BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin,9 November.- Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan perlunya Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melaksanakan Pelan Strategik 10 Tahunnya yang termaktub menjadi visi UNISSA.
Antaranya ialah akan menjadikan UNISSA sebuah universiti tulen berteraskan Al-Qur'an dan As-Sunnah ; Akan menjadikan UNISSA sebuah sebuah Pusat Pengajian Tinggi Islam yang bertaraf antarabangsa berlandaskan Al-Qur'an dan As-Sunnah dan UNISSA akan sentiasa menjadikan Al-Qur'an dan As-Sunnah sebagai rujukan.
Sejauh manakan visi dan perspektif tersebut boleh menepati sasaran kalau subjek Al-Qur'an tidak serius dilaksanakan oleh UNISSA. Dari itu apa yang ditekankan dalam pelan itu janganlah indah atas kertas saja, sedangkan pelaksanaannya berbeza, tegas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Baginda bertitah menegaskan demikian ketika membuat lawatan ke UNISSA,di Jalan Pasar Baru Gadong di sini.
Pelajaran Al-Qur'an, titah baginda, adalah menjadi asas dan keutamaan dan mesti sempurna dipelajari dan perlu ditekankan dalam semua fakulti, yang mana tidak hanya di tahun pertama atau kedua, tetapi perlu ditekankan kesemua lapan semester.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia mahu semua fakulti di UNISSA mengutamakan subjek Al-Qur'an iaitu selama mana ia di dalam UNISSA dari fakulti apa pun ia adalah tetap membawa UNISSA.
"Kita tidak boleh terima lulusan UNISSA tidak sempurna Al-Qur'annya. Kita tidak terima lulusan Sekolah Menengah Arab lebih baik Qur'annya daripada lulusan UNISSA," tegas baginda.
Dari itu titah baginda seterusnya mengingatkan agar pengambilan calon mahasiswa dan mahasiswi ke UNISSA mestilah mereka yang mempunyai asas Al-Quran sekurang-kurangnya lulus Darjah 6 Ugama.
Jika mereka tidak ada asas tersebut, jelas baginda, bagaimana mereka hendak dikenali indentiti atau dipanggil siswa dan siswi UNISSA dari sebuah pusat pengajian tinggi Islam.
Baginda mahu keluaran UNISSA adalah mereka yang pandai, celik dan mahir Al-Qur'an yang boleh menjadi kebanggaan negara, walaupun ilmu membaca Al-Qur'an itu payah dan menjadi masalah masyarakat Islam di mana-mana.
Menyentuh mengenai syarat-syarat pengambil calon bagi program semester, baginda mengingatkan agar pengambilan bagi calon tempatan dan dari luar negeri tidak dibeza-bezakan atau di diskriminasikan. Apa yang penting tegas baginda ialah UNISSA perlu mencipta nama melalui kejayaan siswa dan siswinya yang berkualiti serta dapat memelihara kualiti tersebut sampai bila-bila. (PELITA BRUNEI)