BANDAR SERI BEGAWAN 26JUN 2007- Kemerdekaan yang sama-sama kita nikmati ini tidak dicapai melalui dulang emas dan permaidani merah.
Ini ditekankn oleh Presiden NDP, Ayayhnda Yasin Affandy dalam ucapan dasar beliau diperasmian Kongres Agong NDP ke-2 pada Sabtu kemarin.
Jelasnya kemerdekaan telah dicapai hasil dari perjuangan gigih para pahlawan bangsa yang sambung bersambung dari dahulu lagi mahupun dari Istana atau dari kalangan rakyat biasa.
"Justeru tiada laluan yang senang selagi ia bergelar perjuangan dan tiada yang indah selagi ia belum melepasi ujian Allah", tambahnya. |
|
Tegasnya lagi cita-cita perjuangan yang terpahat dalam sanubari pejuang-pejuang kemerdekaan yang tulen ialah mahu membebaskan seluruh wilayah Brunei yang terjajah.
"Biarlah ada di bumi ini, secebis tanah yang menjadi wadah sebuah negara Melayu Islam Beraja bernama Negara Brunei Darussalam".
"Sebagai orang Islam, penjajahan dalam apa jua bentuk dan rupanya hendaklah kita anggap sebagai satu kejahatan. Al Quraan dengan jelas telah memberikan peringatan kepada manusia,
“Sesungguhnya, penjajah itu apabila memasuki sesuatu negeri, nescaya mereka membinasakannya dan menjadikan penduduknya yang mulia itu menjadi hina dan demikian pulalah yang akan mereka perbuat….. “ (Surah An Naml ayat 34)", ujar AyahndaYasin Affandy dalam ucapan dasar beliau yang dibacakan oleh sdr. Mahmud Morshidi Ohman, Timbalan Presiden NDP.
PENJAJAHAN BENTUK BARU SEDANG MENGGILA - JADIKAN PERPADUAN NASIONAL SEBAGAI BENTENG |
Menyentuh mengenai penjajahan, Presiden NDP melihat sekarang terdapat pelbagai bentuk penjajahan baru sedang menggila.
"Kita boleh saksikan sendiri bagaimana kesan asakan globalisasi itu membawa bersamanya berbagai bentuk pemikiran dan tindakan yang jelik".
"Dengan sokongan teknologi dan dasar perluasan pengaruh oleh kuasa-kuasa besar, dunia terutama dunia Islam berada dalam kegawatan dan setengahnya berada diambang kehancuran".
"Justeru, kesetiaan dan perpaduan nasional yang kukuh perlu kita usahakan bersama-sama Kerajaan Kebawah DYMM.
Kesetiaan dan perpaduan ini perlu kita pupuk sebelum gelombang yang sedang
|
|
melanda rantau-rantau yang lain itu merebak ke rantau sebelah sini", seru Presiden NDP.
BEBASKAN MINDA KITA DARI DIJAJAH |
Suasana dunia yang sangat kompetitif dan mencabar sekarang telah melahirkan satu tuntutan baru iaitu tuntutan supaya rakyat Brunei mengubah sikap dan cara berfikir agar tidak terus ketinggalan jauh dibelakang oleh bangsa-bangsa yang telah lebih jauh maju kehadapan.
Mesej ini ditekankan oleh Preisden NDP dalam ucapan dasar beliau dalam mana beliau juga mengajak seluruh anggota NDP mengambil teladan dari keperibadian KDYMM Paduka Seri Bagida Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzadin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Ulil Amri yang berjiwa besar dan berpegang kepada kebenaran.
 |
"Gambaran keperibadian Baginda ini dapat kita tatap pada titah sempena ulang tahun terbaru Hari Kebangsaan yang ke 23 baru lalu.
Baginda mengingatkan seluruh rakyat bahawa cabaran yang paling mencabar ialah kesediaan kita mengakui kelemahan yang ada di samping tidak pula lambat untuk membuat pembaikan-pembaikan". |
Titah sedemikian adalah satu cetusan yang berani dan hanya terbit dari pemimpin yang berjiwa besar.
Dalam sirah Islam, Saidina Umar Al-Khatab adalah terkenal dengan sifat yang berani dan garang. Tetapi kesediaan beliau menerima kelemahan dirinya sebagai pimimpin tentunya adalah jauh lebih berani", tegas Presiden NDP lagi.
