Meninjau kemajuan projek pembuatan mesin pembajak

 
 
'Victory' sdra Morshidi bersama Pengiran Haji Zainal, Timbalan Ketua Perhubungan NDP Belait melihat satu kejayaan bagi NDP dalam usaha menghasilkan mesin pembajak sendiri

BELAIT JUN 16: Serombongan ahli-ahli Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang diketuai oleh Timbalan Presiden NDP kemarin membuat lawatan ke bengkel di Seria dimana kerja menghasilkan mesin pembajak sawah sedang giat dijalankan.

Disesi lawatan itu Timbalan Presiden, sdra Mahmud Morshidi Othman dan rombongan melihat secara dekat kemajuan yang sejauh ini telah dicapai dalam usaha parti membantu memudahkan penanam-penanam padi di negara ini meningkatkan produktiviti sawah mereka.

Usaha ini diungkayahkan atas kesedaran pentingnya bidang pertanian dinegara ini terus dimajukan bagi memastikan negara tidak berterusan bergantung sepenuhnya kepada negara jiran untuk keperluan makanan asas.

Inilah salah satu isu yang merupakan agenda utama bagi NDP dalam membantu memastikan keselamatan, kesejahteraan dan survival bangsa dan negara terjamin.

Seperti yang dijeaskan oleh sdra Morshidi disesi perjumpaan dengan ahli-ahli Jawatankuasa Perhubungan NDP Belait kemarin sebelum membuat lawatan ke bengkel tersebut, usaha-usaha sekarang sedang giat dilaksanakan oleh Biro Pertanian dan Asas Tani untuk mencapai matlamat ini.

Salah satu usaha, katanya, ialah memperkenalkan benih beras yang baru yang dinamakan benih padi ‘Marhani’ kepada penanam-penanam padi di Temburong

Benih baru ini, tambahnya, apabila ditanam dengan mengikut tatacara yang betul dengan penyediaan tanahnya yang baik dan saliran air nya yang mencukupi boleh dituai tiga kali setahun.

“Pembuatan mesin pembajak ini merupakan satu lagi usaha membantu penanam-penanam padi di negara ini mempertingkatkan produktiviti sawah iaitu melalui penghijrahan dari kaedah tradisional dalam penyediaan tanah kepada kaedah baru yang menggunakan jentera”.

Katanya lagi NDP akan terus berusaha bagi membantu penanam-penanam padi membuat penghijrahan ini dengan memudahkan mereka mendapatkan jentera-jentera yang diperlukan untuk mempertingkatkan produktiviti mereka seperti jentera menuai dan lain-lain.

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.