Pentabdiran Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri Malaysia keenam baru-baru ini telahpun melangkaui usia sebulan. Kemunculan Dato Seri Najib itu membawa bersamanya satu idea besar dan berani dalam usaha beliau untuk memantapkan lagi perpaduan rakyat Malaysia melalui slogan “Satu Malaysia - Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan”.
Konsep ini, menurut Datuk Seri Najib, bukanlah merupakan sekadar satu slogan semata-mata, sebaliknya merupakan suatu kesinambungan konsep daripada kepimpinan terdahulu dalam usaha bagi membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju.
Konsep tersebut juga, menurut beliau, adalah merupakan ramuan serta formula pentadbiran dalam proses negara menuju Wawasan 2020 serta bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat yang cemerlang, gemilang dan terbilang sepertimana yang diperjuangkan oleh dua orang perdana menteri terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Bagaimana proses nak sampai kepada matlamat kita, nak sampai pada destinasi, maka tidak lain dan tidak bukan ialah Satu Malaysia - Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan. Insya-Allah, kalau berpegang pada konsep ini, kita akan menjadi negara maju, kita akan jadi cemerlang, gemilang dan terbilang”, kata Datuk Seri Najib dalam ucapannya sempena lawatan kali pertama beliau selaku perdana menteri ke negeri kelahirannya di Pahang pada 27 Mac 2009 lalu.
Datuk Seri Najib berkata bersandarkan konsep itu, tumpuan kepada pembangunan dalam menjadi sebuah negara maju akan diseimbangkan dengan keperluan rakyat tanpa mengira kaum.
Beliau bagaimanapun berkata, untuk menjayakan misi itu, segenap lapisan rakyat perlulah mengubah minda supaya tidak terkongkong dengan cara pemikiran lama.
Katanya, Satu Malaysia akan berjaya jika rakyat saling bantu membantu tanpa mempersoalkan status kaum masing-masing.
Ketika merasmikan Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-10 di Pusat Konvensyen Antarabangsa di Putrajaya pada 28 April 2008 pula, Datuk Seri Najib berkata konsep Satu Malaysia itu juga turut bertujuan menyediakan garis permulaan yang adil bagi rakyat mendapat bantuan kerajaan tanpa mengira mereka dari bandar, luar bandar, mahupun kumpulan etnik asalkan mereka mempunyai potensi.
“Seseorang anak yang datang dari keluarga miskin tidak kira dari bandar atau luar bandar walau dari etnik mana sekalipun jika ternyata mempunyai potensi sememangnya berhak mendapat bantuan kerajaan berbanding anak-anak golongan berada yang sudah tentu mempunyai peluang pendidikan yang terbaik”, katanya.
Datuk Seri Najib bagaimanapun berkata bahawa kerajaan tidaklah pula boleh memainkan peranan ibubapa, keluarga atau masyarakat setempat, juga bukanlah galang yang boleh mengganti kehendak, kemahuan, usaha serta iltizam seorang pelajar atau peniaga, juga usahawan untuk berjaya.
Namun apa yang kerajaan boleh buat, menurut beliau, adalah dengan menyediakan garis permulaan yang adil, iaitu melalui perlaksanaan konsep serta falsafah Satu Malaysia yang mana prinsip asas kepada perlaksanaannya adalah berteraskan semangat kebersamaan dan kekitaan dalam satu keluarga besar rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Kepada sebahagian besar pengamal media, juga kalangan pemerhati politik di sini, mereka melihat perlaksanaan konsep Satu Malaysia Datuk Seri Najib itu sebagai sesuatu yang kena pada masanya, khususnya dilihat dalam konteks kedudukan semasa hubungan kaum di Malaysia yang kini begitu banyak tercalar dengan isu-isu sensitif yang telah memberi kesan tidak baik dalam konteks hubungan perkauman di negara jiran kita itu.
Keputusan pilihan raya umum dalam bulan Mac 2008 lalu, diikuti beberapa siri pilihan raya kecil yang menyaksikan parti kerajaan Barisan Nasional (BN) mengalami penghakisan sokongan yang ketara dikatakan antara lain adalah berpunca dari adanya penolakan kalangan pengundi bukan Melayu terhadap kerajaan yang dilihat sebagai membelakangi kepentingan rakyat bukan Melayu.
Mereka juga dikatakan tidak selesa dengan sikap kerajaan dalam mempertahankan hak ketuanan Melayu serta mengamalkan dasar serta pendekatan pembangunan yang didakwa banyak menyebelahi orang-orang Melayu.
Hasilnya, wujud beberapa bentuk penentangan terhadap kerajaan seperti penubuhan Hindu Right Action Force (Hindraf) yang cuba menyatukan sokongan orang India yang tidak berpuas hati terhadap peranan parti MIC yang dilihat gagal memperjuangkan kepentingan kaum India sepanjang penyertaannya dalam kerajaan BN. Begitu juga kedengaran lantang suara kritikan beberapa pemimpin Cina dalam komponen BN sendiri seperti dari parti MCA dan Gerakan, disamping kelantangan suara pemimpin pembangkang seperti DAP.
Justeru itu, amatlah kena pada cara dan masanya bagi Datuk Seri Najib untuk mengutarakan ideanya yang bernas itu dengan memperkenalkan konsep “Satu Malaysia - Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan” – Suatu pendekatan yang diharap oleh banyak kalangan di Malaysia akan dapat mengubah persepsi rakyat pelbagai kaum terhadap peranan sebenar kerajaan BN sebagai sebuah kerajaan yang sebenarnya prihatin terhadap semua lapisan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang keturunan mahupun agama.
Di kalangan pembangkang yang gemar mencari ruang untuk mengkritik kerajaan, perlaksanaan konsep ini yang cuba disamakan dengan prinsip “Malaysian Malaysia” yang pernah diperjuangkan oleh Lee Kuan Yew suatu ketika dahulu sejauh ini nampaknya telah berjaya dijawab dengan baik oleh beberapa pemimpin kerajaan.
Dalam konteks ini, penekanan yang diberikan adalah bahawa kerajaan yang ada sentiasa komited dalam melaksanakan tanggung jawabnya dalam menjaga kepentingan segenap lapisan rakyatnya tanpa mengira latar belakang keturunan dan agama.
Dalam pada itu, kerajaan bagaimanapun menjamin tidak akan mengabaikan peranan serta kepercayaan yang telah diberikan kepadanya dalam konteks mempertahankan hak keistimewaan orang-orang Melayu selaku penduduk pribumi di negara jiran tetangga kita itu. Wallahu a’alam - (mmo).