Tambahnya kini telah 23 tahun kita menghirup udara kebebasan dan kemerdekaan. Kebebasan dan kemerdekaan dalam suasana dunia yang amat mencabar.
Keadaan ini setentunya pula melahirkan satu tuntutan yang baru, iaitu tuntutan supaya kita membebaskan minda kita dari dijajah dan mengangkat “mental block” dari benak kepala kita, kata Presiden NDP lagi.
"Bertolak dari situ kita mestilah menyusun gerak kerja dengan penuh tekad dan keazaman untuk mengisi dan mempertahankan kemerdekaan dan keutuhan wilayah kita sesuai dengan semangat dan falsafah yang tersirat disebalik bangunan parlimen negara kita yang indah itu", ujar Presiden NDP.
Beliau menambah sesungguhnya titah Baginda Kebawah DYMM pada 4 Disember 2004 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri hendaknya menjadi inspirasi dan azimat kepada kita semua.
"Izinkan saya memetik sebahagian daripada titah tersebut: ‘…..Beta berharap supaya para “Achievers” akan dapat bersama-sama dengan kita semua menggembeleng tenaga dan usaha bagi menjelmakan sebuah negara Brunei yang benar-benar makmur lagi bahagia di bawah reda Allah, yang dalam bahasa Qurannya disebut sebagai Baldatun Thaiyibatun Wa Rabbun Ghafuur. Inilah fokus yang terafdal. Jika ini mampu kita capai, maka kitalah bangsa yang paling mulia di dunia….’ |
|
Katanya lagi kita sebenarnya kesuntukan masa dan berada dalam ‘injury time’.
"Rata-rata masyarakat antarabangsa sudah berada jauh di hadapan kita dan kita jauh tercicir ke belakang. Mampukah kita dalam tempoh ‘injury time’ yang singkat itu merapatkan keciciran atau menjadi bangsa yang berputus asa dan berserah kepada takdir?"
"Justeru semua pihak khususnya jentera pemerintahan perlulah menjana pembaharuan yang berterusan demi menggandakan perubahan", tegas Presiden NDP.
USAHA SAMA DALAM MEMPERKUAT PERPADUAN NASIONAL |
Pada pandangan kita, usaha memperkasa perpaduan nasional adalah antara agenda dan program yang menagih kepada penggemblengan bersama oleh kerajaan KDYMM serta rakyat semua lapisan, jelas Ayahnda Yasin Affandy.
Katanya sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab, NDP akan terus memberikan sepenuh sokongan dan kerjasama kepada Kerajaan Kebawah DYMM.
"Sebagai langkah awal, NDP telah menganjurkan satu seminar Kearah Perpaduan Nasional: Cabaran dan Harapan dengan memfokuskan perbincangan mengenai nasib masa depan kumpulan-kumpulan etnik di Negara kita".
"Beberapa persoalan yang selama ini seolah-olah tersimpul mati telah berjaya dirungkai. Kita bersedia untuk berkongsi dapatan seminar tersebut dengan semua pihak yang berminat dan berkenaan", tegas Presiden NDP.
NDP tidak memasang angan-angan untuk menjadi kerajaan menunggu |
"Seperti yang sering kita ungkapkan dan hari ini saya ulangi sekali lagi ungkapan keramat tersebut. Bahawa NDP adalah pertubuhan politik yang berdakwah dan ianya juga adalah badan dakwah yang berpolitik", kata Presiden NDP.
"Sebagai badan politik NDP tidak memasang angan-angan untuk menjadi kerajaan menunggu. Malah tidak terselit cita-cita untuk membentuk kerajaan dan mengambil alih pemerintahan", tambahnya lagi.
Katanya lagi NDP tidak bercadang untuk menuntut supaya diadakan pilihan raya bagi menentukan kerajaan.
"Ini kita serahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Kebawah DYMM dan kerajaan Kebawah Baginda. Justeru itu NDP tidak mengeluarkan sebarang Manifesto Pilihan Raya. Apa yang kita kemukakan kepada masyarakat Brunei Darussalam ialah Manifesto Politik", jelas Ayahnda Yasin Affandy.
