15 JUN 2007 - MAJLIS ISTIADAT MENUTUP GENDANG JAGA-JAGA berlangsung di Istana Nurul Iman dan Darul Karamah kemarin menandakan berakhirnya istiadat perkahwinan diraja antara YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bulqiah dan YAM Pengiran Anak Khairul Khalil.
|
Majlis istiadat membuka Gendang Jaga-Jaga telah berlangsung di Lapau 2 minggu lepas untuk menandakan bermulanya istiadat perkahwinan diraja selama 14 hari. Dalam masa 14 hari yang lalu, rakyat dan penduduk termasuk pelancung-pelancung telah berkesempatan menyaksikan keunggulan adat istiadat diraja dengan berlangsungnya `Istiadat Menghantar Tanda Diraja', Istiadat Menghantar Pertunangan Diraja', `Istiadat Akad Nikah', Istiadat Berbedak', 'Istiadat Berinai', Istiadat Persandingan Diraja' dan diakhiri dengan Istiadat Muleh Tiga Hari'.
|
Semua istiadat ini disiarkan secara langsung oleh RTB untuk memberikan peluang kepada rakyat dan penduduk terutama sekali generasi muda menyaksikan khazanah kekayaan adat istiadat dan budaya Brunei.
Sehubungan dengan itu, Ayahnda Yasin Affandy, Presiden NDP menjunjung kasih kehadapan majlis KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta keluarga Baginda atas kesudian menjemput beliau ke semua majlis perkahwinan diraja tersebut.
Beliau juga meluahkan rasa dukacita beliau kerana tidak dapat menghadirkan diri ke beberapa majlis yang berlangsung oleh kerana masalah kesihatan dan menjunjung kasih memohon maaf kehadapan majlis KDYMM Baginda Sultan atas keadaan tersebut.