Negara perlukan tenaga pemikir

 
 

Oleh Sim Y. H.
Gambar Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah Brunei memerlukan para pemikir untuk membangun dan mendapat nilai "Negara Baik".

"Negara yang runtuh adalah negara yang ketandusan daya berfikir, sekalipun ia kaya dan besar. Kerana apabila daya berfikir merosot, maka sudah pasti, yang akan menggantikannya ialah hawa nafsu," titah baginda.

Baginda Sultan bertitah menguraikan "Negara Baik" sebagai negara yang "aman sejahtera dan makmur" dan dalam masa yang sama "berdiri kukuh di bawah keredaan dan keampunan Allah."

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke majlis ramah mesra bersama penuntut-penuntut dan rakyat Brunei di United Kingdom dan Ireland yang diadakan di London, semalam.

Teks titah Baginda Sultan diedarkan kepada media oleh Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Yang berangkat sama ke majlis itu ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar serta anggota kerabat diraja yang lain.

Baginda Sultan juga bertitah melahirkan rasa syukur kerana Brunei menunjukkan ciri-ciri "Negara Baik" dengan keamanan dan kemakmuran menjadi identiti negara.

Perkara itu merupakan kurnia istimewa kepada Brunei yang jarang terjadi serta terdapat di mana-mana dan ia harus dipelihara dengan sebaik-baiknya dengan mensyukuri nikmat yang diberikan itu.

"Beta ingin mengingatkan, bahawa mensyukuri nikmat keamanan dan kemakmuran bukanlah dengan asyik bersenang-lenang dan bermewah-mewah saja, tetapi hendaklah jangan lupa siapa yang ampunya nikmat itu.

"Jadi janganlah lupakan Allah. Kita tatang keamanan dan kemakmuran sambil mengingat Allah dengan sebanyak-banyaknya. Orang yang mengingat Allah tidak akan melakukan sesuatu yang boleh merosakkan keamanan dan kemakmuran itu," titah baginda.

Baginda Sultan berpesan kepada penuntut supaya terus memelihara sistem nilai yang baik di mana saja mereka berada kerana tindakan sedemikian akan menyelamatkan mereka.

Baginda Sultan bertitah mengingatkan para pelajar supaya menumpukan perhatian untuk berjaya dalam pengajian dan "bukan mencari wang tetapi mencari ilmu kerana mereka belum menjawat pekerjaan dan sepenuh masa serta tenaga mereka harus ditumpukan kepada pelajaran."

Sikap itu adalah sikap yang betul dan bagi penuntut untuk mempunyai sikap itu harus mempunyai kesedaran terhadap masa depan yang tidak mudah diperoleh dan memerlukan mereka untuk menyiapkan diri supaya menjadi manusia pemikir, tegas baginda.

Baginda Sultan bertitah: "Hanya pemikiran yang tinggi dan matang sahaja yang mampu membawa seseorang itu ke ambang kejayaan. Janganlah dianggap kejayaan itu ibarat udara yang kita hirup, di mana semua orang dapat menikmatinya dengan percuma, tetapi kejayaan adalah memerlukan pencarian dengan usaha gigih serta titik peluh."

Kira terdapat 1,315 orang penuntut Brunei yang belajar di United Kingdom dan Ireland. Daripada jumlah itu, 1,020 orang menerima biasiswa kerajaan, 91 orang dibiayai Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd dan Syarikat Brunei Shell Tankers Sdn Bhd manakala 295 orang adalah atas biaya persendirian.


 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.