NDP menjunjung, menyokong penuh titah Baginda Sultan

 
 

LIMBARUH HIJAU 23 JULAI 2007 – TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADIN WADDAULLAH, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Baginda memperingati hari puja usia baginda ke 61 tahun baru-baru ini ringkas tetapi padat dengan kata-kata nasihat, teguran, luahan harapan dan aspirasi Baginda berhubung dengan kesejahteraan negara dan bangsa masa kini dan di masa-masa akan datang.

Baginda dalam titah yang ringkas tersebut mengajak kita semua sekali lagi menghadam, memikirkan sedalam-dalamnya mesej titah tersebut dan bertanya pada diri kita sendiri apakah yang sewajarnya kita lakukan selaku individu, kepala keluarga, penuntut, para pendidik, para ilmuan, pemimpin masyarakat, warga perkhidmatan awam, golongan elit pentadbir dan juga anggota-anggota sektor swasta dalam menjunjung titah tersebut agar segala hasrat raja yang kita taati dan kasihi itu tidak di sia-siakan.

Setentunya titah Baginda Sultan tersebut bukan kata-kata kosong yang hanya diluahkan sebagai sebuah lagi titah tahunan memperingati hari puja usia Baginda.

Titah tersebut sewajarnya dilihat sebagai dasar dan garispandu yang perlu kita taati dengan penuh komitmen dan usaha yang gigih agar segala yang dihasratkan oleh Baginda Sultan terlaksana.

Di bidang kemajuan ekonomi negara, contohnya, Baginda Sultan meluahkan sekali lagi kerisauan Baginda mengenai kemajuan masa kini peniaga-peniaga kecil dan sederhana di negara ini dan potensi mereka menjadi penyumbang dan penggerak yang tidak kurang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Kerisauan Baginda Sultan bertepatan sekali memandangkan keadaan kemajuan masa kini sektor SMEs yang agak lembab akibat suasana perniagaan yang berterusan di hantui oleh ikatan-ikatan dan sekatan-sekatan beberapa prosedur perniagaan yang agak lapok dan ditenatkan lagi oleh sistem birokrasi yang menyulitkan.

Justeru Baginda Sultan melihat perlunya menegur sekali lagi elit-elit pentadbir dan anggota-anggota perkhidmatan awam yang merupakan jentera penggerak pentadbiran awam termasuk dalam hal mengimplementasikan semua dasar dan peraturan yang berhubung rapat dengan mengawal atur perjalanan perniagaan SMEs.

Titah Baginda, “bagi tujuan kecemerlangan ekonomi maka semua pihak perlu menhargai sumbangan kumpulan SME ini dan bersama-sama turut menangani permasalahan mereka".

Tegas Baginda agensi-agensi kerajaan mestilah juga turut menyediakan laluan untuk pertumbuhan dan perkembangan mereka supaya lebih benar-benar menjadi sektor yang akan dapat sama-sama berperanan dalam memajukan negara.

"Mana-mana agensi yang masih memakai peraturan-peraturan atau proses-proses yang boleh melambatkan pencapaian dan juga menghalangi perkhidmatan yang efisyen hendaklah mereka itu dengan segeranya mengubah pandangan mereka", seru Baginda Sultan.

Dalam masa yang sama Baginda juga menyeru kumpulan peniaga-peniaga SMEs untuk sentiasa berkerjasama dengan sektor perkhidmatan awam dalam menuju matlamat yang sama.

Seru Baginda kumpulan SMEs harus lebih kreatif dan berdikari dalam meneroka peluang-peluang perniagaan sama ada didalam mahupun di luar negeri. Kerajaan, menurut Baginda, telahpun menyediakan beberapa kawasan untuk kemudahan peniaga-peniaga dan orang ramai.

"Ia dibuat sebagai galakkan supaya lebih ramai lagi anak-anak tempatan menceburi diri dalam bidang perniagaan itu".

Berhubung dengan kemajuan SMEs ini Baginda Sultan meluahkan hasrat Baginda mahu melihat para pengusaha kecil dan sederhana supaya merebut peluang ini.

“Beta yakin kalau kita mempunyai hemah ditambah lagi dengan adanya perancangan yang teratur sudah barang tentu kita akan dapat melahirkan usahawan-usahawan yang boleh dilatih untuk menjadi peneroka kepada industri-industri export", titah Baginda lagi.

Tambah Baginda ini jika berlaku akan memungkinkan kita untuk meletakkan produk-produk buatan Brunei dalam pasaran serantau dan antarabangsa dalam masa jangka sederhana dan panjang.

NDP Sambut Baik Saranan Baginda Sultan

Sehubungan dengan titah tersebut Parti Pembangunan Bangsa (NDP) sangat menyambut baik seruan Baginda Sultan tersebut dan melihat titah tersebut bertepatan sekali dengan aspirasi NDP yang telah digariskan dalam manifesto parti 2006 -2016.

