LIMBARUH HIJAU 14 MEI 2009 - Iklim politik dan berpolitik di Negara Brunei Darussalam yang kurang mengizinkan menyebabkan kesedaran politik dikalangan rakyat masih ditahap rendah. Dalam masa sama iklim politik yang kurang sihat ini juga merumitkan usaha meningkatkan kesedaran rakyat akan peranan politik mereka dalam proses pembangunan bangsa dan negara.
Namun demikian tidak bererti disebabkan iklim politik dan berpolitik yang kurang mengizinkan itu perjalanaan menuju kearah pembaharuan politik dan pengamalan demokrasi yang sihat yang melibatkan seluruh rakyat terpaksa ditunda.
Pandangan ini dibentangkan sdr Mahmud Morshidi Othman, Timbalan Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP) dalam ucapan perasmian mesyuarat Majlis Permesyuaratan Perhubungan Daerah (MPPD) Penggal Kedua 2009 (Q2) yang berlangsung di Dewan Syura Limbaruh Hijau, markas pusat NDP di Jerudong.
Dalam ucapan persamian tersebut sdr Morshidi menekankan peranan penting warga NDP sebagai pemangkin proses pembaharuan politik dan pengamalan demokrasi di negara ini.
"Kita mesti bekerja keras dan gigih |
|
mengusahakan praktis demokrasi dalam parti ini untuk memperlihatkan betapa kita benar-benar komited dengan konsep demokrasi yang menekankan penyertaan ahli seluruhnya dalam proses pemilihan kepimpinan parti dan pembuatan keputusan di semua peringkat", seru sdr Morshidi.
"Pada prinsipnya, ahli berhak bermaklumat, dicalonkan dan mencalonkan, dipilih dan memilih. Proses ini kita laksanakan dengan cukup berhati-hati dan penuh tanggung jawab selain ianya ditanggapi sebagai sebahagian dari proses pendidikan politik seperti yang disebutkan tadi".
"Jika praktis demokrasi yang telah kita lakukan ini masih tidak memperlihatkan tahap kesedaran politik yang tinggi di kalangan ahli parti, saya bimbang, bagaimana pula tahap kesedaran berpolitik dan berorganisasi golongan massa yang sekarang ini tidak terlibat dengan sebarang organisasi politik?", tegas sdr Morshidi.
Dalam hubungan, tambah sdr Morshidi, ini ingin saya menarik perhatian sdra-sdri sekalian kepada satu persoalan yang saya anggap amat penting yang ada kaitan dengan survivaliti parti, iaitu, penilaian kita terhadap tahap kesedaran politik rakyat yang masih rendah.
DEMOKRASI
"Apabila kita bercakap tentang demokrasi, salah satu indikator kepada pencapaian amalan demokrasi itu ialah darjah penyertaan rakyat dalam proses politik negara terutama sekali bersangkutan penglibatan rakyat di dalam proses pembuatan keputusan", ujar sdr Morshidi.
"Demokrasi itu seperti pisau yang tajam, jika digunakan sebaiknya ia akan memberi manfaat kepada penggunanya, tetapi jika disalah gunakan ia akan membahayakan pengguna sendiri".
"Justeru konsep penyertaan rakyat yang berbentuk massa, besar-besaran dan menyeluruh di dalam pengurusan negara hendaklah ditanggapi dan dilaksanakan dengan berhati-hati dan berhemah, jangan sampai metamorfosis itu seperti pisau yang melukai penggunanya".
Namun begitu, tambahnya, berhati-hati itu tidak membawa makna, kita mesti bergerak terlalu perlahan ke arah hadapan.
"Kita sebenarnya dicemburui oleh masa. Kecekapan pengurusan masa begitu mempengaruhi tahap pencapaian kemajuan kita. Kegagalan mengurus masa dengan baik boleh mengundang ”rugi” seperti diperingatkan Allah dalam Surah Al Asr", tegas sdr Morshidi.
Menurut beliau untuk memungkinkan penglibatan massa dalam pembangunan politik negara berlaku dengan sebaiknya, rakyat perlulah mempunyai kesedaran politik yang tinggi.
"Ke arah itu ahli-ahli parti mesti diberikan pendedahan dan pendidikan politik agar dapat berperanan sebagai agen kesadaran politik yang dimaksudkan", jelas sdr Morshidi..
Katanya NDP bertanggapan, tanpa kesedaran politik yang tinggi, rakyat tidak mungkin dapat melihat apakah faedahnya bagi mereka untuk terlibat secara langsung dalam proses pembangunan politik negara.
