LIMBARUH HIJAU 06 MEI 2009 - Kata-kata “tak kenal maka tak cinta” telah menarik perhatian dan menjadi pendorong kepada Exco Puteri Pembangunan untuk mengadakan lawatan ke premis perniagaan yang diusahakan oleh tiga orag ahli NDP.
Lawatan sehari suntok diketuai oleh Ketua Puteri Dayang Surayatini binti Haji Ismail yang dibantu oleh Setiausaha merangkap Penolong Setiausaha Kerja di Jabatan Sekteriat (JASA) Puteri Dk Nuurul Azadah binti Pg. Hj. Abju Bakar.
Menurut Dayang Surayatini, lawatan tersebut bertujuan untuk melihat secara dekat bidang perniagaan yang diusahakan oleh ahli-ahli NDP.
Menurut beliau dikesempatan tersebut rombongan juga berpeluang berbincang, bertukar pendapat dan pandangan berhubung peluang untuk ahli puteri berkecimpung dalam bidang perniagaan.
“Lawatan tersebut memberikan kami peluang untuk mempelajari secara dekat peluang-peluang perniagaan dan cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh setiap pengusaha. Lawatan tersebut serba sedikit memberikan kami pendedahan yang amat berguna kepada kami semua", tambah Dayang Surayatini.
Lawatan selama sehari suntok itu meliputi tiga buah daerah kecuali daerah Temburong. “Sekiranya ada jalan pintas seumpama jambatan yang dapat menghubungkan Bandar Seri Begawan dengan Pekan Bangar, kemungkinan lawatan ini akan dapat diteruskan ke sana” sampuk Dk. Nuurul Azadah apabila ditanya oleh wakil aspirasi mengenai hal berkenaan kepada beliau.
Beliau menambah bahawa lawatan tersebut sebagai langkah permulaan puteri untuk mendedahkan ahli-ahlinya kepada bidang perniagaan.
Lawatan sesi pagi bermula di premis Hadfa Florist di Kampong Rimba, Gadong yang diusahakan oleh cikgu Hajah Halus binti Karim dalam bidang Seni Hias Laman (landscaping).
Beliau mula berjinak-jinak dalam bidang tersebut sejak tahun 1993 secara sambilan kerana pada masa itu beliau masih berkhidmat dengan kerajaan.
Ide bergiat dalam bidang ini berputik sekembalinya dari lawatan ke Bandung, Indonesia.
Sekarang beliau mengusahakan premis berkenaan sepenuh masa selepas bersara daripada perkhidmatan kerajaan dan tidak mempunyai pencen bulanan walaupun telah berkhidmat dengan kerajaan lebih duapuluh tahun.
“Inilah satu-satunya usaha saya selepas bersara untuk menyara keluarga dan diri sendiri.
Menurut cikgu Hajah Halus, dia mempunyai matalamat untuk menjadikan tanah yang diusahakannya itu sebagai pusat penyelidikan, pemuliharaan dan semaian sebahagian pokok bunga-bungaan, selain menanam pokok-pokok yang beliau fikirkan akan pupus.
Berkat ketekunan dan kekrja kuat itu, usaha beliau menampakkan hasil apabila ramai pengunjung terutamanya penuntut dari luar negara berkunjung ke sana bagi menjalankan penyelidikan.
Bagi keselesaan pengunjungnya beliau sedang membina kantin dan sebuah pentas untuk persembahan kebudayaan.
Mengenai dengan modal beliau memberitahu sehingga hari itu sebanyak $400,000.00 sudah dibelanjakan bagi membina, menanam dan mencantikkan kawasan itu.
Beliau sempat memberitahu antara halangan yang sering ditempuhinya ialah banjir yang selalu melanda kawasan berkenaan dan hanya pada tahun 2007 sahaja baru longkang di kawasan berkenaan dibesarkan iaitu setelah lebih tiga tahun memohonkannya.
Dari Gadong rombongan puteri bertolak ke Pekan Tutong dan melawat kedai Lakaba Jaya di Kampong Sengkarai kepunyaan Dayang Hajah Sauyah.
Dengan modal sebanyak $50,000.00 beliau memulakan perniagaan sejak tiga tahun yang lalu dengan menjual pinggan mangkuk, perabot keluaran vantage dari luar negeri dan juga barang-barang yang beliau buat sendiri melalui kursus yang dihadirinya di Kuala Lumpur.
Selain itu beliau juga mengusahakan perniagaan bagi urusan perkahwinan seperti Mak Andam dan Pakej Perkahwinan.
Dalam penerangannya Dayang Hajah Sauyah berkata beliau pernah mengusahakan sebuah kantin kira-kira tujuh tahun yang lalu tetapi terpaksa ditutup, antara masalahnya ialah terlalu lama menunggu permohonan untuk mendapatkan lesen rampaian yang memakan masa hingga empat tahun.
Beliau menasihatkan kepada rombongan puteri yang berniat untuk bergiat dalam perniagaan supaya menyediakan diri dengan ilmu, menimba pengelaman, tabah dan gigih dalam menghadapi apa jua cabaran.
Beliau juga menyambut baik hasrat ahli puteri untuk menceburi bidang perniagaan dan bersedia memberikan tunjuk ajar serta nasihat serta berkongsi pengelaman.
Selepas tengah hari rombongan berpeluang melawat D'Swan School of Music yang terletak di Kuala Belait.
Syarikat tersebut sudah beroperasi sejak lebih sepuloh tahun yang lalu dan berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.
Sekolah tersebut mempunyai sebuah bilik tarian dan lima buah bilik belajar. Antara alat muzik yang diajar disitu ialah piano, drum dan guitar serta violin.
Sekolah muzik tersebut mendapat sambutan terutama dari penuntut warga asing yang penjaga mereka berkhidmat di negara ini.
Diakhir lawatan Ketua Puteri melahirkan rasa puas hari dan terima kasih kepada ahli-ahli NDP yang memberikan sambutan dan penerangan kepada rombongan mereka .
Beliau menambah yang aktiviti tersebut akan diteruskan sebagai salah satu aktiviti puteri selepas Kongres Tahunan nanti. (Laporan Juned Ramli)
|