Dalam manifesto NDP berhubung dengan saranan-saranan memudahkan pertumbuhan sektor perniagaan, parti telah mencadang, menyokong dan akan bersedia membantu Kerajaan Kebawah DYMM ke atas sebarang usaha untuk antara lain:

  • mendidik dan membimbing rakyat khususnya golongan usahawan akan peri pentingnya pengurusan harta, perniagaan dan membudayakan diri dengan nilai-nilai yang positif sebagai prasyarat kepada pembangunan korporat yang berdaya saing di peringkat serantau dan global;

  • menggalak dan memotivasikan rakyat supaya meneroka potensi diri, kreativiti dan inisiatif dalam merebut apa jua peluang ekonomi dan membuka dimensi baru baik secara sendirian atau berkelompok dengan suntikan dorongan dan bimbingan Kerajaan Kebawah DYMM;

  • memperkasakan pertubuhan koperasi sebagai satu institusi penggerak dan pemangkin yang penting dalam pembangunan ekonomi melalui penglibatan rakyat Kebawah DYMM yang meluas;

  • menurunkan kadar yuran pendaftaran perniagaan, lesen-lesen perniagaan dan bayaran kos utiliti aktiviti perniagaan seperti elektrik dan air, kos telefon dan internet, serta menyediakan premis-premis perniagaan yang mampu disewa oleh peniaga-peniaga kecil dan sederhana dan mengurangkan sebarang bentuk cukai yang dianggap membebankan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi;

  • menubuhkan sebuah Suruhanjaya Anti-Monopoli yang akan bertanggungjawab memastikan bahawa keadilan ekonomi wujud di Negara Brunei Darussalam, di mana semua pihak mendapat peluang yang saksama dalam memajukan kepentingan ekonomi masing-masing dan tidak ada pihak yang memperolehi bahagian yang melebihi daripada apa yang dinilai munasabah, sama ada secara keseluruhan atau pun sebaliknya, sehingga menguasai dan berupaya mengancam kepentingan-kepentingan nasional, termasuk di dalam industri-industri penting negara, seperti industri minyak dan gas, komunikasi, dan sebagainya. Suruhanjaya tersebut hendaklah bertanggungjawab kepada Majlis Mesyuarat Negara;

  • mewujudkan kawasan-kawasan bebas cukai di Negara Brunei Darussalam bagi menarik para pelabur asing dan tempatan di mana di dalam kawasan tersebut, Kerajaan Kebawah DYMM akan menyediakan prasarana yang diperlukan dan tidak ada cukai yang akan dikenakan kepada syarikat-syarikat yang berniaga atau membuka premis perniagaan di dalamnya.

    Syarikat-syarikat yang berniaga di dalam kawasan bebas cukai tersebut hanya akan dikenakan syarat di mana para pekerja mereka, baik di peringkat pengurusan, mahu pun di peringkat-peringkat yang lain, hendaklah memenuhi kuota yang ditetapkan, di mana para pekerja ini terdiri hanya daripada rakyat Kebawah DYMM dan penduduk tetap negara ini.

    Pentadbiran setiap kawasan bebas cukai tersebut hendaklah dikorporatkan dan diketuai oleh seorang Ketua Eksekutif, yang bertanggungjawab kepada sebuah badan berkanun yang bertindak sebagai regulatory body ke atas kesemua kawasan-kawasan bebas cukai tersebut.

    Badan berkanun tersebut pula hendaklah bertanggungjawab kepada Majlis Mesyuarat Negara, melalui Jawatankuasa Tetap (Kewangan dan Pembangunan Ekonomi) yang disyorkan penubuhannya.
 

Di bidang pembangunan ekonomi ini juga terutama yang melibatkan secara langsung perkembangan SMEs, NDP juga berkongsi keyakinan Baginda Sultan bahawa kita dapat melahirkan usahawan-usahawan yang boleh dilatih untuk menjadi peneroka kepada industri-industri export.

Kearah ini NDP melihat 3 bidang perusahaan yang boleh menawarkan peluang kepada sektor SMEs untuk diterokai dan sebagai laluan untuk mereka berkembang dengan jayanya. 3 bidang itu ialah bidang permakanan, pertanian dan perikanan. NDP dalam manifestonya telahpun antara lain mencadangkan, bersedia menyokong dan membantu Kerajaan Kebawah DYMM ke atas sebarang usaha untuk:

  • membangunkan industri asas tani bagi pengeluaran hasil pertanian dan produk makanan secara komersial dan sekaligus mengurangkan pergantungan negara kepada produk-produk yang diimport;

  • menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi pertanian yang berdaya maju bagi memanfaatkan penggunaan bidang tanah yang terhad untuk pengeluaran yang optimum;
  • menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara industri pemprosesan dan pengeluaran makanan halal yang berasaskan hasil pertanian, ternakan serta hasil laut dengan mewujudkan dan membangunkan jenama logo halal Negara Brunei Darussalam yang diyakini dan diterima masyarakat Islam sedunia;
  • membina prasarana yang lengkap dan sempurna termasuk prasarana multi-media dan pengangkutan, sebagai pemangkin kemajuan ekonomi dan muamalat Islam.