"Kebimbangan kini dan cabaran dihadapan kita ialah, seolah-olah rakyat pada umumnya berada dalam zon amat selesa justeru mereka seperti tidak memerlukan peranan sesebuah partai politik".
"Namun demikian, kita percaya, jika pendedahan dan pendidikan politik ini berada dalam persekitaran dan iklim politik yang sihat, pembangunan politik itu Insyaallah akan tetap berdaya maju dan berada pada aras hemah yang tinggi".
KONSEP POLITIK DI BRUNEI
Menyentuh mengenai konsep politik dan amalaan berpolitik di Brunei, sdr Morshidi berpandangan ianya berbeza dibanding dengan pengamalan politik di negara yang mengamalkan sistem parti memerintah.
"Kita semua mesti sedar, dalam konteks pembangunan politik di negara kita hari ini, politik itu tidak sekali-kali dikaitkan dengan kuasa kerana sistem pemerintahan negara kita bukannya berdasarkan sistem parti memerintah atau politik bersamaan kuasa untuk memerintah".
"Politik di negara kita lebih kepada persoalan pengaruh – sejauh mana suaranya didengari oleh kedua-dua pihak, kerajaan dan rakyat", tegas sdr Morshidi.
Menurut beliau peranan parti politik di negara kita lebih kepada peranan pergerakan sivil atau pergerakan kebajikan yang proaktif yang merentasi peranan dan format sebuah NGO biasa.
Antara lain tugas parti politik di negara ini, tembahnya, hendaklah sedia menjadi mata telinga Kebawah DYMM, membantu rakyat, mengangkat masalah mereka, menjadi penyambung lidah mereka, menegur pemerintah dengan berani dan memberikan jalan keluar ke atas sebarang kepincangan yang dilihat berlaku dalam pengurusan negara dan rakyat demi kepentingan nasional.
"Dalam konteks NDP pula peranan parti kita telah digarap dengan jelas, iaitu NDP adalah sebuah pergerakan politik yang berdakwah dan kita berdakwah melalui parti politik".
"Dakwah dari perspektif parti ialah menyeru kepada kebaikan – iaitu, memperjuangkan apa jua yang membawa kebaikan kepada Islam, negara dan rakyat dan menentang apa jua kejahatan yang menghalang kita dari menunaikan titah perintah Ilahi".
"Taat kepada Ulil Amri, nasihat menasihati, berkasih sayang, toleransi, memperjuangkan apa jua yang menjadi hak rakyat tanpa diskriminasi, menghormati agama dan pegangan kepercayaan masing-masing adalah contoh dakwah dan nilai murni yang menjadi pegangan NDP".
KETANDUSAN POLITIK RAKYAT MENGUNDANG MASALAH
Dalam ucapan perasmian tersebut sdr Morshidi juga menyentuh mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi NDP dalam melaksanakan tugas dan tanggunjawab politiknya dalam iklim politik negara yang kurang mengizinkan.
Beliau juga menekankan peranan penting parti politik sebagai pengimbang dalam proses membangun bangsa dan negara.
Katanya walaupun NDP dan pihak pemerintah seolah-olah dipisahkan oleh sebuah tembok besar namun, ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk bersifat dungu, pasif, ”tidak ingau”, ”syukur pada yang ada” dan pasrah dengan apa jua yang berlaku dihadapan kita.
"Mengambil contoh, oleh kerana ketiadaan parti-parti politik selepas merdeka yang berperanan dan mengambil tanggung jawab seperti yang saya sebutkan itu telah meletakkan sesetengah anggota elit penguasa dan pentadbir dalam keadaan selesa".
"Mereka selesa kerana mereka tidak ”akauntable” kepada rakyat. Rakyat terpaksa pasrah melihat dan menerima apa jua dasar dan perancangan yang di gubal dan digarap oleh pembuat dasar sebagai betul segalanya. Mereka itu dilihat cukup kebal untuk ditembusi kritikan dan idea-idea baru dari rakyat", ujar sdr Morshidi.
"Persepsi ini begitu subur kerana rakyat tidak mempunyai mekanisma berkesan untuk berperanan sebagai pemantau dan penegur".
