LIMBARUH HIJAU 5 OGOS 2007 - APABILA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA Paduka Seri baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah baru-baru ini menyentuh mengenai bidang keselamatan, Baginda Sultan tidak berpanjang lebar hanya menyentuh secara ringkas empat elemen yang dilihat sebagai penting dalam menanai keselamatan negara dan bangsa.
Empat elemen yang Baginda Sultan sentuh dalam titah sempena memperingati hari puja usia Baginda ke 61 tahun itu ialah;
1- Pentingnya keazaman untuk terus menitik beratkan bidang keselamatan sebagai keperluan asasi negara dan bangsa.
2-
Perkhidmatan kepada orang ramai penting dan menyumbang kearah kemaslahatan bidang keselamatan
3- Kerjasama masyarakat penting dalam meleihara keselamatan negara dan bangsa.
4-
Meningkatkan kerjasama serantau dan antarabangsa bagi faedah-faedah bersama boleh menyumbang kearah memantapkan lagi keselamatan negara dan bangsa.
Titah Baginda Sultan, "menyentuh bidang keselamatan ini ianya termasuk dalam perkhidmatan kepada orang ramai".
Justeru tegas Baginda "Kita mesti berazam untuk terus menitik beratkan keamanan dan keselamatan sebagai keperluan asasi kita".
Maka untuk itu, tambah Baginda, semua agensi yang berkaitan hendaklah mengambil langkah-langkah tegas mengenainya.
Titah Baginda disamping itu kerjasama masyarakat juga tidaklah kurang diperlukan seperti dalam perkara memberikan maklumat-maklumat berguna sekiranya terdapat aktiviti-aktiviti yang mencurigakan yang dianggap boleh menggangu keselamatan negara.
"Mengenai keselamatan ini juga, kerajaan beta akan terus meningkatkan kerjasama serantau dan antarabangsa bagi faedah-faedah bersama. Menerusi hubungan dengan negara-negara sahabat dan juga pertubuhan-pertubuhan kita mempunyai banyak peluang untuk mencapai hasrat tersebut", titah Baginda lagi.
Dalam konteks titah ini, Parti Pembangunan Bangsa (NDP)
melihat walaupun titah Baginda Sultan menyentuh bidang keselamatan ringkas sahaja akan tetapi disebaliknya titah raja yang kita cintai itu mengajak kita semua untuk melihat jauh mesej-mesej penting yang perlu kita fikirkan bersama disebalik keringkasan titah tersebut.
Kita diajak berfikir dan menilai secara jujur samada tuntutan keselamatan bagi negara kita yang kecil ini telah kita fikirkan secara serius atau telah kita usahakan atau kita masih leka dan “inda ingau?”.
Seperti yang dititahkan kita perlu melihat bidang keselamatan sebagai keperluan asasi negara dan bangsa justeru
kita mestilah mempunyai keazaman untuk menanai dan memeliharanya dengan baik.
Dari sudut keselamatan nasional ini NDP dan seluruh anggotanya, sesuai dengan komitmennya yang tersurat di dalam perlembagaan parti akan terus berdiri teguh dan mapan pada setiap saat membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai pemimpin dan pemerintah untuk menjalankan polisi-polisi yang mampu mencorakkan dan meningkatkan tahap kehidupan serta keselesaan hidup rakyat seluruhnya.
Masyarakat yang baik, berdayamaju dan berdayasaing lazimnya terhasil daripada polisi dalaman yang baik dan dilaksanakan, samada dari sudut sosial, ekonomi, agama dan pendidikan yang cemerlang.
Justeru NDP dalam manifesto politik parti 2006 - 2016 juga bersama Baginda Sultan dalam melihat pentingnya bidang keselamatan nasional ini dan telah bercadang serta akan bersedia menyokong Kerajaan KDYMM Baginda Sultan dalam segala usaha untuk menjaga dan membangunkan nilai-nilai kebangsaan yang amat penting iaitu, ‘survival’ rakyat Kebawah DYMM, keutuhan wilayah, kemerdekaan politik dan kekuatan ekonomi.
