IMBASAN RAMADHAN

NDP SUMBANG DERMA TABUNG ANAK-ANAK YATIM

 
 
Himpunan Wanita Parti Pembangunan Bangsa (HAWA) dengan hasratnya untuk sama-sama berperanan melibatkan diri menyahut hasrat Kerajaan untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh anak-anak yatim di negara ini melalui kutipan Tabung Derma Anak-Anak Yatim telah turut menghulurkan sumbangan bagi mengisikan tabung-tabung berkenaan di seluruh negara baru-baru ini.
Dalam sumbangannya yang pertama HAWA pusat NDP telah menyerahkan sumbangan tersebut kepada Pemangku Pegawai Daerah Belait Awang Haji Shahminan bin Haji Tengah merangkap Pengerusi Tabung Derma Anak-Anak Yatim Daerah Belait, di pejabatnya di Jabatan Daerah Kuala Belait pada 24hb September 2007.

Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Ketua HAWA Pusat Dyg Halimah binti Janai dengan disaksikan bersama oleh Setiausaha HAWA Pusat Dyg Safiah binti Haji Zaini, Naib Ketua Wanita Ranting Mumong Dyg Rosme binti Maidin, Naib Ketua Wanita Ranting Pandan Dyg Rohana binti Junaidi dan turut hadir ialah Ketua HAWA Pusat Dyg Hjh Saemah.
Sementara itu sumbangan bagi Tabung Derma Anak-Anak Yatim Daerah Tutong pula telah disampaikan oleh Setiausaha HAWA Pusat Dyg Safiah binti Haji Zaini kepada Pegawai Pentadbiran Pejabat Daerah Tutong Awang Mohd Yassin bin Haji Ahmad selaku wakil kepada Penolong Pegawai Daerah Tutong Awang Haji Mohd Sofian bin Haji Bungsu pada 25hb September 2007 bertempat di Dewan Perjumpaan Pejabat Daerah Tutong.
 
Manakala penyampaian bagi Tabung Derma Anak-Anak Yatim Daerah Brunei Muara telah disempurnakan oleh Ketua HAWA Daerah Brunei Muara Dyg Hjh Jamilah binti Haji Ahmad, di saksikan bersama oleh Ketua HAWA Pusat, Setiausaha HAWA Pusat dan Jawatankuasa Penggerak HAWA Pusat Dyg Munah binti Junaidi pada 1hb Oktober 2007 bertempat di pejabat Penolong Pegawai Daerah Brunei Muara.

Sumbangan berupa wang tunai itu telah diterima oleh Penolong Pegawai Daerah Brunei Muara Awg Haji Haris bin Haji Othman, dan semasa menerima kehadiran HAWA NDP beliau turut meluangkan sedikit waktu untuk beramah mesra dengan rombongan yang turut dihadiri sama oleh Ketua HAWA Pusat.

Walaupun Penolong Pegawai Daerah itu punyai waktu yang padat kerana hendak menghadiri mesyuarat ekoran kejadian kebakaran di Kampung Perabu Kampung Ayer pagi itu,  tetapi rombongan HAWA di sambut dengan penuh ramah mesra dan sempat bertanyakan kegiatan-kegiatan yang dilaksanakan setakat ini oleh kaum wanita NDP.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan atas usaha gigih HAWA NDP yang sama-sama melibatkan diri dalam berperanan untuk membantu masyarakat yang memerlukan di negara ini.
 
Bagi sumbangan Tabung Derma Anak-Anak Yatim Daerah Temburong pula ianya telah disampaikan semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Derma Anak-Anak Yatim di daerah itu pada 3hb Oktober 2007 yang telah disampaikan oleh Awang Serudin bin Pungut bagi mewakili HAWA di penyampaian ke daerah itu.
 
Sumbangan-sumbangan tersebut merupakan hasil kutipan daripada kalangan ahli-ahli NDP dan juga kegiatan-kegiatan Jualan-jualan amal yang di gerakkan oleh HAWA seluruh negara sejak tahun lalu.  Ianya antara lain bertujuan untuk sama-sama tampil ke hadapan sebagai rakan strategi pihak Kerajaan dalam membantu mengatasi beban yang ditanggung anak-anak yatim di negara ini.
 
Projek itu merupakan yang pertama dilakukan pada tahun ini, dan ianya di hasratkan akan dilakukan secara berterusan dan di masa-masa akan datang akan turut melibatkan lebih banyak kegiatan-kegiatan yang menyumbang kepada kerja-kerja berkebajikan dan berkemajuan terutama di kalangan ahli-ahli wanita dan keseluruhan anggota NDP.

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.