Menurut beliau lagi sebenarnya yang kita hajati ialah satu wawasan politik dan cara hidup yang sihat dan berketrampilan di bumi Brunei yang bertuah ini.
 |
"Minat kita ialah untuk memberikan khidmat dan sumbangan ke arah mewujudkan iklim berpolitik yang sihat, rancak, bebas dan demokratik di Negara Brunei Darussalam", ujar Presiden NDP. Saudara saudari sekalian diharap akan dapat meneliti dan menghayati manifesto Parti Pembangunan Bangsa 2006 - 2016 yang mengandungi 20 tajuk besar terdiri dari agama, proses pembangunan dan pembaharuan politik, pembangunan ekonom, kewangan dan pelaburan, pembangunan sektor awam dan swasta, keselamatan nasional, pendidikan, |
sains dan teknologi, dasar luar, bahasa dan budaya, pendemokrasian keadilan, pembangunan dan keadilan sosial, kesihatan, kebajikan, pembangunan sumberdaya manusai, pembangunan bandar, non-muslim, belia dan sukan, wanita dan alam sekitar".
Namun jika ditakdirkan pilihan raya diadakan, tambah Presiden NDP, insyallah kita akan menyertainya bagi tujuan menghidupkan semangat syura seperti yang dihasratkan oleh KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan negara Brunei Darussalam.
"Ini adalah satu proses dan kegiatan politik yang sah dan sihat. Tetapi ianya bukan suatu yang kita tuntut dan bukan matlamat akhir perjuangan kita".
 |
"Matlamat kita adalah untuk menjadi suatu tenaga massa yang kuat yang mampu memberi khidmat dan sumbangan kepada Islam dan negara, kepada Kebawah DYMM dan zuriat-zuriat Baginda dan kepada seluruh rakyat".
"Sehubungan itu Manifesto Politik NDP menekankan akan peri pentingnya mewujudkan keharmonian dan kestabilan politik berteras tuntutan semasa. Ianya |
mesti mengarah kepada ketelusan, keadilan, kesaksamaan, dan keterlibatan rakyat secara menyeluruh dalam satu sistem dan proses politik yang berpaksikan akauntabiliti dan keterlibatan rakyat dan kerajaan Kebawah DYMM dengan penuh kematangan dan hikmah", ujarnya lagi.
Maifesto politik itu, menurut beliau adalah manifesto dakwah. Maka NDP juga dengan penuh iltizam berusaha untuk membawa negara mengisi dan memberi erti kepada kemerdekaan dari sudut politik, pembangunan ekonomi, sosial, pendidikan, kebudayaan dan aspek-aspek lain ke arah pembentukan negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah SWT (Baldatun Thaiyyibatun wa Rabbun Ghafuur).
PRINSIP KEBEBASAN BERAGAMA |
MENURUT AYAHNDA YASIN AFANDY NDP juga berpegang kepada prinsip kebebasan beragama sesuai dengan ajaran Islam iaitu tiada paksaan dalam agama.
"Penganut bukan Islam dijamin bebas menganut agama dan kepercayaan mereka serta dijamin bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing. Justeru itu Manifesto NDP membuat peruntukan khas mengenai jaminan dan hak kaum Non-Muslim".
"Antara lain ianya akan mengamat-amati secara berterusan serta mengetengahkan pandangan dan idea-idea dari semasa ke semasa bagi menjamin hak, nyawa, kehormatan, akal dan harta non-muslim sentiasa terpelihara dan dihormati selaras dengan nilai-nilai keadilan Islam", teas Presiden NDP.
Katanya dDalam kita merentasi denai yang penuh cabaran ini, anggota-anggota NDP mesti menjadi contoh dengan akhlak politik yang terpuji.
"Dengan sifat itu anggota NDP Insyaallah, akan dihormati, diterima dan dialu-alukan oleh semua kalangan dan lapisan rakyat. Insyaallah kita akan mampu menjadi agen popular perubahan dan pembaharuan yang berkesan kepada masyarakat dan bangsa".
"Hanya ketika itu barulah NDP layak bergelar pembantu kepada Kebawah DYMM dan regu kepada kerajaan KDYMM yang berkesan dan meyakinkan", kata Ayahnda Yasin ASffany.
