Membetulkan persepsi sejarah  yang tidak seimbang

 
 
NOTA : ARTIKEL BERIKUT IALAH PETIKAN DARI Ucaptama yang disampaikan oleh: Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP) di Limbaruh Hijau pada 22 Safar 1428/12 Mac 2007 sempena pelancaran seminar bertajuk 'Kearah Perpaduan Nasional: Harapan Dan Cabaran' 

"Apa bila melihat apa yang sudah kita capai hari ini sejak meletusnya peristiwa hitam tersebut, beta betul-betul berasa bangga dengan negara dan bangsa kita. Ianya merupakan satu testimoni yang menyerlah terhadap apa yang boleh kita capai bersama sekiranya kita tidak berpecah belah dan hormat menghormati dan sokong menyokong antara satu dengan yang lain", titah Baginda Sultan. (Petikan dari kata penghantar KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam buku bertajuk 'Remember, remember...The 8th of December' tulisan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.

Dalam konteks sosio-politik Negara, kita melihat gagasan untuk menghurai nilai-nilai sejarah yang seimbang kian mendesak sebagai salah satu elemen penting ke arah perpaduan nasional sejati.

Nilai-nilai sejarah yang positif hendaklah dikaji, di hurai dan digarap untuk tatapan dan dihayati oleh generasi sekarang dan yang akan datang sebagai elemen pengukuh nilai-nilai jati diri kebangsaan.

Dalam ucapan-ucapan kita sebelum ini, kita banyak mengambil contoh bagaimana kesepakatan antara istana dan rakyat boleh menjana kekuatan bangsa.

Sebaliknya penderhakaan, pengkhianatan dan salah guna kuasa dan pecah amanah boleh menghancurkan negara. Sejarah 500 tahun Kesultanan Brunei banyak mempamerkan peristiwa-peristiwa getir ini.

Sehubungan dengan pendekatan yang kita ketengahkan ini, izinkan kita mengambil contoh nilai persamaan pendekatan politik yang boleh disuburkan antara istana dan rakyat,  iaitu kes tuntutan penentuan nasib masa depan sendiri dan kemerdekaan Brunei yang diketengahkan oleh Parti Rakyat Brunei(PRB) di Badan Dunia pada tahun 1975.

Pada tahun 1975 PRB (dalam buangan) telah mendesak British selaku kuasa pentadbir di Brunei supaya memberikan rakyat Brunei hak untuk menentukan masa depan sendiri dan kemerdekaan (Self Determination and Independence) kepada Brunei.

Delegasi PRB diketuai oleh A.M. Azahari telah membentangkan kes tuntutan tersebut di sidang sub-komiti II dari Komiti 24 PBB yang kemudiannya telah meluluskan sebuah ketetapan seperti dalam dokumen no: A/AC 109/L 1009 yang menyebutkan:

Bahawa Jawatankuasa Khas, setelah meneliti suatu petisyen berhubung dengan suasana di Brunei, dan telah mendengar satu kenyataan penting dari A.M.Azahari, Presiden Partai Rakyat Brunei(PRB), yang dalam Pilihan Raya 1962 telah mendapat 98 peratus dari undi mereka yang keluar mengundi, menerima cadangan dari PRB supaya diadakan seberapa segera persidangan tiga penjuru antara Kuasa Pentadbir, Sultan Brunei dan PRB bagi tujuan menentukan satu tarikh bagi kemerdekaan Brunei dan bagi mengadakan pilihan raya yang bebas dan demokratik di bawah penyeliaan PBB, dan memutuskan, tertakluk kepada sebarang arahan yang mungkin dibuat oleh Perhimpunan Agung dalam hubungan yang berkaitan dalam sessinya yang ke 30 dan mengambil kira hasil-hasil rundingan antara Pengerusinya dan Kuasa Penadbir berkenaan, bagi membuat pertimbangan seterusnya mengenai persoalan ini dalam sidang akan datang dengan tujuan untuk melaksanakan resolusi 1514 (XXV).

Ketetapan tersebut telah diangkat ke Komiti Empat Perhimpunan Agung PBB dan kemudiannya meluluskan ketetapan tersebut pada 12 November 1975. Ketetapan tersebut telah dibawa lagi ke Perhimpunan Agung PBB pada 8 Disember 1975 dan diluluskan sebulat suara oleh Badan Dunia itu, di bawah dokumen no. 3424 (XXX). Resolusi 3424 itu diperakui semula oleh Badan Dunia itu tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 1975, 1976 dan 1977 (resolusi-resolusi no. 3424 (XXX), 31/56 (XXXI) dan 32/27 (XXXII).

