Oleh Lokman Ismail
Bapa tanggung amanah besar mendidik, melahirkan keluarga sempurna.
SAMBUTAN Hari Bapa yang diraikan Ahad minggu ketiga bulan Jun adalah untuk menghargai bapa yang menjadi tokoh penting dalam keluarga sebagai ketua menentukan bentuk kehidupan dilalui ahlinya.
Kedudukan bapa sebagai ketua untuk melahirkan keluarga bahagia turut meliputi keupayaan mendidik, menjaga keselamatan, mencurah kasih sayang, menyara perbelanjaan dan mempertahankan maruah.
Bapa menanggung amanah besar melaksanakan tugas memimpin, mengasihi, mendidik dan memberi nafkah kepada setiap anak.
Pelaksanaan tugas itu memerlukan keikhlasan, kesungguhan, pengetahuan tugas kebapaan dan ketakwaan kepada Allah.
Kemahiran kebapaan bukan lahir secara ‘kebetulan’ apabila bergelar bapa.
Semua memerlukan usaha ke arah itu.
Bapa dapat mendalami ilmu kebapaan dengan menghadiri kursus, berkongsi pengalaman, pembacaan dan penghayatan terhadap tugas.
Tugas bapa bukan setakat menyediakan keperluan hidup seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian kepada anak, tetapi juga memastikan anak mendapat bimbingan menjadi Muslim yang melaksanakan perintah Allah.
Allah berfirman bermaksud: “(Luqman berkata) Hai anakku! Hendaklah engkau mendirikan sembahyang, melakukan perbuatan baik, cegahlah perbuatan yang buruk, dan hendaklah engkau bersabar dengan penderitaan yang ditanggung.” (Surah Luqman, ayat 17)
Bapa tidak patut menganggap tugas yang dilakukan sebagai beban. Perasaan berasa terbeban dengan tanggungjawab akan menjadikan keadaan lebih kusut dan bercelaru.
Kesannya, tanggungjawab kebapaan tidak dapat dilakukan dengan sempurna.
Memimpin keluarga ke jalan diredai Allah adalah jihad yang mendapat ganjaran besar di sisi Allah.
Setiap masa yang diluangkan untuk mendidik dan bermesra dengan anak dan ahli keluarga juga sebahagian jihad.
Setiap tenaga dicurahkan dan wang dibelanjakan untuk keluarga adalah sedekah.
Balasan pahala yang disediakan amat besar.
Rasulullah SAW menjelaskan, aspek pergaulan dan kasih sayang menjadi inti pati kebahagiaan keluarga.
Baginda menganjurkan supaya setiap orang sentiasa melakukan terbaik untuk keluarga.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” (Riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)
Banyak bapa mengabaikan aspek kemesraan dalam pergaulan dengan anak.
Ada bapa lebih suka menunjukkan sikap bengis sebagai cara mendidik anak hingga anak tidak berpeluang duduk rapat dengan bapa.
Cara itu dikatakan lebih berkesan supaya anak mudah dengar kata dan tidak berani melakukan perbuatan ditegah.
Cara itu mungkin berkesan ketika anak masih kecil. Anak patuh kepada larangan itu bukan atas kesedaran, sebaliknya kerana takut kepada hukum.
Sepatutnya bapa mengambil pendekatan membentuk hubungan mesra dan ceria dengan anak.
Ajarkan anak apa yang boleh dan tidak dengan memberitahu alasan ke atas larangan atau suruhan itu terhadap diri anak.
Pada masa sama, bapa perlu menunjukkan contoh yang baik. Penting bagi bapa sentiasa berpegang kepada konsep mendidik anak secara berterusan.
Bapa adalah contoh ikutan anak dan arkitek membentuk peribadi anak.
Anak memerlukan masa bersama bapa untuk memerhati dan mencontohi apa dilakukan bapa.
Bapa adalah guru paling berkesan. Anak ‘percaya’ apa yang diberitahu bapa. Bapa perlu membina personaliti sebagai idola anak.
Didikan akidah dan keimanan perlu diutamakan.
Pengaruh negatif, persekitaran dan rakan sebaya menyebabkan anak hilang pedoman jika tidak dibimbing ibu bapa.
Anak bermasalah dan terbabit dengan gejala tidak baik kerana kurang perhatian daripada bapa.