Pensajajaran dalam Perkhidmatan Awam |
Menyentuh mengenai Perkhidmatan Awam, Ayahnda Yasin Affandy berkata sudah setentunya kita tidak menafikan adanya beberapa kesan positif dan pencapaian daripada Wawasan Perkhidmatan Awam Abad ke 21.
Katanya sSetiap organisasi kerajaan telah disaran supaya lebih kreatif kerana kreativiti itu dapat membantu survival Negara atas kesedaran bahawa, current practice needs change.
"Pengalaman silam adalah guru dan panduan terbaik untuk kita sama-sama belajar bagaimana untuk membangun dan melakar kemajuan masa hadapan".
"Apa yang dapat kita amat-amati ialah best practices negara-negara jiran sering diteliti oleh Perkhidmatan Awam kita dan dijadikan perbandingan dan teladan sebagai salah satu usaha untuk menuju ke arah urus tadbir yang baik atau good governance".
Antara usaha-usaha untuk memodenkan Perkhidmatan Awam, menurut Presiden NDP ialah mewujudkan beberapa management tools khusus untuk menggerakkan lagi mekanisme Kerajaan.
"Satu lagi program ialah program pensejajaran. Program ini melibatkan setiap kementerian dan jabatan supaya menyediakan perancangan strategik organisasi masing-masing. Ini dapat mensejajarkan atau ‘syncronise’ kesemua usaha dan tindakan setiap Kementerian dan Jabatan selaras dengan hasrat, wawasan dan aspirasi Negara".
Menurutnya dari sudut amalan bernegara yang diterima pakai umum, ini merupakan satu ‘political will’ untuk memastikan bahawa Negara ini terus berada dalam suasana aman, makmur, sejahtera, seiring dengan warga dan bangsa lain, di samping menikmati kesetabilan Negara .
"Insyaallah, sebagai sebuah Negara yang berdaulat lagi aman, kesemuanya ini setentunya mudah dicapai jika benar-benar wujud ‘political will’ yang sedemikian rupa, di antara ‘players penting’ terdiri dari Kerajaan, swasta dan organisasi siasah, apa lagi jika ianya dijalin dengan kesefahaman dan kerjasama yang erat dan tulus ikhlas".
"Kerjasama erat seumpama itu dikalangan “major players” amat mustahak sebagai daya tarikan kepada pelabur-pelabur asing. Sektor kerajaan selaku regulator, pemudahcara, pengawal selia, penyatu dan pembekal perkhidmatan-perkhidmatan; sektor swasta sebagai penggerak ekonomi dan organisasi siasah pula mewakili rakyat akar umbi sebagai pemantau dan “end user”.
"Lebih-labih lagi atas hakikat bahawa organisasi siasah adalah saluran aspirasi rakyat. Senario tersebut tiada cacat celanya namun, sebahagian besar rakyat masih tetap melihat dan merasakan seperti terdapat pelbagai kepincangan dan kelemahan dalam sistem penyampaian Perkhidmatan Awam".
Dari perspektif siasah, keadaan seumpama ini mungkin terjadi kerana ketiadaan institusi siasah yang mewakili rakyat yang berani menegur dan mengkritik apa jua kepincangan dan kelemahan dalam konteks sekatan dan imbangan atau ‘check and balance’", kata Presiden NDP.
Menurut beliau lagi suatu contoh yang ingin kita kongsikan di sini ialah bagaimana tanah-tanah tumpang sementara (TOL) pertanian yang dikhaskan kepada rakyat tempatan boleh terlepas ke tangan kepada orang asing.
Katanya orang asing telah menjadi peneroka, pekebun, peraih, pemborong dan peruncit.
"Lebih sedih lagi, orang asing inilah yang menjadi “taukey” sebenarnya. Sebaliknya tuan tanah seperti hamba dan kuli, ke hulu ke hilir menguruskan berbagai keperluan dan kemudahan seperti mendapatkan permit kerja hingga mendapatkan baja, pagar dan racun subsidi dari pihak berkenaan untuk orang-orang asing ini".
"Apa yang tuan tanah kedaung ini perolehi hanyalah komisen yang tidak seberapa sedangkan orang asing jauh lebih lumayan".
Malah, mereka berupaya pula mengirim sebahagian pendapatan mereka itu ke negara asal, tambah Presiden NDP.
