LIMBARUH HIJAU 28 NOVEMBER 2009 - PRESIDEN Parti Pembangunan Bangsa (NDP) mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh warga NDP yang beragama Islam dan juga kepada seluruh masyarakat Islam di Brunei amnya.
Dalam ucapan perutusan Aidil Adha 1430 tahun ini, Presiden NDP mengingatkan akan pentingnya semua warga muslim NDP mengambil iktibar dari kisah pengorbanan Nabi Ibrahim terhadap anak kesayangan Baginda iaitu Nabi Ismail.
Ianya merupakan satu pengorbanan paling agung dalam hidup Baginda yang perlu dicontohi, jelas Presiden NDP, Ayahnda Yasin Affandy.
Pelajaran yang terdapat didalamnya perlu dihayati dan diamalkan bukan sahaja dimusim merayakan Aidil Adha setiap setahun sekali tetapi dalam kehidupan seharian kita terutama dalam masa kita menjalankan tugas dan tanggunjawab selaku anggota sebuah pergerakkan politik rakyat yang berdakwah dan sebuah pergerakkan dakwah yang berpolitik melalui konsep dan pendekatan amal makruf nahil mungkar, tambah Presiden NDP lagi.
Visi NDP jelas iaitu ingin melihat negara selama-lamanya menjadi sebuah negara Melayu, Islam, Beraja yang aman, damai, sejahtera dan sentiasa mendapat keampunan Allah (Baldatun Thyyibatun Wa Rabbun Ghaffur).
Misi dan Objektif Utama parti juga jelas. Antaranya ialah menyokong dan membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan zuriat Baginda menegakkan dan mempertahankan prinsip keadilan dan ihsan (Al-‘Adl Wal Ihsan) di Negara Brunei Darussalam serta menunaikan komitmen untuk membantu membangun negara dan membina keutuhan bangsa.
Seperti yang telah kita lalui sepanjang hampir 5 tahun ini, perlaksanaan kearah merealisasikan visi, misi dan objektif parti memerlukan kita memberikan komitmen yang tinggi kepada perjuangan parti. Dan komitmen ini tidak dapat dipisahkan dengan semangat pengorbanan yang tinggi. Semangat pengorbanan pula tidak akan dapat dilahirkan dan dizahrikan dalam semua percakapan dan gerkakerja kita tanpa keyakinan kepada perjuangan parti dan keikhlasan untuk benar-benar berusaha membela agama, bangsa dan negara, tegas Presiden lagi.
Dari itu sempena kita merayakan Aidil Adha tahun ini saya sekali lagi menyeru kepada diri saya sendiri dan juga kepada semua warga NDP untuk membaharui komitmen kita dan semangat pengorbanan kita kepada perjuangan NDP.
Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri kita dan membetulkan semula niat kita untuk berparti politik iaitu untuk menghulurkan khidmat bakti kepada agama, raja, bangsa dan negara demi untuk mendapat keampunan dan keredhaan Alllah jua, ujar Presiden NDP.