'Smart Partnership' antara Swasta dan Perkhidmatan Awam

Berhubung dengan titah Baginda Sultan menyeru sektor perkhidmatan awam agar lebih efisyen dan efektif dalam mengawal atur dan memudah cara proses perjalanan perniagaan SMEs dan ekonomi dalam negara, NDP juga telah mencadangkan dan akan menyokong sebarang usaha untuk antara lain;

  • Memastikan yang Perkhidmatan Awam bertindak sebagai sebuah institusi yang dianggotai oleh para pegawai dan kakitangan Kerajaan Kebawah DYMM yang berkecuali, bersih, cekap, amanah, memiliki integriti dan hemah yang tinggi, mengutamakan meritokrasi dan tidak melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan Syariat Islam dan undang-undang negara;
  • mempertingkatkan keupayaan perkhidmatan awam melalui inovasi dan latihan bagi mewujudkan sistem penyampaian (delivery system) yang benar-benar cekap demi pembangunan;
  • membentuk birokrasi yang bersemangat tinggi dan sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan dan membantu orang awam bagi pihak Kerajaan Kebawah DYMM, yang berpegang kepada objektif utamanya untuk menegakkan keadilan;
  • membimbing dan membantu penyertaan rakyat Kebawah DYMM dari segi modal dan khidmat nasihat bagi memastikan tiada perusahaan persendirian yang gagal dan tiada rakyat Kebawah DYMM yang menutup perusahaan disebabkan telah dibebani hutang atas sebab-sebab di luar daripada kawalan pengusaha persendirian tersebut, dan lebih-lebih lagi jika ianya adalah atas sebab-sebab yang berkaitan langsung dengan ketiadaan atau kurangnya keberkesanan Perkhidmatan Awam, atau sistem kewangan negara, atau pentadbiran dan pengurusan sistem tersebut;
  • meneroka sebanyak-banyak peluang perusahaan untuk disertai oleh rakyat Kebawah DYMM dan penduduk Negara Brunei Darussalam, tetapi tidak terlibat di dalam sektor-sektor yang boleh menimbulkan persaingan dengan individu atau swasta;
  • menyemai semangat kepada usahawan ‘jangan bekerja untuk kegagalan’ dan membentuk sebuah perbadanan khas yang efektif bagi memantau dan menyelamatkan perusahaan yang bermasalah dan yang boleh diselamatkan;
  • memindah milik anak syarikat kepada usahawan persendirian atau tokoh sektor swasta yang berpotensi jika didapati perusahaan itu bersaing dengan sektor persendirian atau ianya boleh diusahakan oleh sektor persendirian atau swasta;
  • menggalakkan sektor awam dan sektor swasta atau kedua-duanya mengadakan usahasama melalui pendekatan Perkongsian Pintar (Smart Partnership) untuk melabur di luar negara dan untuk tujuan itu Kerajaan Kebawah DYMM dicadangkan untuk mempertimbangkan penubuhan sebuah perbadanan yang bertanggungjawab sebagai pakar perunding pelaburan tersebut;
  • memperkasakan sektor swasta demi menjayakan dan merangsang pembangunan dan membantu Kerajaan Kebawah DYMM menentukan dasar dan halatuju pembangunan negara;
  • bekerjasama dengan sektor swasta untuk bersama-sama meneroka peluang-peluang baru dan memajukannya, terutama dalam kegiatan yang Kerajaan Kebawah DYMM mempunyai kepentingan.

Isu Alam Sekitar dan Pencemaran

Parti Pembangunan juga dalam manifesto parti sehaluan dengan seruan Baginda mengenai dengan isu alam sekitar dan pencemaran dalam usaha kita terus memeajukan dan membangun negara justeru demi menjunjung titah Baginda tersebut sekali lagi menyarankan dengan mencadang dan akan menyokong segala usaha:

  • Memastikan pihak yang berwajib sentiasa mengambil kira faktor alam sekitar secara serius dalam sebarang usaha untuk memajukan atau membangunkan negara, di mana kajian secara objektif dan telus perlu diadakan sebelum sebarang projek pembangunan atau projek mega dimulakan, agar kesejahteraan rakyat Kebawah DYMM dan generasi akan datang, serta alam sekitar tidak akan terjejas dan lebih terjamin;