NDP melihat
sebarang ancaman terhadap nilai-nilai kebangsaan ini iaitu ‘survival’ rakyat Kebawah DYMM, keutuhan wilayah, kemerdekaan politik dan kekuatan ekonomi, tidak syak lagi merupakan ancaman kepada keselamatan negara.
Makanya NDP telah bercadang dan akan bersedia menyokong segala usaha kearah melengkapkan sistem pertahanan sebagai strategi keselamatan.
Kita juga wajar menterjemahkan kezaman dan iltizam kita memelihara dan menanai keselamatan nasional dengan menubuhkan Jawatankuasa Tetap (Keselamatan Nasional) di dalam Majlis Mesyuarat Negara.
Jawatankuasa Tetap Keselamatan Nasional ini kita lihat boleh berfungsi dan bertindak memantau pengurusan segala dasar, rancangan dan hal ehwal lain yang berkaitan dengan keselamatan dan pertahanan negara, serta penanganan isu-isu jenayah pelbagai kategori.
Dalam masa yang sama kita juga melihat perlunya usaha berterusan kearah mewujudkan masyarakat yang ceria, harmoni dan bebas prasangka dalam iklim politik yang sihat.
Seperti yang disarankan oleh Baginda Sultan mengenai pentingnya kerjasama orang ramai, NDP dalam hal ini akan bersama Kerajaan Baginda Sultan mencadangkan dan bersedia membantu segala usaha
memerangi segala bentuk jenayah dan keganasan hingga ke akar umbi, dengan mengambil pendekatan Islamik, di mana menegakkan makruf dan mencegah kemungkaran diutamakan, khususnya melalui proses pendidikan, dan tidak hanya menumpukan konsentrasi serta pelbagai sumber sepenuhnya kepada penyiasatan dan penyelesaian kes-kes jenayah sahaja.
Kejayaan di dalam pendekatan sebegini menuntut kepada penglibatan dan komitmen yang tinggi semua pihak di dalam masyarakat dan tidak hanya mengharapkan kepada agensi-agensi penguatkuasaan sahaja.
NDP juga yakin kerjasama orang ramai dalam sama-sama menanai dan memelihara keselamatan dapat diperkukuhkan lagi dengan
memperkukuh suasana harmoni dan rukun antara Istana dan rakyat kerana kesepakatan kedua pihak adalah landasan kepada sistem pertahanan yang berkesan.
Sehubungan dengan ini NDP berazam akan terus mengamat-amati dan membantu menangani sebarang perkembangan yang boleh mengganggu-gugat kedaulatan, kedudukan, pemerintahan dan hak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan zuriat keturunan Baginda sebagai Sultan dan Yang Di-Pertuan dan Ulil Amri Negara Brunei Darussalam.
NDP juga berazam akan mengamat-amati secara berterusan serta mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari masa ke semasa terhadap sebarang bentuk ancaman ke atas keselamatan dan ketenteraman negara dan mencadangkan langkah-langkah yang difikirkan munasabah untuk membantu Kebawah DYMM dan Kerajaan Baginda memperkukuh dan mempertahankan nilai-nilai kebangsaan yang dijunjung dalam apa jua keadaan.
Bagaimanapun seperti yang dititahkan Baginda Sultan waima pun orang ramai bersedia memberikan kerjasama, semangat kerjasama ini boleh sahaja dijejaskan oleh tahap perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai.
Tahap perkhidmatan awam yang pincang dan kurang berkesan boleh menjadi ancaman kepada survival bangsa.
NDP melalui artikel bertajuk 'Survival bangsa agenda keselamatan negara' tulisan Timbalan Presiden NDP, sdra Mahmud Morshidi Othman pernah menyentuh mengenai perkara ini.
Melalui artikel tersebut NDP melihat perlunya pihak-pihak yang berkenaan hendaklah terus menerus mengadakan kajian dan menilai polisi-polisi yang telah digarapkan dan pencapaianannya atau menggubal polisi-polisi baru, seterusnya proaktif menangani sebarang kepincangan tanpa menunggu titah.