Banyak bapa didapati sibuk mencari kekayaan dan kedudukan yang difikirkan untuk kesenangan anak hingga mereka lupa tanggungjawab memberi pendidikan akhlak, agama dan kasih sayang diperlukan anak.
Hadiah paling berharga daripada bapa kepada anak ialah didikan agama dan akhlak.
Hadis riwayat Tirmizi yang bermaksud: “Tiada ada sesuatu pemberian lebih baik daripada ayah kepada anaknya daripada budi pekerti yang baik.”
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu (berhala).” (Surah at-Tahrim, ayat 6)
Biarpun sibuk, bapa mesti meluangkan masa untuk bersama keluarga. Kebahagiaan keluarga adalah segala-galanya dalam kehidupan di dunia ini. Tidak ada ertinya mencapai kejayaan dan kekayaan sedangkan anak terjebak perbuatan negatif.
Anak tentu lebih berbangga dengan bapa yang sentiasa berada di sisinya untuk menunjukkan contoh terbaik. Perasaan hormat dan berbangga dengan bapa adalah pengiktirafan tertinggi anak terhadap bapa. Bapa mithali sentiasa mencari peluang untuk menghabiskan masa bersama anak dan ahli keluarga.
Sebenarnya, anak boleh menjadi penawar kepada masalah dan beban kerja dihadapi. Anak menjadi inspirasi kepada bapa untuk berusaha lebih gigih dan mengutamakan keluarga.
Sebab itu, keletihan dan tekanan kerja hilang apabila melihat wajah anak serta layanan mesra isteri.
Mereka sedar apa yang dilakukan adalah untuk kebaikan anak dan keluarganya.
Sebaliknya, bapa tidak bermoral menganggap anak dan isteri sebagai menambah tekanan perasaan.
Anak dan isteri menjadi mangsa melepas geram akibat tekanan perasaan yang berpunca daripada masalah lain. Keadaan ini memburukkan lagi interaksi keluarga sehingga tidak terkawal.
Bapa bermasalah lebih suka berada di luar rumah bersama rakan.
Mereka lebih mengutamakan kawan daripada anak. Tindakan itu tidak menyelesaikan masalah.
Bapa yang kerap menghabiskan masa di luar rumah mudah terbabit dalam aktiviti kurang baik.
Akibatnya, tanggungjawab terhadap keluarga semakin diabaikan. Keburukannya ditanggung bapa sendiri, selain anak yang paling menanggung kesannya.
Hubungan erat bapa dan anak sejak kecil memberi kesan berterusan sehingga anak meningkat dewasa dan mempunyai keluarga sendiri.
Anak yang mendapat kasih sayang bapa akan membalas kasih sayang itu dengan menggembirakan bapa ketika hari tua.
Sebaliknya, bapa yang gagal menunjukkan kasih sayang, berdepan kemungkinan ‘dipulau’ anak sendiri ketika usia tua.
Kes bapa terlantar di rumah orang tua, antara lain berpunca kesilapan bapa sendiri.
Cuba selidiki dan kaji balik apakah punca anak tidak mempedulikan bapa mereka.
Sesungguhnya, sesiapa yang ingin dikasihi hendaklah terlebih dulu mengasihi.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi.” (Hadis riwayat Muslim).
Mengikut kajian ahli psikologi, kesan pengalaman ketika usia kanak-kanak atau remaja yang ketika itu amat memerlukan perhatian dan kasih sayang bapa, tetapi gagal diperoleh, mendorong seseorang melakukan perbuatan sama terhadap bapanya.
Jangan ambil mudah kasih sayang dan perhatian yang diperlukan anak. Ada bapa beranggapan sudah memadai kasih sayang dan perhatian diberikan ibu.
Rasulullah SAW tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa terhadap anak yang sudah berumahtangga.
Rasulullah sentiasa mengunjungi rumah Fatimah dan bertanya khabar serta memberi nasihat berguna dalam menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu. Malah, Rasulullah SAW sentiasa memberi sambutan mesra setiap kali Fatimah mengunjungi Baginda. Baginda bangun menyambut ketibaan Fatimah, memberi kucupan dan memimpin ke tempat duduk.
Kasih sayang berterusan bapa terhadap anak yang sudah berkahwin bukan mengganggu urusan hidup anak. Ikatan kasih sayang bapa terhadap anak adalah kasih sepanjang hayat. Bahkan, keluarga beriman akan dibangkitkan di akhirat dalam suasana kemesraan kekeluargaan.
(Di petik dari Berita Harian) |