JERUDONG, Selasa, November 2009. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri bersabda, kebanyakan bekalan makanan di Negara Brunei Darussalam adalah diimport dan akibatnya, keselamatan makanan adalah sangat penting bagi negara ini.
DYTM bersabda demikian ketika berkenan merasmikan Mesyuarat Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN Kali Ke-31, berlangsung di Grand Hall Ballroom, Empire Hotel and Country Club, di sini.
Sehubungan itu, sabda DYTM, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyokong sepenuhnya dan komited terhadap dasar-dasar dan objektif-objektif Projek Pilot Rizab Kecemasan Beras Asia Timur dan
Penubuhan Rizab Kecemasan Beras ASEAN + 3.
DYTM bersabda, para pemimpin ASEAN juga memberikan sokongan mereka untuk meneruskan projek berkenaan dan mengarahkan jemaah menteri untuk mempercepatkan penubuhan Rizab Kecemasan Beras ASEAN + 3 sebagai satu mekanisme tetap.
“Untuk mencapai matlamat penting ini, kita akan memerlukan penyelarasan rapat dengan semua pertubuhan antarabangsa yang berkaitan, di samping juga mengambil kira akan pendapat-pendapat ahli-ahli kita dan komitmen-komitmen dan kekonsistenan mereka dengan peraturan antarabangsa,” sabda DYTM.
DYTM seterusnya bersabda, ASEAN perlu menjadi inovatif dalam usaha-usaha pertubuhan itu untuk mencapai dan mengekalkan keselamatan makanan.
Pertumbuhan penduduk di seluruh dunia, terutama di Asia, sabda DYTM, terus memberikan tekanan lebih besar terhadap sumber makanan serantau yang terhad.
Semasa Persidangan Makanan ASEAN Kesebelas di negara ini baru-baru ini sabda DYTM lagi, ahli-ahli sains makanan terkemuka berhimpun bagi meneroka pendekatan-pendekatan dan peluang-peluang baru dalam sains dan teknologi makanan.
“Persidangan ini dan 'fora' lainnya yang mempertemukan pakar-pakar antarabangsa dalam sains makanan memainkan peranan penting dalam memajukan usaha-usaha untuk memastikan keselamatan makanan penduduk kita,” sabda DYTM.
DYTM percaya inovasi berdasarkan sains dan teknologi akan menjadi penyumbang utama untuk memaksimakan pengeluaran makanan yang mampan, lebih kos efektif dan bertanggungjawab terhadap persekitaran.
Inovasi-inovasi dalam pengeluaran makanan sabda DYTM, tidak semestinya hanya meningkatkan keselamatan dan kualiti pengeluaran pemakanan, mereka juga mesti mencari cara-cara baru bagi memastikan pengeluaran makanan itu dapat ditingkatkan tanpa membahayakan persekitaran.
“Kita juga mesti mengiktiraf bahawa pelaburan yang banyak dan berterusan adalah diperlukan bagi keperluan pembinaan keupayaan, dan penyelidikan dan pembangunan, yang meneraju inovasi dalam pengeluaran makanan kita,” sabda DYTM.
ASEAN sabda DYTM, hendaklah terus mengkaji cara-cara berkesan bagi menggalakkan pelaburan dalam sektor pertanian untuk meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran makanan di rantau ini.
Menyentuh kenyataan Cha-am Hua Hin berkenaan Kerjamasa ASEAN + 3 mengenai keselamatan makanan dan kemajuan bio-tenaga DYTM bersabda, kenyataan tersebut mengiktiraf keperluan untuk meningkatkan kemampuan-kemampuan pengeluaran makanan dan juga mempromosi peruntukan sumber yang lebih baik bagi pengeluaran makanan dan bio bahan api.
“Dalam kenyataan itu, para pemimpin kita menugaskan AMAF dalam perbincangan dengan menteri-menteri dan institusi antarabangsa berkaitan lainnya, bagi memajukan satu strategi yang komprehensif mengenai makanan mampan dan bersepadu dan pengeluaran dan penggunaan bio bahan api,” sabda DYTM.
DYTM yakin bahawa dengan tugasan dari para pemimpin ASEAN, para delegasi mesyuarat akan mendedikasikan keutamaan yang perlu terhadap perkara itu menurut pertimbangkan mereka.
“Kita sepatutnya saling melihat kejayaan yang lain dan belajar dari amalan terbaik yang lain supaya kita lebih memahami bagaimana untuk memajukan strategi serantau yang komprehensif bagi pengeluaran dan penggunaan makanan dan bio-bahan api yang mampan dan bersepadu,” sabda DYTM.
Dalam pada itu, DYTM juga mengesahkan komitmen Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Baginda Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mempertingkatkan kerjasama dan membuat sumbangan bermakna dan penting terhadap pembangunan pertanian yang mampan di rantau ini.
Ketika bersabda DYTM menggalakkan semua delegasi untuk sama-sama bekerja dalam semangat kerjasama ASEAN yang terbaik, untuk memenuhi cabaran sebenar yang dihadapi oleh ASEAN, dalam berusaha untuk memenuhi keperluan-keperluan bagi pengeluaran dan keselamatan makanan lebih besar untuk masyarakat ASEAN yang semaking berkembang. (PELITA BRUNEI)