Umpamannya, bagaimana tahap kemiskinan di Brunei yang terbilang antara yang terkaya didunia mempunyai tahap kemiskinan boleh mencecah 25,000 orang berbanding rakyat yang tidak sampai pun 300,000 orang, bagaimana permohonan skim perumahan dan tanah perumahan untuk rakyat jati telah melebihi 40,000 pemohon, dan permohonan ini meningkat tahun demi tahun.
Bagaimana kita boleh merapatkan jurang pendapatan yang luas umpamannya ada yang bergaji B$40,000 sebulan sedang ada yang masih menerima gaji hari kurang dari B$20,00 sehari dan kenaikan tahunan antara 30 sen – 60 sen setahun?
Inilah di antara isu-isu yang dilihat oleh NDP sebagai amat menggerunkan.
Jika tidak ditangani dengan segera dan sewajarnya isu-isu seperti ini tidak syak lagi boleh menggugat survival bangsa. Islam juga mengingatkan bahawa kemiskinan itu lebih hampir kepada kekufuran, justeru itu wajiblah diambil langkah-langkah yang berpatutan dan proaktif bagi menanganinya.
Barang sudah tentu, kejayaan kita mencorakkan rakyat mempunyai kualiti hidup dan kehidupan yang tinggi akan melahirkan masyarakat yang sihat, bertanggung jawab dan bangsa yang berdayasaing.
Insyaallah keadaan ini akhirnya akan menyumbang kepada peningkatan produktiviti negara, dan sistem pertahanan negara yang paling ampuh.
Justeru, dalam konteks ini sememangnnya wajar Baginda Sultan meletakkan bidang keselamatan sebagai keperluan asasi negara dan angsa.
Aspek keselamatan dan survival rakyat dan penduduk negara yang kita cintai sewajarnya diletakkan pada agenda paling atas dalam kerangka sebarang formulasi polisi dan eksekusi program pembangunan negara.
Menyentuh mengenai mesej Baginda Sultan berkenaan usaha meningkatkan kerjasama serantau dan antarabangsa bagi faedah-faedah bersama sebagai penyumbang kearah memantapkan lagi keselamatan negara dan bangsa, NDP melihat ianya menjurus kearah memantapkan keutuhan wilayah.
Dari sudut keutuhan wilayah ini sdra Morshidi juga telah menulis:
"Dari sudut keutuhan wilayah pula, NDP melihat isu ini sebagai aspek yang sangat penting.
Kepentingan ini membawa maksud bahawa integriti seluruh wilayah Brunei Darussalam hendaklah kita jaga dan pertahankan dengan sesungguh hati, jiwa dan raga. Kegagalan menjaga integriti wilayah akan membawa kepada perpecahan negara dan paling tidak akan menyebabkan wilayah kita semakin terhakis.
Kerana itulah juga kita dapati apabila sesetengah negara berdepan dengan ancaman pembebasan wilayah seperti di Patani atau Mindanao , negara-negara terbabit akan menilainya sebagai sebahagian daripada ancaman kepada nilai utama sesebuah negara iaitu keutuhan wilayah.
Pendekatan untuk menjaga integriti wilayah ini memerlukan pendekatan yang bukan semata-mata bersifat ketenteraan tetapi juga dari sudut politik, persatuan dan kesatuan seluruh rakyat serta kesetiaan seluruh rakyat yang tidak berbelah bagi kepada negara dan raja yang dicintai.
Sejarah telah mengajar betapa pergolakan politik yang negatif di dalam negara serta perlaksanaan dasar-dasar yang lemah, telah dieksploit oleh kuasa-kuasa asing sehingga mereka berjaya memecah dan mengecilkan negara Brunei Darussalam, yang suatu ketika dahulu adalah sebuah empayar yang mempunyai keluasan wilayah melebihi satu juta kilometer persegi... "
Demikianlah kita melihat betapa pentingnya bidang keselamatan nasional yang disentuh oleh Baginda Sultan. Walaupun Baginda tidak menghuraikannya kita selaku rakyat dituntut untuk sama-sama menginsafi dan berbuat sesuatu dan insya Allah bidang keselamatan in akan terus dijadikan sebagai keutamaan dalam agenda perjuangan NDP.
- Survival bangsa agenda keselamatan negara