SISTEM PENDIDIKAN PERLU SENTIASA RELEVAN
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
ALHAMDULILLAHI Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana mengizinkan kita meraikan sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam kali ke-17 pada pagi ini.
Walaupun tarikh sebenar sambutan Hari Guru ialah pada 23 September, namun belumlah terlambat rasanya untuk beta mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua yang berkenaan.
Hari Guru adalah salah satu 'Hari Negara' yang kita raikan pada setiap tahun. Ia membawa erti tersendiri kepada kebangkitan bangsa. Tidak akan ada kebangkitan itu tanpa guru. Gurulah pencetus mutlak semua kebangkitan.
Dengan guru, pendidikan terus berkembang. Tanpa pendidikan, tidak akan ada apa-apa yang boleh dipanggil kemajuan dan perkembangan.
Begitulah hebatnya guru. Guru adalah 'bapa dan ibu didik' kepada bangsa. Gurulah acuan yang berkesan. Kerana itu guru, tidak mungkin dapat berpisah dari pendidikan.
Berasaskan inilah beta pernah menyebut mengenai pentingnya mengadakan satu Skim Perkhidmatan Perguruan untuk memastikan yang para guru berkaliber akan terus kekal bertugas di sekolah. Dengan skim ini juga akan memberikan ruang bagi guru-guru mencapai tahap gaji yang lebih tinggi, sejajar dengan sumbangan mereka yang besar itu.
Beta berharap, supaya Skim Perkhidmatan ini akan segera direalisasikan.
Apa pun jua yang berbangkit mengenai 'pembaikan', adalah ia berkait rapat dengan Sistem Pendidikan.
Kita perlu mempunyai sisitem pendidikan yang sentiasa relevan dengan tuntutan zaman. Kita tidak mahu tercicir di belakang sambil kebekuan membelenggu kita.
Kerana itu beta amat gembira bilamana Kementerian Pendidikan sedang mengemaskinikan Sistem Pendidikan Negara, yang dikenali sebagai Sistem Pendidikan Negara Abad 21 atau SPN 21. Langkah ini wajar, demi menyedari, bahawa arus proses globalisasi tidak akan menunggu sesiapa pun.
Sistem Pendidikan tidak hanya untuk melahirkan insan terpelajar, tetapi juga lebih penting, mesti mampu menjadi acuan menghasilkan generasi pemikir.
Terpelajar sahaja belumlah jadi jaminan apa-apa. Tetapi terpelajar yang pemikir, itulah pencorak masa depan negara yang ditunggu-tunggu.
Beta sungguh mengingini sistem yang berjaya melahirkan tenaga-tenaga pemikir, demi keyakinan, jika kita ketandusan mereka itu, maka negara akan mengalami kelemahan-kelemahan yang ketara di semua sudut.
Oleh itu, sampailah masanya kita memiliki 'tapak semaian' berupa Sistem Pendidikan: Menghasilkan Generasi Terpelajar Lagi Pemikir, selaku wawasan kita mengharungi abad ke 21 ini.
Akhirnya, beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada penerima-penerima anugerah Hari Guru pada tahun ini.
Sekian Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wasallamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.