Natijahnya, tambah sdr Morshidi, selepas 25 tahun merdeka, rakyat masih dilonggokkan dengan berbagai masalah, dari isu sampah, kemiskinan, perumahan, sosial, pendidikan, kegagalan mebangunankan SME/SMI, kegagalan menghabiskan belanja yang besar diperingkat perlaksanaan projek-projek pembangunan, keciciran penuntut yang kian membimbangkan, tekanan mental yang dideritai sebahagian rakyat hingga kepada banjir dan tanah susur.
"Apakah kita akan membiarkan keadaan yang mengundang kesan berganda ini bakal dideritai oleh generasi akan datang yang mungkin melibatkan anak cucu kita nanti?"
"Saya sependapat dengan pandangan sesetengah ahli parti bahawa era seronok dengan kekebalan hingga tidak boleh dikritik, dicabar dan ditegur sudah berlalu. Era curiga mencuragai, era ugut mengugut juga sudah berlalu. Era menyalahgunakan kuasa dan nama ”orang diatas” juga sudah berlalu. Masa kini menuntut agar semua ”stakeholders” sentiasa berperasangka baik bekerja beririangan antara satu dengan lain seperti apa yang sering disebut sebagai pensejajaran dan bersepadu supaya kita beroleh keberkahan".
"Keberkahan hanya boleh diperolehi melalui mesyuarah atau ”engagement” dan bukannya melalui konfrontasi. Era sekarang ialah era kehadapan, era membangun negara untuk keamanan dan kesejahteraan rakyat".
SIKAP MEMPERKECILKAN INTELEKTUAL RAKYAT
Sdr Morshidi seterusnya menyentuh kekesakan beliau mengenai sikap dan kegemaran sesetangah kalangan memperkecilkan intelektual rakyat untuk melemahkan daya fikir mereka.
"Satu penyakit yang saya perhatikan begitu kronik kini ialah kegemaran sesetengah kalangan yang suka memperkecilkan intelektual rakyat".
"Kalau ada aduan dari rakyat, atau kalau ada permintaan rakyat, atau kalau ada pandangan berbeza rakayt dengan mereka, dengan pantas dimatikan semangat rakyat itu. Dimatikan harapan mereka, daya fikir, kreativiti dan kritikan mereka dengan mengatakan mereka ”tidak bersyukur” dan ”tidak berpada”.
"Setengah orang suka ”menipu” rakyat. Mereka suka sangat membandingkan rakyat dan negara yang jauh lebih rendah dan miskin daripada kita".
"Kita selalu membandingkan diri kita bak kita ini anggur dan orang lain asam kelumbi. Tapi, mengapa selamanya kita tidak berani membandingkan diri kita sebagai anggur itu dengan anggur juga", tegas sdr Morshidi.
Katanya hanya dengan membandingkan anggur dengan anggur baru dapat kita nilai setakat mana anggur kita dinilai hodoh atau cantik, masam atau manis rasanya.
"Merendahkan intelektual rakyat, bersikap defensif dan menyuburkan sindrom denial boleh membawa kepada sekatan minda dan kejumudan".
"Ahli-ahli parti hendaklah sedar bahawa, ”mental block” atau sekatan minda ini ada kaitannya dengan kerapuhan jatidiri bernegara. Dari kerapuhan itulah lahirlah ungkapan-ungkapan, ”biar tia.... malas tah ku ingau” ”biar tia, abis dia tah saja.........”, tambah sdr Morshidi.
Beliau berpandangan inilah natijah dan jawaban kepada mengapa rakyat tidak cukup memberikan sokongan kepada kempen pengibaran bendera kebangsaan, umpamanya.
USAHA NDP MENINGKATYKAN KESEDARTAN POLITIK RAKYAT
"Di peringkat parti, telah banyak usaha dan pendekatan yang dibuat, dan strategi yang dirancang bagi menimbulkan kesedaran rakyat supaya mereka terlibat di dalam arus politik perdana melalui pelantar politik'.
"Setakat yang kita nampak ialah, tahap kesedaran politik masyarakat, hatta dikalangan ahli parti kita sendiri masih rendah", keluh sdr Morshidi.
"Mungkinkah keadaan ini terkesan daripada pandangan serong dan kekangan pihak-pihak berkenaan terhadap kehadiran parti politik selama ini? Atau ia terbit dari doktrin ”syukurlah apa yang ada”, ”awar galat”, ” takut ditangkap” atau ”Malas tah ku ingau” yang begitu dominan dalam pembentukan persepsi, budaya dan tamaddun masyarakat kita selama ini? Atau adakah ianya terhasil dari kedua-duanya?, atau kah kerana kita tersalah takrif dan tanggapan mengenai hala tuju falsafah Melayu Islam Beraja itu?", tanya sdr Morshidi.
