Membentuk masyarakat peka titah

 
 
LIMBARUH HIJAU 20 OGOS 2007 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) melalui Biro Bertindak Menjunjung Titah (BBMT), telah mengadakan satu program jerayawara yang bertujuan untuk membentuk ahli-ahli yang peka dengan mesej-mesej yang terkandung dalam titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'zzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Jerayawara membentuk ahli-ahli peka titah tersebut telah diadakan pada 10hb Ogos baru-baru ini di Limbaruh Hijau, markas pusat NDP di Jerudong. Sasaran kelompok pertama BBMT ialah ahli-ahli Majlis Eksekutif Biro Non-Muslim termasuk Awang Bajau Bundan yang merupakan ahli Lembaga Penasihat NDP.

Disesi tersebut Pengerusi BBMT, Awang Halim bin Haji Jumat menegaskan antara matlamat program tersebut ialah untuk memastikan semua pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli NDP terutama diperingkat akar umbi dapat menghayati dengan baik bukan sahaja apa yang tersurat malahan yang tersirat dalam titah-titah Baginda Sultan.


Katanya titah-titah Baginda Sultan merupakan luahan harapan, kata-kata nasihat, teguran dan saranan Baginda Sultan kepada semua lapisan masyarakat dari peringkat golongan elit penggubal dasar, pentadbir, pelaksana hinggalah ke lapisan-lapisan berikutnya yang terdiri dari swasta, golongan NGO termasuk badan-badan siasah dan juga anggota masyarakat akar umbi.


Dari itu, tambahnya adalah menjadi satu kerugian kepada semua jika titah-titah Baginda Sultan tersebut tidak disambut dan dihayati apatah lagi bagi ahli-ahli NDP yang berpeggang kepada motto 'Menjunjung Titah Membangun Bangsa'.

Atas kesedaran inilah NDP melihat perlunya mengambil langkah-langkah berpatutan dengan menyediakan satu program dimana pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli NDP diberikan kesempatan untuk sama-sama mengupas dan membincangkan titah-titah Baginda Sultan.

Mudah-mudahan melalui program jerayawara ini pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli NDP akan dapat memahami dan menghargai dengan lebih mendalam lagi segala mesej yang tersurat dan tersirat dalam titah-titah Baginda Sultan dan dapat menterjemahkannya dalam bentuk tindakan kerja biro masing-masing.

Jika ini dapat kita capai insya Allah kita sudah boleh dilihat sebagai berjaya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab selaku ahli-ahli NDP yang sudah bertekad untuk terus menjunjung titah membangun bangsa, ujar Awang Halim.

Saranan beliau itu disokong oleh sdra Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden NDP yang telah dijemput untuk hadir selaku pemerhati di sesi tersebut.

Menurut sdra Morshidi titah-titah Baginda Sultan adalah merupakan dasar-dasar negara selain dari dasar-dasar yang di gubal oleh undang-undang melalui Parlimen.

Malangnya, menurut sdra Morshidi kadang-kadang terdapat dalam kalangan masyarakat yang tidak ambil serious dengan mesej-mesej yang disampaikan oleh Baginda Sultan tersebut umpama 'mencurahkan air didaun keladi'.

Dikesempatan itu Timbalan Presiden menyarankan kepada Ahli Non-Muslim supaya menyuarakan apa saja masalah yang menjangkau atau mengamit hati nurani mereka untuk disuarakan berdasarkan yang terdapat dalam Titah KDYMM.

Beliau memberi contoh bahawa Baginda Sultan melalui beberapa titah-titah sering meluahkan kerisauan mengenai survival bangsa dan kesejahteraan rakyat serta pemberian perkhidmatan awam tanpa adanya diskriminasi. 

Menyentuh mengenai survival bangsa dan kesejahteraan rakyat contohnya, sdra Morshidi menekankan kaum etnik di Negara Brunei Darussalam yang menjagkau lebih kurang 40,000 orang juga perlu memainkan peranan membantu Baginda Sultan menghadapi dua cabaran besar ini .

NDP katanya akan terus membantu kaum etnik untuk dapat sama-sama ikut serta dalam arus perdana pembangunan bangsa dan negara.

Katanya lagi usaha memajukan kaum-kaum etnik yang bukan beragama Islam bukanlah menjadi satu kerugian atau satu masalah besar kerana  mereka ini juga boleh menyokong meningkatkan ekonomi Negara

Menurut Timbalan Presiden, amat rugilah kaum-kaum ini jika tidak menyahut seruan KDYMM dalam bekerjasama memajukan ekonomi Negara. 

Beliau menyeru agar kaum-kaum etnik ini mengambil peluang bukan sahaja untuk suku kaum sendiri tetapi untuk anak-anak bangsa akan datang. 



 

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.