LIMBARUH HIJAU NOVEMBER 2009 - Rombongan Himpunan Wanita Pusat Parti Pembangunan Bangsa (HAWA) telah mengadakan lawatan ke Kompleks Rumah-Rumah Kebajikan Kampung Pulaie (K.R.R.K) pada hari Sabtu baru ini.
Mengetuai rombongan seramai hampir 30 orang itu ialah Ketua HAWA Pusat, Hajah Sa’emah binti Haji Kepli, disertai bersama oleh Majlis Tertinggi HAWA NDP Dr Hajah Rayah binti Haji Mohd Ali dan Dayang Rosme binti Maidin, Exco-Exco HAWA Pusat, dan ketua-ketua HAWA Perhubungan NDP empat daerah serta Ketua Pergerakkan Puteri Pembangunan Dayang Suriahani Haji Ismail.
Lawatan tersebut merupakan salah satu daripada kegiatan Hawa Pusat antara lain bertujuan untuk meningkatkan constructive engagement dengan badan-badan Kerajaan, badan-badan Bukan Kerajaan dan antarabangsa, di samping untuk menambahkan pengetahuan, pengalaman dan kesedaran kepada kalangan anggota wanita NDP berkenaan perkara-perkara yang berkaitan dengan wanita khususnya dan masyarakat keseluruhannya amnya.
Kunjungan rombongan HAWA Pusat telah dialu-alukan oleh Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) Awang Duraman bin Haji Apung serta pegawai-pegawai lainnya Penguasa Rumah Kebajikan Dyg Tetty Hasdina, Penguasa Rumah Kebajikan Awang Basir bin Haji Md Deli, Penolong Penguasa Rumah Kebajikan Dayang Hajah Kamariah Abdullah dan Pegawai Pembangunan Masyarakat Dayang Hajah Jarinah Ismail.
Kompleks Rumah-Rumah Kebajikan Pulaie merupakan kawasan kawalan yang bukan mudah untuk menerima rombongan untuk membuat lawatan, sehubungan itu dalam ucapan alu-aluannya Ketua Hawa Pusat telah merakamkan penghargaan dan terima kaseh kepada kementerian berkenaan kerana telah memberikan kebenaran kepada mereka untuk membuat lawatan ke kompleks tersebut biarpun hanya untuk mendengarkan taklimat dan mengetahui serba sedikit mengenai dengan peranan dan tanggungjawab kompleks tersebut serta penyelenggaraan mereka kepada penghuni-penghuni di sana yang kebanyakkan adalah di kalangan wanita, remaja perempuan dan kanak-kanak.
Semasa kunjungan itu rombongan telah diberikan taklimat pengenalan mengenai kompleks tersebut yang telah disampaikan oleh Penolong Pengarah JAPEM Awang Duraman bin Haji Apung, serta pegawai-pegawai kanan lainnya.
Kompleks Rumah-Rumah Kebajikan telah ditubuhkan pada tahun 1982, merupakan institusi Kerajaan yang dijadikan tempat perlindungan dan penjagaan bagi individu yang menghadapi masalah sosial dan pemulihan serta bimbingan bagi remaja-remaja yang bermasalah, institusi itu mempunyai misi dan matlamat untuk memberikan penjagaan dan tempat perlindungan sementara kepada penghuni sehingga kes mereka selesai, dan untuk memberikan pemulihan, bimbingan dan latihan kepada penghuni agar menjadi seorang individu yang berakhlak mulia, berdisiplin dan berdaya maju melalui program dan latihan yang diberikan semasa berada di sana.
Antara Akta-akta yang digunakan adalah Akta Perlindungan bagi Perempuan-Perempuan dan Gadis-Gadis Penggal 120 (Pesuruhjaya), Perintah Darurat (undang-undang keluarga Islam 1999 (Mahkamah Syariah), Perintah Darurat (Perempuan Bersuami) 1999 (Mahkamah Sivil) dan Perintah Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pindaan) 2006 (Perlindungan), selain sebuah lagi akta pindaan yang baru iaitu Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda 2008 yang akan mula dikuatkuasakan setelah ianya diperkenankan oleh KDYMM Baginda Sultan dalam sedikit masa lagi, dan akta tersebut dijangka akan membolehkan mendakwa kepada ibubapa yang enggan menerima teguran atau nasihat daripada pihak berkenaan berkaitan dengan masalah anak-anak mereka.
