Setakat ini lebih 60 orang peserta termasuk lebih 40 orang ahli-ahli NDP sudah memulakan kerja-kerja awal membuka kawasan sebagai persediaan untuk penanaman padi yang dijadualkan bermula dalam bulan September akan datang ini.
Inisiatif yang diambil oleh ahli-ahli NDP telah mendapat sanjungan dari Timbalan Presiden NDP, sdr Mahmud Morshidi Othman yang telah membuat kunjungan ke tapak berkenaan kelmarin untuk meninjau secara lebih dekat lagi akan kemajuan dan perkembangan projek tersebut.
"Kita rasa berbangga dengan usaha-usaha dan kegigihan peserta-peserta projek ini terutama sekali ahli-ahli NDP yang terlibat yang telah bersedia mengambil barisan hadapan dalam memberikan sokongan kepada Jabatan Pertanian mengerakkan projek ini.
Menurut sdr Morshidi inisiatif mereka itu bertepatan dengan aspirasi NDP untuk sentiasa memberikan sokongan dan dokongan keatas segala usaha untuk memajukan bidang pertanian di negara ini sebagai langkah memantapkan lagi bidang keselamatan pemakanan negara terutama sekali disektor penghasilan beras yang masih bergantung kepada
bahan import dari negara luar.
"Kita juga rasa berbangga kerana ahli-ahli NDP yang terlibat telah menyambut baik saranan semasa Kongres Agong NDP pertama setahun yang lalu agar mereka dapat mengambil langkah untuk sama-sama memajukan sektor pertanian, khususnya di sektor penanaman padi demi untuk kepentingan keselamatan permakanan negara", ujar sdr Morshidi.
Sehubungan dengan itu beliau juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pertanian dan juga Ketua Kampong di kawasan tersebut
yang telah memberikan sokongan dan dokongan keatas usaha tersebut tanpa memilih-milih kecendrungan politik peserta-peserta yang terlibat dalam projek itu.
Menurut maklumat yang diterima pegawai-pegawai pertanian dari Jabatan Pertanian sering membuat lawatan ke kawasan tersebut untuk memantau kemajuan projek tersebut. Begitu juga hal nya denga Ketua Kampong Awang Haji Osman yang difahami sentiasa mengikuti perkembangan projek tersebut.
"Harapan kita
projek ini akan berjaya dan akan menjadi contoh kepada masyarakat umum dan agensi-agensi kerajaan yang lain bahawa kerjasama dan semangat bermuafakat serta budaya gotong royong antara ahli-ahli pertubuhan politik dengan agensi-agensi kerajaan dan juga orang awam yang lain boleh dijalin jika kita mengambil sikap terbuka dan tidak memilih bulu seperti yang disarankan oleh KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan", tambah sdr Morshidi.
Dari itu, katanya, kita sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pertanian dan juga kepada Ketua Kampong kerana mengambil langkah kehadapan dalam menyahut seruan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan yang telah bertitah baru-baru ini agar tidak ada sikap pilih kasih dalam pemberian perkhidmatan dan juga seruan Baginda agar usaha dapat diambil untuk memudahkan rakyat berinteraksi dengan agensi-agensi kerajaan.
Syabas diucapkan sekali lagi kepada ahli-ahli NDP yang terlibat atas usaha mereka memberikan sokongan dan dokongan keatas usaha kerajaan memajukan sektor pertanian sebagai langkah kearah memantapkan lagi keselamatan permakanan negara dari terus berpaut kepada bahan makanan import, tambah sdr Morshidi.