BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 31 Oktober. – Negara sudah dapat berbangga dengan hasil perkembangan Universiti Brunei Darussalam (UBD) dalam usianya baru menjangkau hampir suku abad, terutama dalam aspek sumbangan kepada perkembangan sumber tenaga manusia di negara ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UBD bertitah demikian di Majlis Konvokesyen UBD Ke-21, berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.
Semasa bertitah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga melahirkan rasa sangat gembira kerana semakin ramai anak tempatan memperolehi kelulusan pada peringkat Ijazah Sarjana Muda.
“Beta ingin melihat lebih ramai lagi mereka itu dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lepasan ijazah, terutama jika mereka menjadikan UBD sebagai salah satu universiti pilihan,” titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
Menyentuh ‘Program GenNext’ yang ditawarkan oleh UBD, Kebawah DYMM percaya langkah itu perlu untuk melengkapkan lagi para pelajar di negara ini bagi menghadapi cabaran-cabaran masa akan datang.
Semasa bertitah baginda juga mahu melihat peningkatan jumlah tenaga akademik tempatan yang berjawatan Pensyarah Kanan dan Profesor Madya.
Namun dalam pada itu, titah baginda, kita tidak menggalakkan hanya untuk meningkat semata-mata, tetapi peningkatan itu mestilah betul-betul menepati kriteria kelayakan, sebagaimana yang diamalkan oleh universiti-universiti yang berprestij di dunia.
“Maka untuk itu, calon-calon Pensyarah Kanan dan Profesor Madya itu hendaklah betul-betul memenuhi syarat-syarat yang diperlukan, di antaranya mesti kreatif dan gigih melakukan penyelidikan-penyelidikan serta menghasilkan karya-karya penulisan yang bermutu,” titah baginda lagi.
Semua ini, titah baginda, akan turut menjadi sukat-sukat kepada tahap kualiti mereka kerana tanpa penyelidikan dan hasil-hasil kreatif itu maka akan sukarlah untuk kita bercakap mengenai kualiti.
Khusus mengenai penyelidikan pula, baginda bertitah ingin melihat warga universiti, sama ada tenaga akademik mahupun para pelajarnya akan bergiat aktif dalam penyelidikan.
“Kerana itu beta turut berbangga manakala UBD menubuhkan kelompok kajian atau ‘research cluster’ dalam pelbagai bidang.
Beta yakin, dengan adanya kelompok ini, akan dapat menarik para pengkaji yang berkaliber, yang meliputi dari dalam dan luar negara. Ia juga diharapkan dapat menyuntik minat pelajar-pelajar tempatan dan antarabangsa untuk mengikuti program pasca ijazah di UBD dan akan mengambil salah satu dari kelompok ini untuk menjadi bahan kajian mereka,” titah baginda.
Pada majlis itu, baginda juga menyentuh mengenai satu usaha untuk mendedahkan para pelajar kepada pendidikan di luar kampus yang akan diperkenalkan pada ‘Tahun Penemuan’ atau ‘Discovery Year’ pada tahun 2011.
‘Tahun Penemuan’ itu titah baginda akan berjalan sama ada melalui khidmat masyarakat, projek inovasi, penempatan kerja di dalam dan di luar negara ataupun pengajian selama satu atau dua semester di universiti atau institusi luar negeri yang tersohor. (PELITA BRUNEI)