Di kalangan para pemimpin dan ahli-ahli, tambah sdr Morshidi, kenyataan ini dapat dilihat melalui senario berikut.
- Kegagalan menarik ahli baru. Jumlah keahlian parti masih tidak menunjukkaan peningkatan yang memberangsangkan.
- Pengurusan Badan Perhubungan Daerah dan ranting-ranting adalah lemah. Masih ada Badan-Badan Perhubungan yang belum berupaya membuka akaun kewangan di bank-bank.
- Masih ada Biro-Biro yang tidak mempunyai jawatan kuasanya.
- Jatidiri sebagai ahli NDP di tahap yang minimal justeru, tidak ramai yang rela untuk mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk menjayakan mesyuarat-mesyuarat dan program-program parti.
- Komitmen untuk menunaikan tanggungjawab diri sebagai ahli terhadap organisasi dan solidariti sesama ahli amat longgar.
KESAL DENGAN ROS
Pada tahun yang lepas, menurut sdr Morshidi, kita telah mengemukakan beberapa pindaan perlembagaan kepada pihak Pendaftar Pertubuhan-Pertubuhan (ROS).
"Di antara pindaan yang dicadangkan ialah berhubung dengan soal pengurangan cukup kuorum mesyuarat disemua peringkat. Baru-baru ini kita telah mendapat jawaban daripada pihak ROS yang meluluskan semua cadangan pindaan yang dikemukakan kecuali soal cukup kouram mesyuarat disemua peringkat".
Menurut sdr Morshidi, ROS tidak mempersetujui pengurangan kuota cukup kuorum daripada tiga perempat seperti yang dipohonkan oleh Parti.
"Keputusan ROS itu kita terima, tak apa lah, tapi yang mengherankan kita ialah, ROS mengambil kesempatan pula melalui pindaan-pindaan perlembagaan yang kita julongkan itu dengan mengarahkan parti menambah pindaan perlembagaan iaitu, menaikkan had umur minima keahlian dari sedia ada dalam perlembagaan iaitu dari 18 tahun kepada 21 tahun dan keahalian minima penubuhan sesebuah ranting mesti 50 orang, tidak seperti dalam perlembagaa 30 orang".
"Oleh kerana kedua-dua perkara tersebut melibatkan pindaan kepada perlembagaan, maka kita akan membawanya kepada Kongres ke-5 nanti Insyaallah, kerana pada Kongres bulan Jun depan ini parti belum cukup bersedia lagi".
Walau macam manapun, tambah sdr Morshidi, kita melihat arahan ROS mengenai had umur minima keahlian ini satu kemunduran.
"Mundur!. Teramat mundur! Di England, Perancis, Finland, dan banyak lagi negara maju membenarkan rakyatnya berumur serendah 15 tahun menjadi ahli parti politik. Di Singapura (PAP) 17 tahun, Malaysia (PAS) seawal ”aqil baligh” lelaki 15 tahun? Kalau perempuan 14 tahun? Sedang kita diarah supaya menaikkan had umur keahlian dari 18 tahun seperti yang sedia termaktub dalam perlembagaan parti kepada 21 tahun?"
"Mengenakan syarat mesti ada 50 ahli bagi pembukaan sesebuah ranting turut dilihat sebagai arahan yang berunsur tekanan. Betapa tidaknya, untuk mencari 30 ahli disatu-satu kawasan sudah cukup susah, inikan pula untuk mencari 50 ahli bagi membolehkan penubuhan sebuah ranting".
Menurutnya lagi dDalam arahan yang lain sebelum ini pula, ROS juga melarang parti mengibarkan bendera ”Sang Setia” di premis parti (kecuali sehelai di markas Pusat) dan rumah-rumah ahli. ROS juga melarang menggunakan rumah-rumah persendirian ahli sebagai pejabat dan pusat kegiatan parti atas alasan ia boleh menyebabkan gangguan kepada ketenteraman awam.
"Arahan-arahan yang berbaur ugutan ini semacam bercampur benda basi atau bangas yang kurang sedap untuk ditelan. ROS dilihat sewenang-wenangnya mengaitkan sebarang aktiviti parti dengan frasa gangguan ketenteraman awam".
