BANDAR SERI BEGAWAN, 6Nov. 2011- Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan bahawa orang sering keliru, dengan mengutamakan cabaran duniawi sementara cabaran ukhrawi pula diambil rengan.
Baginda bertitah, contohnya cabaran dalam ekonomi, apakala inflasi berlaku dengan teruknya, kitapun akan sibuk dan bertungkus lumus mencari fomular, atau merangka pelan-pelan tindakan mengatasinya, tetapi apabila cabaran itu berunsurkan ukhrawi, seperti merasakan diri terlalu banyak berdosa akibat banyak melangkah suruhan-suruhan Allah, maka kita kurang serius mengatasinya.
Baginda bertitah demikian sempena Sambutan Hari Raya ‘Idil Adha Tahun 1432 Hijrah/2011 Masihi yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara melalui Radio Televisyen Brunei (RTB) malam tadi.
Baginda juga bertitah menekankan bahawa cabaran dan kerja paling utama ialah memenuhi tuntutan Allah terhadap kita, tuntutan Allah itu banyak tetapi tidak susah untuk melaksanakannya, misalnya sembahyang dan puasa, boleh dibuat dengan mudahnya, tetapi ramai orang masih mengingkarinya.
“Ini, adalah perkara yang terbalik, perkara ukhrawi mestilah ia diutamakan, melebihi daripada perkara duniawi, perkara ukhrawi merujuk kepada akhirat dan akhirat itu pula adalah segala-galanya, sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-A’la ayat 17 tafsirnya “ Dan akhirat itu adalah lebih baik dan lebih kekal” titah Baginda.
Baginda juga bertitah, ‘Idil Adha adalah lambang pengorbanan dan keberanian luar biasa yang dilihat sebagai pendorong untuk Umat Islam terus istiqamah membaiki nasib.
Titah Baginda lagi, nasib itu tidak akan berubah jika umat sendiri tidak mahu berubah, seterusnya Baginda bertitah menegaskan, “dan ini adalah sunnatullah, kerana itu janganlah bertabi’at suka menangguh-nangguh, perkara yang baik mesti disegerakan, dan inilah dia erti “perubahan” itu, walau ia payah dan mencabar, namun tetap dilaksanakan juga”.
“Satu contoh indah yang penuh dengan iktibar ialah tindakan Nabi Ibrahim ‘alaihissalam menyembelih anak Baginda, Nabi Ismail, bukankah perkara ini amat berat untuk dilakukan? Tetapi demi menjunjung titah perintah Allah, ia tetap juga dilakukan tanpa menangguh-nangguhkannya” titah Baginda Sultan menegaskan.
“Mengapakah kita abaikan iktibar yang berharga ini? Berapa lama sudah kita menyambut ‘Idil Adha, tetapi pengajaran daripadanya masih saja kita kurang fikirkan dan ikut” titah Baginda.
Baginda seterusnya bertitah menekankan, banyak cabaran perlu disambut dan banyak kerja perlu dibuat, dan Baginda menyeru supaya sama-sama menyambut cabaran dan membuatnya.
“Janganlah biarkan masa memotong kita, tetapi berusahalah mendepaninya selalu, inilah resam umat perkasa” tegas titah Baginda.
Dalam awal titah Baginda juga mengingatkan, bahawa Allah telah mensyari’atkan ‘Idil Adha sebagai “ Hari Besar” kita umat Islam, kalau hari-hari besar lain datangnya daripada manusia, tetapi ‘Idil Adha dan ‘Idil Fitri adalah mutlak daripada Allah, kerana itu wajar ia disambut dan dirayakan sebagai tanda bersyukur.
Baginda juga bertitah mengingatkan, tidak ada makna main-main, atau hanya berseronok-seronok dalam hari raya, melainkan semuanya itu adalah ibadat, melihat anak bulan untuk menentukan puasa adalah ibadat, begitu juga melihat anak bulan Syawal untuk menentukan hari raya, juga ibadat, kemudian melihat anak bulan Zulhijjah untuk menentukan Hari Wuquf di ‘Arafah dan ‘Idil Adha, semuanya itu adalah ibadat belaka.
“Pada hari raya, ibadat itu adalah lebih ketara lagi, dengan kita disunatkan bertakbir dan sembahyang hari raya serta menyembelih korban, demikianlah hari raya, berstatus ibadat dan kebajikan, inilah kelainan Islam selaku ugama samawi atau ugama langit. Ajaran-ajarannya tetap berpaksi ibadat dan kebajikan, walaupun di dalam masa-masa suka. Suka, bukanlah suka melulu, tetapi suka sambil beribadat, atau suka sambil membuat kebajikan” titah Baginda.
Misalnya, titah Baginda, disunatkan kita berpakaian baru dan ramai-ramai ke masjid, tidakkah berpakaian baru dan ramai-ramai ke masjid itu suatu perkara yang menyukakan hati? Begitulah, Islam tidak mengabaikan faktor naluri, namun di samping itu, ia juga tidak membiarkan naluri itu menguasai kita.
Kerana itu, titah Baginda lagi, boleh saja bersukaria tetapi dengan tidak melupakan matlamat. Dan matlamat itu ialah ibadat kepada Allah.
Mengakhiri titah, Baginda sekeluarga dengan perasaan gembira mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Adha Al-Mubarak kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana saja mereka berada, dan tidak terkecuali para jama’ah haji yang sedang berada di Tanah Suci, Baginda mendoakan semoga mereka beroleh haji yang mabrur dan kembali dengan selamat ke tanahair.