Bertindak sebagai agen perubahan tuntutan Islam

 
 

11 OGOS 2007 - KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADIN WADDAULLAH, Sultan dan Yang Di pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah melahirkan kerisauan Baginda tentang perbuatan amal kebajikan dan maksiat yang bercampur aduk dilakukan oleh pelbagai peringkat umur.

Baginda bertitah ini bukan sahaja merisaukan dari segi akhirat malah juga dari sudut keduniaan.

Justeru Baginda menyeru agar kita semua tidak duduk diam membiarkan perkara yang mengundang kemurkaan Allah ini berterusan akan tetapi bertindak segera untuk membawa perubahan dari yang tidak baik kepada yang baik dan lebih baik.

Baginda bertitah demikian pagi tadi dimajlis sambutan Israk Mikraj peringkat kebangsaan.

Baginda bertitah menjelaskan semasa mikraj, Nabi Muhammad S.A.W telah diperlihatkan bermacam-macam bentuk balasan baik bagi mereka yang ta'at kepada Allah dan balasan buruk bagi mereka yang melanggar perintahNYa.

Ini, titah Baginda jelas segala amal kebajikkan dan perbuatan derhaka itu telahpun disediakan oleh Allah akan balasan-balasan nya.

"Pada zaman kita ini amal kebajikkan dan maksiat itu bercampur aduk. Dia dilakukan tanpa mengira peringkat umur, sama ada tua atau muda dan juga kanak-kanak belasan tahun"

"Ini amatlah merisaukan bukan sahaja dari segi akhirat malahan juga dari sudut keduniaan. Sesungguhnya sunah atau hukum Allah itu tidaklah mungkin dipinda-pinda. Bagi sesiapa yang melakukan ma'aruf pasti dibalasNya dengan kebajikkan sementara yang melakukan mungkar akan menerima azabnya."

"Perkara ini terimbas didalam kitab suci Al-Quran. Bukankah semua yang terdapat didalamnya merupakan manifestatsi bahawa umat yang derhaka itu tidak akan dibiarkan begitu sahaja melainkan akan menerima juga balasan nya cuma segera atau lambatnya balasan itu tidak siapa akan dapat mengetahuinya", titah Baginda.

Menurut Baginda ini turut dijelaskan dalam surah Al-Anfal ayat 25 tafsirnya: 'Dan jagalah diri kamu daripada dosa yang boleh membawa pada bala bencana yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim iaitu yang melakukan dosa diantara kamu secara khusus malahan juga secara umumnya dan ketahuilah bahawa Allah itu maha berat aqzabNya.

Ketika bertitah Baginda Sultan seterusnya mengingatkan umat Islam bahawa bedasarkan janji Allah, mereka patutlah cemas dengan senario yang ada dimana gejala sosial atau masalah ahlak menjadi satu cabaran yang sengit.

Baginda bertitah umat Islam tidaklah boleh setakat menjadi penonton nya tetapi perlu bersikap sebagai pembawa perubahannya. Keadaan baik akan dikekalkan sementara yang disebaliknya mesti dibaiki dan diubah, tambah Baginda.

"Itulah namanya masyarakat membawa perubahan. Perubahan kepada yang baik dan lebih baik adalah sangat digalakkan oleh Islam. Oleh itu kita semua dituntut menjadi agen perubahan"

"Dengan kata lain Allah SWT amatlah menyukai hamba-hambaNya yang mahu berubah kerana itu dengan kemurahanNya jua Dia telah menyediakan satu konsep luhur lagi mulia iaitu konsep taubat. Taubat adalah landasan untuk seseorang mengubah nasib dan dirinya sekalipun seburuk mana keadaan orang itu.

Jadi marilah kita sama-sama mendokong konsep perubahan ini. Kita cari jalan yang berubah dari yang tidak atau kurang baik kepada yang baik dan lebih baik. Dalam perkara ukhrawi kita dituntut berubah dengan meninggalkan segala macam perkara munkar yang ditegah oleh Allah dan RasulNya sementara dalam perkara duniawi kita dikehendaki berubah untuk mencapai apa-apa yang terbaik dalam kehidupan.

"Beta berharap kita semua tidak lalai dari melihat pendekatan ini ambillah tauladan dari peristiwa-peristiwa yang terakam dalam Al-Quran dan juga dari peristiwa Israk dan Mekraj yang penuh iktibar dan pengajaran itu.

Semoga kita menjadi masyarakat yang terbaik yang diredhai oleh Allah. Amin

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.