"Demikian juga kita melihat limpahan kedai-kedai runcit di seluruh negara yang juga diusahakan oleh orang-orang asing. Di manakah silapnya perkara ini?"
"Apa yang kita nampak ialah bahawa seluruh sistem berkaitan, dari pemberian permit kerja, kuota buruh, pemberian tanah, pemasaran dan bantuan, berhajat kepada kajian semula pada kadar segera", syor Ayahda Yasin Affandy.
Menurut beliau lagi kepincangan ini perlu diperbetulkan segera sebelum rakyat negara ini menerima padah bak kata kiasan, ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan; kera di hutan disusukan, anak di pangkuan mati kebuluran; dagang lalu nasi ditanakkan, suami pulang lapar tak makan.
Jadi fikirkanlah dengan mendalam, tambah Presiden NDP.
Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SME) di Negara Brunei Darussalam |
"Satu contoh lain yang ingin saya kongsikan dengan saudara saudari sekelian ialah mengenai dapatan satu kajian terhadap Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SME) di Negara Brunei Darussalam dalam tahun 2005".
"Kajian ini dilakukan oleh sebuah firma juru perunding dari Malaysia yang berwibawa melibatkan 67 industri kecil dan seherhana (SME) Brunei di bidang pemperosesan makanan", kata Ayahnda Yasin Affandy.
Menurut beliau dapatan kajian ini boleh memberikan justifikasi yang kuat tentang perlunya rombakan besar-besaran dilakukan di dalam sistem penyampaian.
Dapatan kaji selidik berkenaan, kata Presiden NDP, mendapati responden memerlukan bantuan dari pihak-pihak berkenaan dalam perkara-perkara berikut:-
1. Maklumat lengkap tentang peralatan dan mesin memproses makanan.
2. Khidmat nasihat tentang pembungkusan dan persembahan produk.
3. Modal untuk membeli bangunan perniagaan.
4. Modal Pusingan
5. Promosi Pemasaran
6. Khidmat nasihat tentang keselamatan dan kebersihan makanan
7. Kepakaran Pengurusan
8. Khidmat nasihat pengurusan perkilangan
Di samping itu, kaji selidik berkenaan turut menemui masalah yang mereka hadapi iaitu:
1. Perbekalan bahan mentah untuk pemperosesan dan bahan pembungkusan yang tidak menentu.
2. Kos pengeluaran yang sentiasa meningkat
3. Kualiti produk yang rendah
4. Pasaran tempatan yang terhad
5. Pengeluaran yang tidak economik
6. Penggambilan pekerja luar yang dikenakan syarat terlalu ketat
7. Modal pusingan tidak mencukupi
8. Penawaran harga yang rendah dari barangan yang sama yang di import
9. Teknologi yang berkemampuan untuk meningkatkan pengeluaran (menggunakan jumlah buruh yang minima)
Katanya lagi kita tidak perlu bersusah payah membandingkan nasib SME di negara kita dengan kejayaan SME negara-negara yang sudah lebih maju seperti Korea, Jepun, Singapura dan lain-lain.
"Memadai rasanya kita bandingkan dengan salah sebuah negara jiran dan mempelajari bagaimana kerajaan Negara berkenaan menggerakkan agensi-agensinya untuk membangunkan SME mereka dengan menyediakan kemudahan-kemudahan dan bantuan yang begitu banyak".
"Dalam bidang penyelidikan misalnya, terdapat lima buah agensi yang sedia membantu para pengusaha dan bakal pengusaha. Terdapat tujuh agensi pemasaran yang sedia membantu memasarkan produk SME di dalam dan keluar negara. Negara tersebut turut menyediakan tujuh agensi khusus memberikan khidmat pendidikan dan latihan".
"Di samping itu terdapat enam buah agensi pemberi kredit, enam buah agensi promosi keluar negara, tujuh buah agensi yang membantu pemindahan teknologi, enam agensi yang menyediakan kemudahan tempat perniagaan, empat buah agensi yang menyediakan kemudahan penyewaan peralatan untuk pemprosesan dan tujuh buah agensi yang menyediakan incubator perniagaan".
Ujar Presiden NDP lagi bandingkanlah dengan apa yang disediakan kepada SME kita.
