REPUBLIK SINGAPURA, Sabtu, 14 November.- Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyarankan Menteri-Menteri Pengangkutan APEC mengambil kira inisiatif Perjanjian Pelbagai Hala Mengenai Liberalisasi Pengangkutan Udara Antarabangsa bagi memperkembangkan hubungan udara dan 'langit terbuka' di rantau APEC.
Menurut Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pertumbuhan ekonomi dan peluang perdagangan akan meningkat sekiranya hubungan udara, laut dan darat diperbaiki.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah demikian ketika berangkat menghadiri Sesi Retreat Pertama di Sidang Kemuncak Ketua Ekonomi Asia Pasifik Ke-17 di sini yang diadakan di Istana.
Dalam sesi retreat itu baginda juga menegaskan mengenai isu integrasi ekonomi serantau, di samping menekankan perlunya meneruskan usaha dalam mencapai matlamat Bogor (Bogor Goal) dan berpendapat bahawa Perjanjian Pelaksanaan Perkongsian Pasifik (Trans Pacific Partnership) boleh membantu mencapai objektif jangka panjang Kawasan Perdagangan Bebas di Asia Pasifik (FTAAP).
Baginda seterusnya bertitah adalah perlu untuk sentiasa bersedia dalam menangani masalah penularan penyakit seperti H1N1, bencana alam dan keganasan, khususnya melalui perkongsian pengalaman, membina keupayaan, meningkatkan kerjasama dan koordinasi. Usaha-usaha ini, titah baginda, boleh membina rantau yang selamat dan stabil bagi menjana pertumbuhan ekonomi.
Di sesi itu, baginda mengalu-alukan cadangan Jepun untuk mengadakan Mesyuarat Peringkat Menteri Mengenai Keselamatan Makanan dan menyatakan bahawa ianya akan mempromosikan peralihan teknologi dan perkongsian 'best practices' untuk meningkatkan kapasiti produktiviti.
Sesi Retreat Pertama ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri Singapura,Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong. Tema perbincangan di sesi pertama ialah 'Menghubungkan Rantau Ini' dan membincangkan isu-isu Integrasi Ekonomi Serantau dan Keselamatan Manusia
Terdahulu dari itu baginda berangkat bersama dengan ketua-ketua negara APEC menghadiri Majlis Santap Tengah Hari.
Pada sebelah petang, baginda berangkat bersama ketua-ketuan APEC yang lain di Sesi Dialog bersama Ahli-ahli Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC).
Dalam sesi itu,ABAC menyarankan ahli-ahli ekonomi mengambil tindakan segera untuk mengubah semula langkah-langkah peningkatan perdagangan baru, termasuk peningkatan halangan-halangan bukan tariff, penyelesaian Pusingan Doha dan Kawasan Bebas Bagi Kawasan Pasifik.
ABAC yang dikenali sebagai Majlis Penasihat Perniagaan APEC adalah forum yang kekal bagi sektor perniagaan yang menyumbang kepada proses APEC,yang berhubung dengan perniagaan, perdagangan dan pelaburan.
Melihat kepada bidang-bidang kegiatan APEC yang semakin meluas, ABAC berperanan untuk memastikan agenda APEC akan tetap fokus dan selaras untuk mendukung kepentingan perniagaan dan perdagangan.
Semasa sesi itu para pemimpin antaranya membincangkan Agenda Pembangunan Doha WTO, Keselamatan Manusia dan Cabaran-cabaran Perubahan Iklim serta Keselamatan Tenaga.
Sesi Dialog bersama ABAC dihadiri sama oleh Ahli Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) bagi Negara Brunei Darussalam yang juga selaku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin.
Di sebelah malam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat bersama ketua-ketua negara APEC menghadiri Majlis Makan Malam yang disembahan oleh Perdana Menteri Republik Singapura ,TYT Lee Hsien Loong, di Esplanade. (PELITA BRUNEI)