Resolusi 3424 (XXX) berbunyi::

1.        Membaharui pengakuan hak yang tidak berbelah-bagi bagi rakyat Brunei untukmenentukan nasib mereka sendiri dan untuk kemerdekaan sesuai dengan Deklarasi bagi memberikan kemerdekaan kepada negeri-negeri dan rakyat yang terjajah yang terkandung dalam resolusi Perhimpunan Agong resolusi 1514 (XV);

2.         Meluluskan fasal dari laporan Panitia Khas mengenai hal keadaan yang melibatkan perlaksanaan Deklarasi bagi memberikan kemerdekaan kepada negeri-negeri dan rakyat yang terjajah yang bersangkutan dengan Brunei;

3.          Menyeru kepada Kuasa Pentadbir, selaras dengan tangung jawabnya selaku Kuasa Pentadbir, supaya mengambil segala langkah yang layak dilakukan untuk memudahkan supaya diadakan pilihanraya yang bebas dan demokratik oleh pihak yang berkenaan di Brunei dengan bermuafakat dengan Persyarikatan Bangsa-Bangsa Bersatu dan dibawah kelolaan Persyarikatan Bangsa-Bangsa Bersatu sesuai dengan hak yang tidak berbelah-bagi dari rakyat Brunei untuk menentukan nasibnya sendiri dan untuk merdeka, dan selanjutnya menyeru, sebelum diadakan pilihanraya itu, supaya dibatalkan larangan ke atas semua parti-parti politik dan supaya dibenarkan semua pejuang-pejuang politik yang berada dalam buangan diluar negeri pada masa ini untuk pulang ke Brunei supaya mereka dapat mengambil bahagian dalam pilihanraya itu dengan bebas dan dengan sepenuhnya;

4.         Menyeru Kuasa Pentadbir, sesuai dengan peruntukan-peruntukan dari keputusan-keputusan Perhimpunan Agong yang berkenaan memberikan kerjasama sepenuhnya Panitia Khas;

5.         Meminta Panitia Khas supaya terus mengkaji kedudukan wilayah tersebut dan melaporkan kepada Perhimpunan Agong di Sidangnya yang ketiga puluh satu.”Saudara-saaudari,Ini adalah gambaran perjuangan di pihak rakyat Brunei yang memberikan tekanan kepada kuasa pentadbir British melalui badan dunia tersebut.

Saudara-saaudari,

Ini adalah gambaran perjuangan di pihak rakyat Brunei yang memberikan tekanan kepada kuasa pentadbir British melalui badan dunia tersebut.

Dalam masa yang sama, dari dalam negeri  Kebawah DYMM juga menggunakan segala diplomasi Baginda untuk meyakinkan British bahawa Baginda juga mahukan kemerdekaan.

Hasil desakan kedua-dua pihak maka pada 7 Januari 1979 termeterilah  sebuah perjanjian yang ditandatangani oleh Lord Goronway Roberts, Setiausaha Luar British, bagi pihak Kerajaan British dan Ke bawah DYMM bagi menentukan tarikh kemerdekaan Brunei yang ditetapkan pada 1 Januari 1984.

KDYMM pada 15 Julai 1979 sempena hari Keputeraan Baginda antara lain bertitah “…kemerdekaan negeri Brunei itu bukan hanya dari segi nama atau sebutan  sahaja akan tetapi dengan izin Allah benar-benar merdeka yang tulen yang akan memberikan bukan sahaja kebanggaan dan kemegahan akan tetapi yang lebih -lebih mustahak lagi ialah kemerdekaan yang akan menjamin keselamatan dan    ketenteraman serta kemakmuran dan kebahagiaan yang berkekalan kepada negara, rakyat dan penduduk dan segala isi di dalamnya”.

Atas semangat kesatuan fikrah dan cita-cita antara Istana dan rakyat inilah, Manifesto Parti Pembangunan Bangsa (NDP) 2006 - 2016 di bawah tajuk Keselamatan Nasional menggarapkan bahawa Parti Pembangunan dengan penuh iltizam berusaha untuk antara lain:

Memelihara dan mempertahankan kemerdekaan negara agar menepati makna Negara Brunei Darussalam, iaitu wilayah yang selamat dan sejahtera;  

  • menjulang dan menghargai perjuangan membebaskan negara dari penjajahan sebagai perjuangan suci dan para pejuangnya diiktiraf sebagai Pahlawan Nasional untuk merangsang jati diri dan semangat patriotisme yang tulus; 
  • melakukan kajian dan pensejarahan alternatif perjuangan menentang penjajahan dan mempertahankan kemerdekaan Negara Brunei Darussalam dari sejak mula tertubuhnya negara, secara ikhlas dan jujur, agar ianya dijadikan pengajaran dan iktibar yang sahih untuk pedoman generasi sekarang dan akan datang, supaya timbul kesedaran betapa elemen-elemen negatif sepanjang sejarah boleh memudaratkan institusi Kesultanan Melayu Brunei, negara dan rakyatnya;  
  • memperkukuh suasana harmoni dan rukun antara Istana dan rakyat justeru kesepakatan kedua pihak adalah landasan kepada sistem pertahanan yang berkesan.

 

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.