BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menegaskan bahawa misi atau tugas khusus yang dipertanggungjawabkan kepada Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) ialah untuk menjadi sebuah universiti Islam tulen yang mampu untuk memenuhi aspirasi negara.
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, UNISSA adalah kebanggaan negara dan kebanggaan hari depan. Ia perlu konsisten dalam misi dan visinya, di samping mampu berdaya tahan dalam menghadapi sebarang cabaran, baik yang sedia ada ataupun yang akan mendatang.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menegaskan demikian ketika membuat lawatan pertama ke kampus sementara UNISSA di Jalan Pasar Baru, Gadong di sini.
Islam tulen tidak perlu ditafsir-tafsir atau dicari-cari maknanya kerana Islam tulen yang dimaksudkan ialah Islam yang dibawa oleh Nabi kita, Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kalau ia kurang atau lain, ia bukanlah tulen, tegas baginda.
"Tidak perlu jauh-jauh mencari definasinya, pastikan ini semua, jangan ia lari dari Al-Qur'an dan ajaran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu Islam tulen," titah baginda.
Dari itu baginda dengan penuh berharap agar misi UNISSA untuk benar-benar menjadi sebuah universiti Islam tulen akan menjadi kenyataan, manakala visinya pula iaitu untuk memenuhi keperluan-keperluan masa kini dan akan datang serta sebagai mercu tanda kegemilangan bagi negara akan terlaksana.
Walau bagaimanapun titah baginda, kegemilangan tidak bererti tanpa agama, kerana agamalah darah daging, baju dan pakaian orang-orang Brunei.
Titah baginda, agama mesti kuat dan terus hidup dan menjiwai kehidupan kita di Brunei, memandangkan Brunei sendiri mempunyai sejarah pendidikan agama yang bermula dari Sistem Balai yang aktif dalam tahun-tahun 20-an hingga akhir 40-an.
Sistem persekolahan agama secara formal yang bermula pada bulan September 1956 atas titah Al-Marhum Paduka Ayahanda baginda iaitu Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddin Sa'adul Khairi Waddien yang antara lain menegaskan agar semua anak lelaki atau perempuan, dilatih dan diasuh dari kecil lagi dengan amalan dan suruhan agama dan menjauhkan daripada tegahan.
Baginda yakin atas nasihat yang ditinggalkan oleh Al-Marhum Ayahanda baginda, kita sebagai generasi penerus perlu membina atas asas tersebut selaras dengan perubahan zaman, bagi mengisi rohani bangsa dengan pendidikan agama.
Dari itu tegas baginda mengingatkan supaya jangan meletakkan pendidikan agama itu di bawah, jadi nombor dua atau apatah lagi nombor tiga, tetapi hendaklah ia dijadikan pelajaran wajib di sekolah-sekolah. (PELITA BRUNEI)