BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 27 November - Dalam dunia penuh dengan pancaroba ini, bermacam-macam rancangan untuk melemahkan Islam, di antaranya yang paling merbahaya sekali ialah berupa fitnah-fitnah terhadapnya dan terhadap orang Islam sendiri.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian sempena Hari Raya Aidil Adha tahun 1430 Hijrah bersamaan 2009 Masihi yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei.
Menurut titah baginda, kita hanya mampu untuk meminta supaya berhenti tetapi mengharapkan orang berhenti adalah mustahil, berdasarkan usia agama Islam yang dibawa Sayyidina Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menjangkau lebih dari 1,400 tahun, namun sekarang fitnah-fitnah itu terus saja mekar dalam bentuknya yang bermacam-macam.
“Di saat baik dan bulan baik ini, marilah kita sama-sama berdoa, semoga Allah terus memelihara agama-Nya dan memelihara kita semua hingga ke akhir hayat, berada di dalam selamat dan sejahtera, dan terhindar daripada sebarang fitnah dunia - akhirat,” titah baginda.
Terdahulu baginda bertitah merafakkan syukur setinggi-tingginya ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala yang telah mengurniakan rahmat-Nya menemukan kita lagi dengan hari yang mulia ini.
Hari ini titah baginda, seluruh umat Islam menyambutnya dengan riang gembira, di masjid-masjid atau di tanah-tanah lapang di seluruh dunia, sedang menyaksikan kegembiraan dan kemeriahan itu dengan berkumpul beramai-ramai untuk sama-sama bergembira dengan melakukan Sembahyang Sunat Aidil Adha.
“Apakah yang lebih membahagiakan lagi dari suasana seperti ini,” tambah titah baginda.
Bagi dada-dada yang penuh dengan iman menurut titah baginda, akan lebih merasakan lagi perkara tersebut, kerana iman itu adalah suluh hati.
Baginda menambah titah, orang yang hatinya bersuluh dengan iman, adalah orang yang dapat melihat, betapa indahnya Islam itu.
Semasa bertitah, baginda dan keluarga juga dengan ingatan penuh muhibah sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha Al-Mubarak kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang beragama Islam di mana saja mereka berada.
Baginda juga berdoa semoga Allah memberikan kita semua kebahagiaan berupa perlindungan, kesihatan dan kemakmuran.
Islam agama silaturahim tidak
mementingkan diri sendiri
Sementara itu dalam titah yang sama Baginda Sultan juga bertitah menyentuh mengenai agama Islam sebagai agama silaturahim, agama ramah mesra dan agama muafakat yang tidak mengajar umatnya mementingkan diri, tetapi menyuruh untuk komited dengan masyarakat.
“Inilah ajaran Islam, ia tergambar dalam sistem peribadatannya, lihat saja kepada ibadat sembahyang, yang sangat-sangat digalakkan berjemaah, sehingga dijanjikan dengan pahala berlipat ganda, berbanding dengan sembahyang bersendirian,” jelas titah baginda.
Menurut titah baginda, kemuncak dari perkumpulan paling besar pula, dilakukan di Mekah Al-Mukarramah pada musim haji.
Baginda menambah titah, sekali dalam seminggu umat Islam diwajibkan
pula berkumpul untuk Sembahyang Jumaat, sementara dua kali dalam setahun digalakkan beramai-ramai untuk Sembahyang Sunat Aidilfitri dan Aidil Adha.
Ini semua, tegas titah baginda, adalah isyarat-isyarat jelas betapa Islam itu menggalakkan pertemuan-pertemuan mesra di antara umatnya, bukan pertemuan-pertemuan kosong yang sia-sia, tetapi bertemu sambil beribadat kepada Allah Ta’ala.
“Melihat indahnya Islam itulah, menjadikan kita bertambah-tambah sayang kepadanya. Melihat ajaran-ajarannya yang sempurna itulah membawa kita lebih bersemangat dan lebih ghairah lagi untuk melihatnya berkembang dan terus maju,” tegas titah baginda.
Baginda bertitah, semua pihak dari kalangan orang Islam tidak boleh berkecuali dalam memajukan Islam tetapi semua sama-sama berkewajipan untuk berbuat yang demikian itu. (PELITA BRUNEI)