"Apakah bilangan agensi bantuan yang ada kini memberi gambaran yang kita adalah sebuah negara yang serius membantu dan membangunkan SME?", tanya beliau.
Presiden NDP berkata sebagai sebuah organisasi politik akar umbi, kita mendapati rakyat akar umbi sentiasa memberikan perhatian terhadap apa jua perancangan pihak-pihak berkenaan yang melibatkan kehidupan mereka.
"Dalam perjalanan inilah kita melihat terdapatnya masalah ketirisan yang serius di sana sini".
"Walau bagaimanapun, sebagai parti politik yang bertanggungjawab dan rakan strategik Kerajaan Kebawah DYMM, NDP berazam untuk membantu pihak-pihak yang berkenaan setakat yang termampu, terutama sekali usaha bagi membantu ahli-ahli dan bukan ahli melalui program-program khidmat nasihat terutama sekali dibidang pertanian dan industri tani".
"Namun demikian kejayaan yang boleh dicapai banyak bergantung kepada seluas mana pemudah cara yang dibuka oleh jabatan awam dan agensi-agensi kerajaan kepada NDP sebagai pelaku (player) dalam sistem sosial dan politik negara", jelasnya lagi.
Menyentuh mengenai isu kemiskinan Presiden NDP menjelaskan jurang kemiskinan yang ketara adalah salah satu masalah sosial yang boleh mengancam kestabilan politik dan ekonomi negara.
"Sekiranya kemiskinan ditafsir dari sudut ekonomi, ianya bermaksud ketidakcukupan sumber-sumber material sehingga seseorang itu mungkin tidak mampu untuk memainkan peranan yang berkesan sebagai seorang ahli dalam sesebuah masyarakat".
"Kita difahamkan satu kajian mengenai kemiskinan yang dikendalikan oleh sebuah institusi pengajian tinggi tempatan antara tahun 2001 -2002 menunjukkan model-model yang diguna pakai untuk mengenal pasti kadar asas kemiskinan (absolute poverty). Kadar sara hidup yang dikenal pasti bagi seorang ialah $280.00 sebulan".
"Jika dapatan kajian ini sahih, terdapat petunjuk bahawa warga perkhidmatan awam tanpa mengambil kira jawatan dan bahagiannya, yang dilantik pada dan selepas 01 Januari 1993 iaitu dalam skim TAP (Tabung Amanah Pekerja) dengan sendirinya dalam satu ketika nanti, terutama di hujung jangkaan baki kehidupan persaraan, akan termasuk dalam kumpulan “absolute poverty”.
"Andaian ini berpandukan kepada jumlah TAP yang diterima di akhir perkhidmatan termasuk dividen peratusan tahunan yang tidak menentu, adalah terlalu rendah dan tidak selesa dan tidak terjamin semasa menghadapi baki kehidupan persaraan nanti".
"Tekanan seterusnya akan dirasai ekoran kadar inflasi 1.5% setahun. Sehubungan dengan itu, kita berharap penuh dengan kebijaksaan Kerajaan Kebawah DYMM, peruntukan Elaun Usia Tua $250 sebulan akan dinaikkan lagi pada satu kadar yang lebih munasabah dan usia penerima 60 tahun diturunkan kepada usia 56 tahun", syor Presiden NDP.
Katanya lagi
kita juga berharap agar Kerajaan Kebawah DYMM dapat menimbangkan pemberian kurnia khas $200 kepada kakitangan awam, dilaratkan kepada kakitangan dan pekerja disektor swasta dan kakitangan syarikat-syarikat tempatan bagi merangsang belia-belia yang menganggur agar tidak terlalu memilih pekerjaan.
"Mudah-mudahan dengan itu, tekanan kehidupan bagi mereka yang benar-benar memerlukannya akan sedikit sebanyak dapat diringankan", ujar Ayahnda Yasin Afandy lagi.
Tambahnya usaha merapatkan jurang kemiskinan adalah satu usaha yang komprehensif dan perlu ditangani oleh semua pihak terutama kerajaan.
"Sememangnya tidak wajar jika tanggungjawab ini diserahkan bulat-bulat kepada kerajaan saja atau sebuah institusi seperti Baitul Mal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat semata-mata".
