yang mungkin akan diminta supaya tidak terlalu dipertekankan oleh UMNO di masa-masa akan datang), isu kuota baik dalam hal ekonomi mahupun pendidikan – ini juga nampaknya mungkin muncul sebagai cabaran yang bakal menguji kepimpinan baru di negara jiran kita itu.

Demikian pula dengan beberapa isu panas yang sehingga kini masih belum berupaya dirungkai secara jelas oleh kerajaan seperti isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), isu kebebasan media yang meliputi di dalamnya kebebasan menyuarakan pandangan melalui blog-blog politik di internet, juga isu menyangkut pertikaian undang-undang sivil dalam membicarakan hal-hal menyentuh perkara agama seperti isu penukaran agama – semua ini dijangka akan terus menjadi isu serta cabaran yang tidak dapat tidak perlu dihadapi oleh bakal pengganti Pak Lah nanti.

Harapan kita dari jauh, tidak lain, ialah agar proses peralihan kuasa yang dirancangkan sebelum ini akan dapat dilaksanakan dengan sempurna dengan bakal kepimpinan negara yang baru itu diberikan peluang merealisasikan matlamat perjuangannya dalam membina hala tuju dan masa depan negaramya. Kita juga berharap dan berdoa agar segala cabaran yang mendepani beliau akan kelak dapat dirungkai dan dihurai sebaiknya demi survival ummah - Wallahu a’alam (mmo).

 
Presiden NDP


Hj. Muhammad Yasin bin Abdul Rahman @ Yasin Affandy

Timbalan Presiden

Sdra. Mahmud Morshidi Othman

Setiausaha Agung

Hj. Aminorashid Hj. Ghazali






 
 
 
 
 
 
 
 
 
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.