  • mengenalpasti serta mencegah segala aktiviti di Negara Brunei Darussalam yang mungkin memberi kesan atau menyumbang kepada pencemaran, penghakisan dan kemusnahan alam sekitar sama ada di atmosfera, sungai-sungai, laut dan pantai dan keseluruhan ekosistem negara;
  • mengkaji dan menilai semula polisi-polisi yang sedia ada yang memberi kesan terhadap alam sekitar termasuk ekonomi, perikanan, perhutanan, pertanian, tenaga, pengangkutan dan sebagainya; dan memberi cadangan untuk memastikan ianya lebih sejajar dengan prinsip pembangunan mampan (sustainable development). Pembangunan dan pelindungan alam sekitar adalah saling bergantung dan tidak boleh dipisahkan (interdependent and indivisible);

  • menggubal dan menguatkuasakan undang-undang yang mewajibkan perlaksanaan kajian kesan alam sekitar (environmental impact assesment) semasa di tahap cadangan (planning stage) apa-apa jua projek atau aktiviti yang akan mengubah bentuk mukabumi (shape of the terrain) dan atau merubah keadaan persekitaran, dan aktiviti yang berkaitan dengannya. Ini untuk memastikan supaya isu-isu pelindungan alam sekitar dan kesihatan awam diberi pertimbangan sewajarnya dalam projek demikian dan yang paling utama ialah untuk menjamin generasi kini dan akan datang dapat terus menikmati khazanah alam sekitar dan kehidupan sihat;
  • menjamin kebolehcapaian (accessibility) individu ke atas maklumat-maklumat yang sewajarnya berkenaan alam sekitar daripada pihak berkuasa, termasuk yang melibatkan bahan-bahan toksik dan merbahaya (toxic and hazardous) dan aktiviti yang berkaitan di dalam komuniti mereka, agar mereka berpeluang untuk turut serta dalam membuat apa-apa keputusan;

  • menggalakkan penubuhan NGO-NGO yang berperanan sebagai pemantau ke atas isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar, untuk berkhidmat atau bertindak sebagai penasihat kepada pihak yang berwajib dalam usaha membangunkan negara, agar kesejahteraan negara dan rakyat Kebawah DYMM tidak akan terjejas disebabkan oleh usaha-usaha sedemikian;
  • mempastikan kebersihan sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air, laluan pengangkutan dan sumber kehidupan nelayan sentiasa dipelihara melalui pendidikan sivik dan penguatkuasaan undang-undang;

  • mempastikan pengurusan dan pemuliharaan hutan dan bukit-bukau dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan amanah bagi mempastikan terpeliharanya alam sekitar sebagai satu warisan dan khazanah negara untuk dimanfaatkan oleh generasi yang akan datang;

  • menguatkuasakan sepenuhnya undang-undang kebersihan dan pencemaran alam sekitar termasuk pencemaran udara dan bunyi bagi mempastikan kualiti kehidupan dan kesihatan rakyat sentiasa terjamin;

  • memupuk budaya cintakan kebersihan di kalangan rakyat bagi menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang bersih dan sihat sehingga dapat memberikan gambaran bahawa masyarakat Brunei itu adalah bangsa yang pembersih;

  • mewujudkan kesedaran mengenai penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar di kalangan rakyat Kebawah DYMM dari semua golongan dengan cara menjemput pakar-pakar untuk mengadakan ceramah umum, penyebaran maklumat melalui media elektronik, buku dan risalah;

  • menggalakkan penyertaan dan tindakan dari semua pihak sama ada korporat atau individu, NGO dan badan-badan sosial melalui kemudahan dan maklumat yang lebih terbuka dan usahasama dalam mencari penyelesaian isu-isu berkaitan alam sekitar;

  • mengatasi masalah sampah tempatan secara amnya, dan pencemaran terutamanya di Kampong Ayer di mana usaha selama ini masih belum mencapai tahap yang memuaskan;

  • mempergiatkan penyertaan di dalam sambutan hari alam sekitar sedunia seperti Hari Hutan Sedunia, Hari Air Sedunia.

Sehubungan dengan itu juga Parti Pembangunan dengan penuh iltizam akan berusaha untuk:

1. Melancarkan gerakan kesedaran melalui program pendidikan dan kempen kepada orang awam khususnya ahli-ahli parti supaya mencintai dan memelihara alam sekitar dengan mengambil daya usaha mengutamakan kebersihan serta menceriakan persekitaran tempat tinggal mereka dengan penanaman pokok dan lanskap;

2. mengamat-amati secara berterusan serta mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa bagi membantu sebarang usaha Kerajaan Kebawah DYMM untuk memelihara alam sekitar dan menguatkuasakan undang-undang mencegah pencemarannya, termasuk mencecah kemungkinan pencemaran disebabkan oleh pembangunan industri yang dirancangkan.

 

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.