"NDP berpendapat, peranan badan bukan kerajaan seperti NGO, parti-parti politik, swasta dan lain-lain wajar ditingkatkan dan diselaraskan dengan peranan kerajaan agar aktiviti mengurangkan kadar kemiskinan dapat berjalan dengan berkesan".
"Pada pengamatan kita, seperti terdapat korelasi yang mengaitkan kemiskinan dengan masalah-masalah sosial yang lain. Umpamanya, penyalahgunaan dadah dengan masalah pengangguran".
Katanya menurut perangkaan tangkapan Biro Kawalan Narkotik bagi bulan April 2007 sahaja seramai 72 orang telah ditangkap diantaranya terdiri daripada 49 orang penggangur lima orang penuntut dan enam orang bekerja sendiri.
"Tidak mustahil satu hari nanti golongan penganggur ini akan terpengaruh untuk melakukan kes-kes jenayah yang lain seperti kes curi, rogol dan sebagainya yang secara langsung akan menyumbang kepada keruntuhan moral dan akhlak", ujarnya lagi.
"Dari satu aspek lain, masalah sosial terutama sekali sumbang mahram di sesetengah negara kurang maju dan negara membangun ada korelasi yang kukuh dengan masalah perumahan iaitu saiz rumah yang kecil dan bilangan bilik tidur yang tidak cukup berbanding keperluan sesebuah keluarga".
"Suasana sedemikian juga membuatkan anak-anak remaja lebih selesa lepak di luar rumah dan berkeliaran. Demikian juga rumah yang tidak selesa tidak dapat membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang merangsang anak-anak", tegas Presiden NDP.
Katanya baru-baru ini kita dikejutkan oleh khutbah jumaat yang menyebutkan kes-kes anak luar nikah di negara kita ini meningkat dari 35 orang pada tahun 2005 kepada 95 orang pada tahun 2006.
"Masalah ini harap-harapnya tidak ada kaitannya dengan masalah dan suasana dalam sesebuah rumah walaipun pengalaman negara-negara luar mendapati adanya korelasi antara suasana dalam sesebuah rumah dengan gejala sumbang mahram".
"Hal ini perlu kita dijadikan iktibar dalam perancangan dan pembangunan perumahan rakyat di negara kita. Walaupun demikian, yang menjadi perhatian berat NDP ialah, masalah kekurangan rumah di negara kita yang meningkat tahun demi tahun".
"Kita difahamkan kini lebih 40,000 pemohon yang sedang menunggu rumah yang dipohon di Rancangan Perumahan Negara dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati. Kita yakin, pihak berkenaan mampu merenung masalah ini lebih jauh dan mendalam dari kita".
"Namun harapan kita ialah supaya masalah permohonan untuk mendapatkan rumah kediaman di skim-skim perumahan ini dapat diatasi pada kadar segera", ujar Presiden NDP lagi.
Beliau berpendapat ini mungkin boleh dibuat melalui dwi pendekatan, iaitu penswastaan dan dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Perumahan sendiri.
NDP sebagai power base kepada KDYMM Baginda Sultan dan zuriat Baginda |
Menurut Ayahnda Yasin Affandy walau pun NDP baru berusia setahun jagung, Alhamduliullah sebagai organisasi akar umbi banyak juga pandangan dan harapan dari bawah yang telah kita angkat dan kongsikan dengan pihak-pihak berkenaan.
"Ini sesuai dengan peranan kita sebagai pelengkap kepada apa jua yang terlepas pandang.
Kita yakin sedikit sebanyak suara akar umbi yang kita angkat itu diambil perhatian oleh pihak-pihak berkenaan", jelasnya.
"Dengan segala kekurangan NDP tentunya tidak upaya untuk melakukan banyak perkara.
Namun demikian, kita sentiasa berdoa ke hadrat Ilahi mudahan NDP akan terus hidup subur sehingga menjadi satu tenaga yang boleh menjadi asas kuasa ‘power base’ kepada Kebawah DYMM sebagai Sultan Dan Yang Di Pertuan, Ulil Amri dan Mujaddid dan zuriat-zuriat Baginda", ujar Ayahnda Yasin Affandy.
Demikian juga mudah-mudahan kita boleh berperanan menjadi pemangkin sebagai pengimbang kepada sistem sosial dan politik negara demi keutuhan dan kedaulatan negara dan rakyat.