KUALA LUMPUR: Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang mengadakan rundingan semalam, mencapai kejayaan penting apabila kedua-dua pihak mempersetujui kawasan persempadanan tanah dan maritim berkaitan wilayah warisan.
Ketua pemudahcara rundingan damai yang juga penasihat Perdana Menteri, Datuk Othman Razak, berkata rundingan dua hari itu yang berjaya mengatasi semua halangan berkaitan isu ke arah proses keamanan, diharap akan membawa kepada perjanjian yang bermakna pada Ogos tahun depan.
"Persempadanan wilayah sudah dipersetujui".
"Kejayaan rundingan ini membuka laluan bagi merangka draf memorandum perjanjian wilayah warisan yang akan dibentangkan pada pertemuan rasmi dijadual awal 2008," katanya pada sidang media pada hari terakhir rundingan ke-14 perundingan keamanan antara panel kerajaan Filipina dan panel MILF di sini.
Turut hadir ketua panel perunding kerajaan Filipina, Rodolfo Garcia dan Ketua Panel Perunding MILF, Mohagder Iqbal.
Rundingan damai antara kedua-dua pihak terhenti kira-kira 14 bulan sejak September tahun lalu apabila kerajaan Filipina dan MILF gagal mencapai persetujuan berhubung isu berkaitan wilayah warisan, yang merujuk kepada tuntutan MILF bagi mendapatkan wilayah untuk dijadikan tanah air umat Islam.
Othman berkata, satu lagi rundingan keamanan dijadual Disember ini akan meneliti draf memorandum wilayah warisan itu yang masing-masing akan dikemukakan oleh kerajaan Filipina dan MILF.
"Jika rundingan Disember ini mencapai persetujuan mengenai draf wilayah warisan yang membabitkan kawasan persempadanan wilayah, ia akan dibentangkan pada perbincangan damai formal pada Januari depan, sebelum pertemuan rasmi 2008," katanya.
Katanya, Malaysia berharap keamanan akan wujud di Mindanao kerana keamanan amat bermakna bukan saja untuk Filipina tetapi juga Asean.
(DIPETIK DARI BERITA HARIAN)