L
IMBARUH HIJAU,4hb Disember 2009- Bersempena dengan Sambutan Hari Raya Aidil Adha, Himpunan Wanita Pusat (HAWA) bersama dengan Biro Ugama Islam Parti Pembangunan Bangsa telah mengadakan Majlis Berdikir dan Bertakbir diadakan di Limbaruh Hijau Jalan Jerudong, Isnin lalu.
Majlis tersebut diadakan selepas tamat acara kemuncak parti pada hari itu, Majlis Kenaikkan Bendera Sang Setia yang diadakan di sebelah paginya.
Takbir Hari Raya Aidil Adha telah dipimpin oleh Ketua Biro Ugama Islam NDP, Awang Haji Jaafar bin Haji Shamsudin disertai sama oleh ahli-ahli jawatankuasa biro tersebut termasuk bahagian Perhubungan Daerah Belait Awang Haji Sulaiman bin Haji Duraman.
Sementara itu mengetuai Dikir Marhaban persembahan Hawa Pusat ialah Ketua Bahagian Ugama Islam HAWA Pusat Dayang Hajah Asmah binti Haji Pulut, turut disertai sama oleh Ketua HAWA Pusat Dayang Hajah Sa’emah Haji Kepli, Timbalan Ketua Hawa Pusat Dyg Rosme Haji Maidin, serta exco-exco Pusat dan ketua-ketua HAWA daerah-daerah dan ahli-ahli lainnya.
Majlis tersebut merupakan salah satu daripada kegiatan keagamaan kedua-dua biro tersebut ianya antara lain adalah untuk memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidil Adha, dan juga untuk mengeratkan ikatan siratulrahim dan memupuk semangat perpaduan di antara seluruh anggota NDP di negara ini.
Sementara itu bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidil Adha juga Pasukan Dikir Usrah Muslimah NDP telah turut menerima undangan untuk membuat persembahan dikir di Istana Nurul Iman pada malam ini 4hb Disember 2009.
Seramai lebih 50 orang di kalangan anggota pasukan dikir Usrah Muslimah gabungan daripada Daerah Brunei Muara, Kuala Belait, Tutong dan Temburong akan menyertainya.
Pasukan Usrah Muslimah telah kerap kali menerima undangan berdikir di Istana Nurul Iman melalui acara-acara sambutan tertentu melalui undangan Jabatan Hal Ehwal Ugama. Ketua Pengajar bagi pasukan ini ialah Awang Haji Adanan bin Haji Mayalin dan juga Awang Haji Adinin bin Haji Mayalin, latihan diadakan setiap hari Jumaat bertempat di Surau Limbaruh Hijau Jalan Jerudong.
Sementara itu seramai lebih 20 orang di kalangan anggota wanita NDP bahagian daerah Belait telah berjaya dikumpulkan untuk menjadi anggota tetap Pasukan Dikir Usrah Muslimah bahagian Daerah Belait yang akan diketuai oleh Dayang Kertini binti Haji Munap.
Pasukan Dikir Usrah Muslimah bahagian Daerah Belait juga turut melibatkan penyertaan Pergerakan Puteri Pembangunan kepada seramai hampir 10 orang.