Melayu miskin politik

 
 

Oleh MOHD. ARIF ATAN (UTUSAN ONLINE)

BANGSA Melayu mencatatkan sehingga 90 peratus daripada 1.5 juta rakyat Malaysia yang enggan mendaftar sebagai pengundi. Dakwaan bahawa orang Melayu ‘terperangkap dalam zon selesa’ merupakan penyebab wujudnya keadaan tersebut bukanlah satu punca mutlak.

Banyak faktor lain yang menyumbang kepada ketidakpedulian masyarakat Melayu terhadap politik bangsanya mutakhir ini. Malah, dalam beberapa keadaan, hujah berasa selamat dalam zon selesa itu lebih kepada akibat bukannya punca sebenar.

Tidakkah kita terfikir bahawa pendidikan politik sebagai salah satu ejen sosialisasi politik belum cukup kuat meresap dalam generasi muda Melayu kini?
Penekanan sistem pendidikan kini yang semakin cenderung ke arah kemahiran vokasional demi memenuhi keperluan industri menyebabkan pendidikan politik formal kurang mendapat perhatian.
Namun, untuk meletakkan kekurangan pendedahan pendidikan politik formal juga mungkin tidak tepat. Ini memandangkan generasi muda Cina tetap memiliki kesedaran politik tinggi yang dibuktikan melalui statistik pendaftaran pengundi.

Oleh itu, sistem kekeluargaan masyarakat Melayu kini perlu ditinjau. Sejauh mana institusi ini telah memberi sumbangan dalam memberikan pendidikan politik informal kepada anak masing-masing?

Nampaknya, sikap tidak peduli generasi muda Melayu dalam hal yang menyentuh kepentingan masa depan politik bangsanya turut berkait rapat dengan kurangnya ‘asuhan’ atau sosialisasi politik dalam sebahagian besar keluarga Melayu pasca-merdeka.

‘Miskinnya’ kesedaran politik golongan muda Melayu turut berpunca daripada kurangnya pendedahan kepada unsur-unsur politik semasa mereka masih peringkat kanak-kanak dan remaja lagi.

Tidak ramai ibu bapa Melayu menjadikan aktiviti menonton berita di televisyen dan membaca akhbar sebagai rutin harian dalam memupuk kesedaran ahli keluarga masing-masing terhadap isu- isu semasa yang tentunya sedikit sebanyak berkait rapat dengan politik.

Akhirnya, mereka yang kontang kesedaran politik inilah kemudiannya menjadi golongan remaja dan belia yang bermasalah akibat kurangnya kesedaran tanggungjawab sebagai seorang warganegara yang gagal digilap oleh ibu bapa semasa mereka di peringkat kanak-kanak lagi.

Oleh itu, bagaimana kita mahu mengharapkan golongan muda Melayu ini memiliki kesedaran politik jika kesedaran untuk menjadi insan yang bermoral dan berakhlak pun tidak mereka miliki?

Dengan segala ‘kesibukan’ pada aktiviti-aktiviti dalam kelompok yang sealiran dengan mereka mana mungkin mereka ini terpanggil untuk mendaftar sebagai pemilih!

Gagalnya pendidikan politik informal yang patut dimainkan oleh institusi kekeluargaan juga turut terkesan dalam golongan muda Melayu profesional kini.

Tidak menghairankan juga, sebahagian besar mahasiswa Melayu kini semakin luntur idealisme dan malas untuk berfikir kritis bagi menjadi suara masyarakatnya seperti yang pernah berlaku dalam era 60-an dan 70-an dahulu.

Tidak sedikit jumlahnya, pelajar di universiti tempatan kini yang telah mencapai usia 21 tahun ke atas tetapi masih juga belum mendaftar sebagai pengundi!


Sebahagian generasi muda Melayu yang telah menceburi dunia pekerjaan pula lebih mengutamakan kepentingan diri daripada berfikir untuk memberi sumbangan kepada bangsanya.

Bagi kelompok jenis ini apa yang difikirkan hanyalah mengumpul kekayaan. Tanggungjawab dan kepentingan mengundi tidak difahami sebaliknya menganggap sebagai satu aktiviti membuang masa yang tidak membantu mencapai kehendak peribadinya itu.

Lihat laporan awal
Melayu abai hak memilih

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.