"ROS tahu bahawa antara aktiviti parti kita ialah pengajian, bertadarus, usrah, berdikir, bertahlil, mesyuarat dan muzakarah, berdudun kerumah ahli dan bakal ahli. Bagaimana pula aktiviti-aktiviti ini boleh dikaitkan dengan gangguan ketenteraman awam? Bunyi bising dan gangguan kepada orang awam oleh tarian naga dan singa keliling bandar dan perumahan apa statusnya? Orang main bunga api dan mercun apa statusnya, majlis kenduri kendara, berpancaragam dan bergambus hingga ketengah malam apa statusnya? Mengapa dibenarkan semua ini? bukankah ini double standard namanya?".
Hari ini, tegas sdr Morhshidi, mesyuarat MPPD memohon agar ROS menjelaskan munasabahnya semua larangan-larangan tersebut dan merayu agar ditimbangkan semula halangan-halangan yang tidak munasabah dan tidak perlu ini sebagai tanda hormat kita kepada hak asasi rakyat negara ini, khususnya hak untuk berorganisasi dan melahirkan pendapat. Hak-hak ini bukan hanya diiktiraf oleh PBB tetapi juga ianya adalah hak yang dianjurkan dan diiktiraf oleh Islam sendiri.
SUASANA POLITIK DI BRUNEI PERLU PERUBAHAN
Demikianlah, kata sdr Morshidi, suasana politik di Brunei yang kita lihat dan rasai hari ini.
Belaiu meluahkan kebimbaNgan Jika tidak ada penambahbaikan dan kemajuan dibuat mengenainya, atau jika pihak berkenaan tidak akomodatif dengan kehendak massa, nescaya ia akan menjadi penyumbang yang melambatkan proses kesedaran politik berhemah dan pembaharuan yang dihasratkan oleh Kebawah DYMM dan yang juga menjadi harapan seluruh rakyat hari ini.
"Episod demi episod yang kita harungi sejak dari penubuhan NDP hingga ke hari ini bolehlah kita ibaratkan bak bunga kembang tak jadi. Ianya sedang menguntum dan menanti masa untuk berkembang mekar, tapi sayangnya sampai sekarang tak kunjung mekar dek akibat berterusan dikerat dan dibonsai dengan segala macam bentuk sekatan dan halangan".
NDP BUKAN KERAJAAN MENUNGGU
Dalam ucapannya sdr Morshidi juga menekankan bahawa kehadiran NDP ke persada bangsa tidak bertujuan untuk menjadi kerajaan menunggu atau bercita-cita untuk membentuk kerajaan baru.
"Pernyataan dan iqrar ini sudah acap kali diluahkan oleh kepimpinan parti dan inilah pendirian NDP. Kehadiran kita sekadar menunaikan tanggungjawab bernegara, tanggungjawab politik dan tanggungjawab sejarah kerana Allah jua", tegas sdr Morshidi.
"Di atas semua tanggungjawab tersebut, ialah tanggung jawab kita untuk menyokong dan mendukung Kebawah DYMM selaku Sultan dan Yang Di Pertuan, Ulil Amri dan Mujaddid seperti yang termaktub didalam perlembagaan parti".
"Kita juga komited untuk menyukong titah Baginda lima tahun dahulu iaitu pada 25 September 2004 dan 29 September 2004 sempena dengan Majlis Perasmian Persidangan Majlis Mesyuarat Negara dan Majlis Permasyhuran Pindaan Perlembagaan yang menyentuh kesediaan Baginda untuk menyediakan lebih banyak peluang bagi rakyat untuk melibatkan diri dalam perundingan serta menyumbangkan secara membina kepada kemajuan negara".
Tambah sdr Morshidi amat jelas kedua-dua titah tersebut telah menyediakan ruang dan mempersilakan rakyat untuk turut terlibat secara aktif dalam proses politik dan pembangunan negara.
"Akan tetapi disebabkan hambatan-hambatan yang saya sebutkan terdahulu dari ini, rakyat seolah-olah gagal melihat ruang yang disediakan oleh Kebawah DYMM dan seterusnya tidak berupaya menyahut seruan Baginda itu".
"Senario ini menggambarkan kepada kita betapa Kebawah DYMM sebenarnya mempunyai fikiran yang jauh kehadapan berbanding dengan tahap kesedaran dan kesediaan lain-lain stakeholders termasuk elit penguasa dan elit pentadbir, hatta rakyat sendiri".
"Dalam ertikata yang lain seolah-olah wujud satu jurang yang luas di antara hasrat dan cita-cita Kebawah DYMM dengan daya capai dan daya faham yang ada pada stake holder - stake holder yang saya sebutkan itu", jelas sdr Morshidi.