K.R.R.K terbahagi kepada empat jenis dan fungsi rumah antaranya ialah Rumah Taman Noor Hidayah 1 bagi penempatan pemulihan dan bimbingan bagi perempuan-perempuan dan gadis-gadis di bawah umur 21 tahun (seperti kes susah di kawal dan sebagainya), Rumah Taman Noor Hidayah 2 penempatan perlindungan dan penjagaan bagi perempuan-perempuan dan gadis-gadis di bawah umur 21 tahun yang menjadi mangsa (seperti kes-kes pengabaian, penganiayaan, penderaan dan masalah keluarga), Rumah Darussakinah 1 bagi penempatan perlindungan dan penjagaan kanak-kanak lelaki di bawah 18 tahun (seperti kes-kes pengabaian, penganiayaan, penderaan dan masalah keluarga) dan Rumah Darussakinah 2 bagi penempatan perlindungan dan penjagaan kanak-kanak perempuan di bawah 18 tahun juga bagi masalah yang sama.
Setakat ini seramai 43 orang penghuni di dalamnya majoritinya adalah yang berugama Islam yang dikendalikan oleh seramai lebih 60 orang tenaga pengajar termasuk di kalangan tenaga pengajar sambilan seperti guru-guru Ugama, guru pendidikan akademik, vokasional dan sukarelawan.
Mengikut statistik kemasukkan ke rumah tersebut yang tertinggi adalah mereka yang susah di kawal, di samping yang bermasalah keluarga, bahaya moral, pelacuran dan penderaan serta penganiyaan. Kanak-kanak yang berusia 11 hingga 16 tahun adalah yang tertinggi di tempatkan dalam kategori bahaya moral dan kategori ini termasuklah kes sumbang mahram yang dilakukan oleh ayah kandung, ayah angkat, ayah tiri, abang kandung dan nenek.
Menurut Awang Duraman, mengikut daripada kajian antara faktor-faktor utama penyebab kemasukan penghuni adalah faktor ekonomi (kemiskinan), masalah keluarga (perceraian, sibuk berniaga, kurang kasih sayang, tiada perhatian) dan faktor sekeliling (terpengaruh dengan kawan-kawan, dan internet, chating dan sebagainya). Manakala bagi kes sumbang mahram antara faktor penyebabnya adalah dadah, kurang pegangan agama, tinggal terlalu ramai dalam sebuah rumah, dan faktor ekonomi (kemiskinan) sehingga menyebabkan rumah tempat tinggal dalam keadaan yang tidak selesa, dan mengalami kerosakkan di sana-sini termasuk pintu yang tegap atau berkunci.
Cara kemasukan penghuni ke kompleks tersebut adalah atas Perintah Mahkamah, Sivil dan Syariah, atas Perinah Pesuruhjaya/Pelindung (Pengarah JAPEM), sekolah, Imigresen dan lain-lain, Rujukan dari keluarga dan penjaga terdekat dan secara sukarela.
Tempoh perlindungan pemulihan tergantung perintah mahkamah penempatan sehingga kes selesai, dan atas perintah pesuruhjaya, penempatan tidak kurang 6 bulan atau lebih berdasarkan kepada laporan perkembangan prestasi resident, dan perintah pelindung, bagi kemasukan atas perintah pelindung (Pengarah Japem) penempatan tidak melebihi 24 jam atau lebih berdasarkan kepada permohonan Perintah Mahkamah. Penghuni-penghuni disediakan khidmat jagaan asas seperti tempat tinggal, makan dan minum, pakaian, barang-barang keperluan harian, pemeriksaan kesihatan dan mengikuti program dan aktiviti-aktivit kesemuanya secara percuma. Program yang disertai antaranya pelajaran akademik, pendidikan agama, latihan vokasional, kemahiran, sukan, riadah dan program pembinaan diri.
Pelawat-pelawat di kalangan keluarga dibenarkan melawat penghuni setiap dua minggu sekali dan kepada mereka yang sudah agak stabil juga akan diberikan masa bercuti untuk pulang ke pengkuan keluarga di rumah masing-masing.
Kunjungan itu telah diakhiri dengan sesi soal jawab dan penyampaian cenderahati daripada kedua-dua belah pihak dan seterusnya bergambar ramai. Dalam program lawatan ke Jabatan Kerajaan seterusnya HAWA Pusat akan berkunjung ke Ibu Pejabat Biro Kawalan Narkotik di Jalan Tungku Gadong pada 12hb Disember 2009 ini. (HSZ)