Masalah akhlak semakin membimbangkan

 
 
 

LIMBARUH HIJAU 25 OGOS 2007 - Laporan terkini berhubung masalah akhlak di negara sangat membimbangkan dan mengambarkan perlunya penilaian semula usaha membina masyarakat yang berakhlak dan bertamadun dalam kita mengejar kemajuan duniawi untuk survival bangsa dan negara di era globalisasi yang penuh bergelora ini.

Menurut laporan terkini tiga kes yang tidak pernah dicatatkan di bawah siasatan penderaan wanita dan kanak-kanak sejak tahun 2000 tiba-tiba muncul tahun lalu.

Menurut statistik Pasukan Polis Diraja Brunei daripada ketiga-tiga kes itu, yang paling tinggi ialah kes mendera bekas isteri yang tidak berlaku sejak 2000 tiba-tiba berlaku enam kes tahun lalu, manakala kes kedua yang juga pertama kali dicatat ialah penderaan keluarga.

Satu lagi yang pertama kali dicatat sejak tahun 2000 ialah penderaan bekas suami yang dicatat sebanyak dua kes.

Unit Siasatan Penderaan Kanak-kanak dan Wanita Pasukan Polis Diraja Brunei juga mendedahkan jumlah bilangan jenayah yang dilaporkan di negara ini membabitkan kanak-kanak dan wanita terus meningkat dari setahun ke setahun.

Sejumlah 1,453 kes direkodkan bermula 2000 hingga 2006 antara lain membabitkan jenayah mendera, pengabaian, penganiayaan, sumbang muhrim, rogol serta menyebabkan kematian kepada kanak-kanak dan wanita.

Tahun 2006 menyaksikan jumlah kes tertinggi pernah direkodkan unit berkenaan iaitu sebanyak 307 kes berbanding tiga tahun sebelumnya pada 2003 sebanyak 206 kes, 2004 sebanyak 245 kes dan 2005 sebanyak 283 kes.

Kes jenayah paling tinggi dicatatkan pada 2006 iaitu penderaan terhadap isteri sebanyak 138 kes selain itu 2006 juga menyaksikan kemunculan dua kes jenayah baru yang sebelum ini tidak pernah direkodkan iaitu jenayah penderaan bekas isteri sebanyak enam kes dan jenayah penderaan terhadap bekas suami sebanyak 2 kes.

Sementara itu beberapa kes jenayah lain pada 2006 juga masih berada pada tahap yang membimbangkan seperti jenayah sumbang mahram yang mencatatkan 10 kes, penderaan pembantu rumah mencatatkan 21 kes, penderaan kanak-kanak 24 kes, rogol mencatatkan 26 kes, pencabulan kehormatan mencatatkan 29 kes dan kes gadis liar mencatatkan 35 kes.

Jelas dari laporan tersebut masalah sosial di negara ini semakin membimbangkan dan mengambarkan perlunya kita semua berasa insaf dan berfikir dimana salah dan silapnya hingga perkara yang mendukacitakan ini terjadi ditengah-tengah kita mengejar kemajuan di era globalisasi ini.

Dalam masa kita mencari jawapan dan penyelesaiannya kita tidaklah wajar menunding jari dan menyalahkan mana-mana pihak atas segala yang berlaku kerana kita sebagai rakyat dan penduduk juga punya saham dalam masalah sosial yang berlaku.

Selaku individu apakah kita sudah cukup menyumbang dalam mengurangkan masalah akhlak ini dengan berusaha memperbaiki akhlak kita sendiri dan seperti yang dituntut oleh Islam selemah-lemah iman ialah dengan membenci perbuatan keji dan mungkar.

Selaku kepala keluarga apakah kita sudah cukup menyumbang dengan berusaha memberikan pimpinan yang baik kepada keluarga kita dan berusaha kearah membina keluarga yang bahagia dan berakhlak?

Begitu juga dengan guru-guru, ketua-ketua masyarakat, pegawai-pegawai kerajaan dan swasta dan seterusnya, termasuk kita selaku anggota pertubuhan siasah, semua punya peranan masing-masing dalam membina masyarakat yang berakhlak dan bertamadun, lantas persoalannya sekarang apakah kita semua sudah memainkan peranan masing-masing dengan baik?

Seperti yang pernah disarankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kita semua perlu menjadi agen perubahan dalam keadaan umat Islam sekarang dibayangi dengan masalah akhlak yang semakin meruncing.

Sehubungan dengan seruan tersebut Parti Pembangunan Bangsa (NDP) juga melihat perlu kita nilai semula keberkesanan kita menanamkan konsep Melayu, Islam, Beraja (MIB) yang menjadi krangka kehidupan kita bernegara dan berbangsa dalam jiwa masyarakat kita.

Kita perlu menilai semual apakah konsep MIB sudah berjaya dijadikan sebagai benteng pertahanan keutuhan bangsa dan negara kita?

Kita perlu menilali semula apakah roh MIB telah berjaya kita tanamkan dalam jiwa anak-anak dan belia-belia kita hingga ia menjadi satu kekuatan kepada mereka untuk menangkis segala pengaruh-pengaruh negatif yang boleh membawa mereka hanyut dan hilang ditelan oleh arus kemaksiatan.

Kita perlu menilai semula aapkah kita sudah berjaya menjadikan MIB sebagai agen perubahan minda, sikap, budaya bekerja, penguasaan ilmu dan pendidikan, dan pelindung akhlak bagi melahirkan cara hidup baru untuk masyarakat Negara Brunei Darussalam yang merdeka.

Berjayakah sudah konsep MIB kita memberikan pendekatan yang berkesan untuk mewujudkan sistem keadilan sosial yang bersendikan keadilan Islam yang luas dan menyeluruh serta berjaya merencana dan melaksanakan program pembangunan insan bagi melahirkan rakyat yang berkualiti.

Apa yang kita harapkan agar pendekatan konsep MIB dapat dimantapkan lagi dan menjadi satu konsep yang dinamik sehingga ianya boleh menjadi garis pandu yang berkesan dalam merangka strategi mencegah mungkar bagi memastikan semua pelan amal kebajikan dapat menjamin suasana dan keselesaan hidup dan beragama di Negara Brunei Darussalam mengikut konsep dan maksud ‘Darussalam’ sebagai  wilayah yang  selamat dan sejahtera.

Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yakin dengan memantapkan lagi konsep MIB ini, khususnya dalam aspek pendekatan untuk menanamkan semangat dan roh konsep tersebut dalam jiwa masyarakat kita ianya akan berjaya membawa banyak perubahan kepada yang lebih baik seperti saranan Bagnda Sultan.

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.