Menghidupkan Dikir Brunei

 
 
LIMBARUH HIJAU 11 DISEMBER 2006: Wanita Pusat NDP (HAWA) telah menubuhkan sebuah pasukan zikir dalam usaha menyemarakkan lagi Dikir Syirafil Annam dan Dikir Brunei supaya ianya tidak akan pupus di telan zaman.

Di samping itu penubuhan pasukan Dikir juga dimaksudkan bagi mengisikan waktu terluang ahli-ahli Wanita NDP disamping mengeratkan hubungan bersama masyarakat sekeliling melalui program keagamaan tersebut.

Pasukan zikir terdiri dari 20 orang wanita-wanita yang mewakili ranting-ranting, Pekan Seria, Lorong Tiga dan Kampung Pandan 7 Kuala Belait, serta ranting Lumut.


Pasukan zikir yang dinamakan “Pasukan Dikir HAWA NDP” dengan uniformnya bewarna Hijau berbunga kekuningan telah mula mengetengahkan diri mereka melalui bacaan Dikir di Majlis Perkahwinan anak Naib Ketua 11 Wanita Pekan Seria Dayang Hasnah binti Mohamad pada 3hb Disember yang baru lalu bertempat di Kampung Badas Seria.

Pasukan Dikir itu telah di ketuai oleh Timbalan Ketua Himpunan Wanita NDP Dayang Halimah binti Janai.

Dyg Halimah menjelaskan, penubuhan pasukan Dikir akan di laratkan lagi ke daerah-daerah lain termasuk Daerah Brunei Muara, Tutong dan Temburong dalam sedikit masa lagi.

Menurutnya HAWA akan membangkitkan agenda tersebut melalui Mesyuarat Himpunan Wanita yang akan di adakan dalam bulan ini.

Sementara itu Ketua Himpunan Wanita, pula ketika menjelaskan memberitahu surat-surat akan di hadapkan kepada Ketua-Ketua Eksekutif Ranting setiap Daerah untuk mereka membantu mendapatkan senarai nama-nama kaum wanita yang berminat untuk menyertai pasukan tersebut.

Latihan-latihan akan di adakan setiap hari Jumaat di satu tempat yang di fikirkan sesuai nanti dan memberikan kemudahan kepada setiap ahli yang menyertainya, jelas beliau lagi.

Sejak pasukan itu mengetengahkan diri dalam persembahan di rumah pengantin yang lalu, baru-baru ini terdapat juga satu permintaan untuk pasukan itu memberikan khidmat di “Majlis Mandi Beranak” di Kuala Belait pada minggu akan datang.

“Mudah-mudahan melalui kegiatan seperti ini akan lebih ramai lagi di kalangan wanita-wanita ahli NDP akan menyertainya. Di samping merupakan kegiatan keagamaan, ianya juga di harapkan dapat membangkitkan semangat kaum wanita untuk terus bergerak dalam apa jua kegiatan yang di anjurkan oleh Himpunan Wanita NDP dari masa ke semasa, demi meningkatakan taraf wanita dalam berbagai bidang. Kami berharap mudah-mudahan setiap ranting di seluruh daerah akan mempunyai pasukan-pasukan dikir mereka masing-masing dalam sedikit masa lagi, begitu juga ianya akan di laratkan kepada penubuhan pasukan Dikir Himpunan Pemuda” ujar Ketua Himpunan Wanita.

Dalam pasukan itu terdapat juga beberapa orang remaja wanita turut menyertai pasukan, dan penyertaan mereka ini sangat-sangatlah di alu-alukan sebagai pelapis generasi tua dan mereka perlu di suntik dengan kegiatan-kegiatan yang berkebajikan dunia dan akhirat.

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.