KENYATAAN RASMI NDP BERHUBUNG ISU PENYEBARAN BERITA ANGIN

MT NDP sokong langkah benteras gejala sebaran khabar angin

 
 
LIMBARUH HIJAU 04 NOVEMBER 2007 - MESYUARAT MAJLIS TERTINGGI Parti Pembangunan Bangsa (NDP) kali ke 15 yang bersidang kelmarin 03 November 2007 bersamaan 22 Syawal 1428 di Limbaruh Hijau, Markas Pusat NDP di Jalan Jerudong, Bandar Seri Begawan berikrar bahawa NDP akan terus memberikan sokongan dan dokongan parti terhadap langkah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) dalam menangani isu-isu penyebaran khabar angin yang boleh menjejaskan ketenteraman dan keharmonian awam.

NDP, menurut Presiden parti, Yasin Affandy akan terus berusaha membantu JKDN untuk menangani isu ini. Majlis Tertinggi turut mengingatkan seluru ahli-ahli dan kepimpinan parti agar mengelakkan diri dari terlibat dalam penyebaran sebarang khabar angin yang berupa fitnah yang boleh menjejaskan maruah dan martabat orang-orang yang menjadi sasaran khabar angin dan fitnah tersebut.

NDP juga berseru kepada orang ramai supaya sentiasa memelihara ketenteraman dan keharmonian yang sedia wujud di negara ini degan tidak menjadi ejen penyebaran dan pembawa berita angin dan spekulasi liar yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

NDP tetap komited dalam sama-sama memelihara ketenteraman awam dari sebarang cubaan untuk menggangu gugat keamanan, ketenteraman dan keharmonian tersebut melalui sebarang tindakan tidak bertanggung jawab dengan penyebarluasan khabar angin dan fitnah yang tidak berasas.

Walau bagai mana pun, dalam konteks ini , Majlis Tertinggi NDP berpendapat masih ada cara lain yang lebih berkesan untuk mematikan khabar-khabar angin selain dari mengunakan kaedah yang menakutkan dan menimbulkan keresahan pablik sehingga menimbulkan kesan sampingan yang boleh memburukkan lagi persepsi liar awam.

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.