DALANG MENGGAGALKAN HASRAT KDYMM
Menurut sdr Morshidi kalangan pablik yang mengikuti perkembangan politik NDP melihat batapa sekatan dan halangan berterusan yang di kenakan ke atas NDP seperti mempunyai sebuah agenda tersembunyi dan dipercayai, ianya didalangi oleh kalangan yang mempunyai kepentingan peribadi atau kerana dendam kesumat yang tidak berkesudahan".
"Mereka bukan setakat berusaha melambatkan proses pembaharuan politik yang dimaksudkan, tetapi lebih jauh dirasakan seperti ingin membunuh secara total sebarang kegiatan politik dinegara ini".
"Jika mereka berjaya maka akan di tonjolkanlah persepsi umum kononnya ”rakyat belum bersedia menanai tanggung jawab politik yang lebih besar di negara ini”.
"Saya berseru kepada pihak-pihak berkenaan, hentikanlah sendiwara ini. Segala kelembapan kearah kemajuan politik yang dicipta reka ini adalah satu kerugian kepada negara, malah, bagi saya ia seperti satu jenayah. Mereka yang anti perubahan ini sebenarnya adalah anti nasional dan penderhaka".
"Merekalah yang membuka pintu kritikan dan tekanan kuasa-kuasa luar untuk memukul dan menuding jari ke atas Kebawah DYMM dan Kerajaan Baginda persis jenayah Pengiran Seri Lela dan Pengiran Seri Ratna yang membuka pintu kota Istana kepada Portugis pada tahun 1577", ujar sdr Morshidi.
AMANAT TIMBALAN PRESIDEN
Sebelum mengakhiri ucapannya beliau menyeru semua ahli NDP untuk terus berusaha tanpa jemu-jemu merapatkan sebarang jurang antara rakyat dan Istana.
"Kita turunilah lembah dan lurah, kita jejakilah denai yang penuh onak dan duri untuk menggembleng seluruh pemikiran dan tenaga rakyat supaya menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap Kebawah DYMM hingga kepada keturunan-keturunan Baginda".
"Bersama-samalah kita berusaha untuk menampal apa jua yang koyak dan menjahit apa yang carik, mengubati barah nan menular, bersama kita pujuk dan rayu rakyat dengan mendengar dan mengangkat segala macam masalah yang menjadikan mereka tersedu walau pun usaha murni kita ini tidak dihargai".
"Kita adalah dipihak yang lemah. Biarkanlah mereka yang tidak senang dengan kehadiran NDP meneruskan segala bentuk sekatan, hambatan, kecurigaan dan persepsi terbabas melalui analisis yang amat bias. Biarkanlah mereka menyemburui, mencemuh dan memperlekeh NDP sehingga mereka letih dan berhenti sendiri".
Cuma yang merisaukan kita , tambah sdr Morshidi ialah kewujudan sebarang jurang yang semaikn meluas antara harapan perubahan dan apa yang dicapai oleh rakyat itu adalah merupakan ”standing invitation” kepada masalah yang lebih besar kepada survival negara bangsa kita.
Namun demikian, tambahnya, yang penting ialah kita mesti terus istiqamah dengan niat lurus berjuang dan berparti itu kerana Allah semata-mata.
"Insyallah, kebenaran itu akan menjelma dihadapan kita kerana kebenaran itu adalah milik Allah dan janji Allah seperti dalam frimaNya bermaksudnya: Perkara yang benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-ragu.
Kita mesti yakin dengan janji Allah bahawa yang hak itu akan melenyapkan segala bentuk kebatilan, sepertimana firmanNya yang bermaksud:
Dan katakanlah: “Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap. ”
KESIMPULAN PERJUANGAN NDP
"Seluruh episod perjuangan kita selama ini dapat saya simpulkan dengan meminjam satu bait daripada penyair Chairil Anwar yang menukilkan bahawa hidup hanya menunda kekalahan. Maknanya dalam konteks perjuangan NDP, bahawa kita akan sentiasa berhadapan dengan segala macam hambatan dan kekangan".
"Saya rasa mungkin tidak akan ada masa dan ketika yang hambatan dan kekangan itu tidak akan ada. Kita cuma akan mengecap kejayaan andainya kita mampu memperlahankan agenda mereka dan berupaya mempastikan kekalahan itu tidak mendahului kita".
IKUTI TEKS UCAPAN PENUH TIMBALAN PRESIDEN SDR MAHMUD MORSHIDI OTHMAN |